Buka tudung jika mahu kerja
18 Jun 2013 
 
SAYA sudah lama berhasrat untuk memberi pendapat dalam
ruangan akhbar keramat ini namun sering tidak kesampaian oleh kekangan masa dan
tugas. Kejadian yang menimpa anak saudara saya baru-baru ini memaksa saya
menyuarakan pendapat demi keadilan semua pihak.
 
Anak saudara saya berkelulusan Diploma Kejururawatan
daripada salah sebuah kolej tempatan. Pada 14 Mei 2013, beliau telah menghadiri
temu duga di salah sebuah hospital di Kuantan.
 
Semasa ditemu duga, beliau diberitahu bahawa kelulusan,
kelayakan dan pengalaman yang ada padanya adalah menepati syarat untuk diterima
sebagai kakitangan jururawat di hospital berkenaan. 
 
Tetapi beliau hanya akan diterima bekerja di situ sekiranya
bersetuju untuk membuka tudung! Anak saudara saya merayu agar dibenarkan
memakai serkup/skaf hitam namun tetap tidak dilayan. 
 
Terdapat 11 calon bertudung yang ditemu duga dan hanya calon
yang bersetuju mengorbankan pegangan akidah dengan membuka tudung diterima
untuk bekerja di situ. 
 
Akhirnya, anak saudara saya menolak tawaran tersebut
walaupun beliau amat memerlukan pekerjaan kerana sudah hampir setahun
menganggur. 
 
Saya terpaku, terkejut dan tertanya-tanya, benarkah kita
berada di Malaysia? Sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam? Mengapa
wanita Islam diperlakukan begini? Syarat yang ditetapkan begitu kejam!
 
Jika sebelum ini saya biasa mendengar syarat Bahasa Mandarin
untuk bekerja di sesebuah syarikat tetapi rupa-rupanya ada syarat-syarat lain
yang secara terang-terangan bertentangan dengan hak asasi seorang Islam. 
 
Saya berharap perkara ini disiasat dan janganlah biarkan
'cacing naik ke mata' kerana jika dibiarkan akhirnya anak-anak Melayu akan
merempat di negara sendiri atau terpaksa menggadaikan maruah diri dan pegangan
agama demi sesuap nasi!
 
MOKTEH BEKENG,
Kajang, Selangor
 
http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130618/fo_01/Buka-tudung-jika-mahu-kerja

Kirim email ke