Oleh: NIZAM YATIM

BANGI 15 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu supaya masjid tidak
dihadkan sebagai tempat menunaikan ibadat semata-mata, sebaliknya
diperluaskan fungsinya dengan menjalankan kegiatan ekonomi termasuk
membuka kedai runcit, kedai kopi dan gunting rambut.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menggesa para imam di negara
ini supaya memulakan satu gerakan bagi melaksanakan langkah itu kerana
mereka mempunyai banyak kekuatan.

Beliau berkata, kekuatan itu termasuk kedudukan mereka yang diiktiraf
masyarakat sebagai yang terbaik, berilmu dan bertakwa serta menjadi
tempat rujukan dalam menyelesaikan masalah kekeluargaan dan
persengketaan di kariah masing-masing.

``Mereka juga mempunyai pengaruh yang kuat kerana masyarakat sentiasa
taat dan akur dengan perintah serta nasihat yang diberikan.

``Oleh itu, selepas enam bulan muzakarah, kita ingin melihat daripada
6,000 masjid di seluruh negara, masjid manakah yang akan mula mengorak
langkah merancang dan membuka rangkaian kedai runcit, kedai kopi dan
gunting rambut,'' katanya.

Beliau berucap menutup Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007
yang dihadiri 3,900 imam di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Turut hadir ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang juga
Pengerusi Jawatankuasa Induk program itu, Tan Sri Dr. Abdul Hamid
Othman dan Timbalan Menteri Penerangan selaku Timbalan Pengerusi
Jawatankuasa Induk program, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Najib, beliau yakin usaha itu dapat dilaksanakan sekiranya
imam mendapat sokongan ahli jawatankuasa masjid, Jawatankuasa Kemajuan
dan Keselamatan Kampung (JKKK), agensi kerajaan dan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO).

``Kita menaruh harapan yang besar supaya para imam memperbaiki
reputasi masjid supaya ia menjadi tempat pencetus kelahiran masyarakat
Islam yang berilmu, berharta dan disegani,'' tegasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, langkah memperluaskan peranan institusi
itu adalah selaras dengan keputusan muktamar masjid di Mekah pada 1975
supaya ia digunakan semaksimumnya bagi memajukan umat Islam melalui
penekanan fardu kifayah.

``Ada ulama mutakhir yang menyebut bahawa barang siapa yang menghalang
umat Islam lain melakukan aktiviti mengimarahkan masjid dan memajukan
umat Islam menerusi fungsi masjid, ia dianggap meruntuhkan masjid,''
katanya.

Tambahnya, fungsi lain yang boleh dimainkan oleh masjid ialah dalam
bidang pendidikan dengan menjadikannya pusat pengajian formal untuk
latihan kemahiran, tuisyen, kelas bahasa, tadika dan pengajian fardu
ain secara sistematik.

``Saya juga ingin mengulangi saranan yang pernah saya buat sebelum ini
iaitu menjadikan masjid sebagai kampus cawangan universiti terbuka
yang menawarkan latihan di peringkat sijil dan diploma,'' katanya.

Beliau berkata, masjid juga harus melibatkan diri dalam bidang sosial
dengan menjadikannya sebagai pusat komuniti untuk anak-anak remaja
melakukan aktiviti rekreasi, tempat mesyuarat dan majlis keramaian.

Najib turut mencadangkan supaya dibuka poliklinik di masjid untuk
kemudahan masyarakat mendapat rawatan pesakit luar, pusat kaunseling
keluarga dan tempat rakyat bertemu pemimpin untuk menyelesaikan masalah.

``Ia juga boleh menjadi tempat memupuk perpaduan menerusi nasihat yang
disampaikan melalui khutbah Jumaat dan bagi mengadakan gotong royong
dan muzakarah,'' ujarnya.

Kirim email ke