Bukan 1 tahun Program Latihan Khidmat Negara dijalankan. Dah
hampir 10 tahun dengan belanja beratus juta ringgit, tapi masih tak boleh
selesai masalah remaja hamil, terutama pelatih PLKN. Baru sekarang nak buat
peraturan ujian kehamilan pelatih ! 
 
JLKN Bincang Dengan Kementerian Pertahanan Wujud Peraturan
Ujian Kehamilan Pelatih 
 
20 Jun 2013 
 
KUANTAN: Pengurusan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN)
akan berbincang dengan Kementerian Pertahanan bagi mewujudkan peraturan
mewajibkan setiap bakal pelatih wanita menjalani ujian kehamilan sebelum
menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
 
Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata
peraturan itu amat penting untuk dilaksanakan bagi mengelak kes pelatih hamil
tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan sebelum menyertai program berkenaan
dan seterusnya bersalin di dalam kem.
 
Beliau berkata perkara itu perlu dibawa kepada pihak atasan
terutamanya Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana ia
melibatkan banyak agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
 
"Perkara ini perlu diputuskan di peringkat kerajaan dan
bagi kami ia amat mustahak dilakukan kerana perlu pastikan pelatih yang
mengikuti program tidak berdepan sebarang masalah," katanya kepada
pemberita selepas menutup PLK NKumpulan 2 Siri 10/2013 di Kem PLKN Kampung 
Hijrah,
Penor, dekat sini, Khamis.
 
Beliau berkata walaupun terdapat peraturan pemeriksaan
kesihatan terhadap bakal pelatih namun ia bukanlah wajib dilakukan dan ujian
kehamilan tiada dalam peraturan itu.
 
Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan ketiadaan ujian
kehamilan itu juga menjadi antara faktor berlakunya kes seperti di Kem PLKN Sri
Ledang di Jementah, Segamat.
 
Dalam kejadian semalam, seorang remaja yang sedang menjalani
latihan di kem itu melahirkan seorang bayi lelaki di tandas kem berkenaan
sebelum bayinya dilaporkan meninggal dunia.
 
Difahamkan bayi lelaki seberat 2.7 kilogram itu dilahirkan
di tandas berkenaan kira-kira pukul 3 pagi sebelum kejadian itu disedari
pengurusan kem yang kemudian membawa ibu bayi terbabit bagi mendapatkan rawatan
selain membuat laporan polis.
 
"Pelatih itu kini selamat dan saya telah meminta
siasatan lanjut kes dibuat dan segerakan laporan itu untuk kita melihat latar
belakang bagaimana kes itu boleh berlaku dan sebagainya.
 
"Oleh kerana kes ini sudah jadi kes polis, saya tidak
mahu ulas panjang kerana perlu hormati perjalanan kes dan keluarga keluarga
mangsa, biarlah polis dan pihak kami siasat dengan terperinci," kata Abdul
Hadi.
 
Dalam pada itu, beliau berkata semua aktiviti fizikal
hendaklah dilaksanakan di dalam dewan di semua kem di negeri yang menghadapi
masalah jerebu yang teruk bagi memastikan keadaan kesihatan pelatih terjaga dan
selamat.
 
Katanya kesemua kem di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor
(kecuali Kem PLKNSri Ledang) diarahkan mematuhi peraturan itu selepas Indeks
Pencemaran Udara mencatatkan bacaan melebihi 100. - BERNAMA
 
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/6/20/mstar_berita/20130620142020&sec=mstar_berita
 

Kirim email ke