Kekalkan semangat Nusantara    Oleh Zin Mahmud
  
        
        Abdullah Ahmad Badawi menyambut ketibaan Presiden Indonesia Susilo 
Bambang Yudhoyono ketika menerima kunjungan hormat Presiden itu di Bangunan 
Perdana Putra di Putrajaya, Jumaat lalu.
  
---------------------------------
  
  KENYATAAN Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Dialog 
Malindo 2008 Selasa lalu tepat mendedahkan bagaimana rumpun Nusantara ini, 
iaitu Malaysia dan Indonesia terperangkap dengan isu remeh-temeh hingga 
menyampingkan cabaran sebenar bersama.
  Katanya, cabaran dalam hubungan Malaysia-Indonesia bukannya mengenai 
kedaulatan, pekerja pendatang, isu budaya seperti lagu rasa sayang, tetapi soal 
sebenar adalah survival kedua-dua negara.
  Mungkin ia berasal daripada sifat semula jadi rumpun Melayu ini untuk 
berperasaan emosional kepada soal-soal titik bengik, seperti perangai 
warga-warga kampung di seluruh Nusantara hingga ia memerlukan ingatan 
sedemikian. Betapa ada orang Melayu yang bergaduh di antara saudara hanya 
kerana perbalahan terhadap sekangkang bidang tanah pusaka.
  Ataupun berperasaan sensitif dalam soal layanan dan kata-kata yang tidak 
disenangi. Perbalahan di kalangan jiran tetangga di kampung-kampung kerana 
soal-soal menyentuh perasaan semata-mata.
  Begitu jugalah hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang seolah-olah dua 
warga kampung, sebangsa dan sebudaya hingga lupa bahawa cabaran yang dihadapi 
adalah soal kedudukan ekonomi dan politik di rantau Asia. Maknanya ketika 
Malaysia dan Indonesia berbalah soal emotif, China, India dan Vietnam sedang 
maju ke depan tanpa lagi menoleh ke belakang.
  Inilah yang disebut oleh Khairy bahawa antara tahun-tahun 1970-an hingga 
1990-an, Malaysia dan Indonesia adalah antara negara yang paling maju di rantau 
ini, dan menarik masuk banyak pelaburan asing, tetapi hari ini kedua-dua negara 
ini terpaksa bersaing dengan China, India dan Vietnam.
  Sememangnya China, India dan Vietnam merupakan negara-negara besar yang 
mempunyai potensi untuk melangkah jauh ke depan. Indonesia juga adalah negara 
besar. Malaysia pula sememangnya kecil. Tetapi Indonesia akan lebih bersedia 
untuk bersaing jika bergabung tenaga dengan Malaysia dalam soal ekonomi untuk 
bersaing dengan China, India dan Vietnam.
  Kalau dari segi rumpun bangsa, keadaan China, India dan Vietnam adalah jelas. 
Tetapi Malaysia dan Indonesia pula adalah sebenarnya satu bangsa dan oleh 
kerana perjalanan sejarah penjajahan, maka ia muncul sebagai dua buah negara. 
Dalam keadaan ini semangat Malindo dan Nusantara bermaksud gabungan kerjasama 
erat dalam bidang ekonomi bagi survival bersama.
  Namun begitu, apa yang dikatakan semangat Nusantara bukanlah bersifat 
perkauman Melayu. Ia bukan saja melibatkan penduduk rumpun Melayu tetapi 
kesemua kaum yang sudah menjadi warga Malaysia dan Indonesia. Apabila bercakap 
tentang ekonomi, mestilah ia melibatkan keperkasaan perniagaan warga keturunan 
Cina, di kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia.
  Malah gagasan semangat Nusantara ini juga perlu melibatkan negara-negara yang 
pernah satu masa dicadangkan turut serta dalam penubuhan Malaysia, iaitu 
Singapura dan Brunei. Maka Nusantara Raya ini pula bersama Vietnam, Thailand 
dan Filipina menjadi teras kepada kekuatan ekonomi ASEAN. Maka barulah ASEAN 
dapat dilihat sebagai satu gagasan besar untuk berdepan dengan China dan India 
dalam persaingan ekonomi global.
  Kerjasama
  Namun sebelum dapat memunculkan ASEAN, kerjasama ekonomi yang kuat antara 
Malaysia dan Indonesia menjadi asas dan pemula untuk perubahan bagi mencapai 
kemampuan untuk bersaing.
  Perlu dilihat betapa kesemua negara-negara ini: Malaysia, Indonesia, Vietnam, 
China dan India menghadapi pergolakan politik bagi mencari jati diri sebaik 
saja selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu mereka sudah meninggalkan era 
penjajahan dan mencari tapak untuk menjadi negara bangsa baru dan berjaya.
  Malaysia dan Indeonsia hanya berjaya memantapkan jati dirinya selepas tahun 
1967 apabila konfrontasi berakhir dan kejatuhan Presiden Sukarno serta 
pembubaran Parti Komunis Indonesia (PKI).
  Walaupun Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, tetapi jati diri tidak dapat 
dimantapkan kerana ancaman komunis yang kuat dari Parti Komunis Malaya (PKM) 
baik dalam hutan mahupun di kota raya Singapura. Ancaman komunis dari Singapura 
mendorong kepada penubuhan Malaysia. 
  Sementara gagasan Malaysia yang akhirnya ditubuhkan pada 16 September 1963 
menerima ancaman dari Indonesia yang dipengaruhi kuat oleh PKI. Justeru 
kedudukan Malaysia dan Indonesia bergolak hinggalah kejatuhan PKI dan Sukarno. 
Hanya selepas konfrontasi barulah kedua-dua negara dapat memantapkan jati diri 
politik dan ekonomi. Allahyarham Tun Razak Hussein dan Suharto membawa negara 
masing-masing ke jalan pembangunan hingga menyaksikan kemajuan pesat pada tahun 
1970-an dan 1990 -an. Kestabilan Malaysia dan Indonesia inilah menjadi teras 
kepada penubuhan ASEAN.
  Dalam keadaan China mengamalkan sistem komunis dan Indochina bergelumang 
dengan peperangan, maka tumpuan pelabur tentunya adalah Malaysia dan Indonesia, 
yang turut digalakkan oleh negara-negara Barat yang mahu melihat dua negara 
serumpun ini muncul sebagai kubu menentang komunisme. 
  Ketika itu, China, India dan Vietnam masih tidak menemui jati diri politik 
dan ekonomi mereka. Selepas Perang Dunia Kedua, China berpecah dua menjadi 
Republik Rakyat China di Tanah Besar China dan Republik China di pulau Taiwan. 
Walaupun kedudukan Parti Komunis China (CCP) yang kuat di Beijing, tetapi ia 
tidak memberi kestabilan di China. Di bawah Mao Zedong, China terlibat dengan 
peperangan di Korea, India, Kesatuan Soviet dan Vietnam dengan sikap 
konfrontasi terhadap Taiwan. 
  Sementara sistem ekonomi komunis Mao pula membawa negara itu kepada 
kehancuran hingga mencapai kemuncaknya pada Revolusi Kebudayaan. Di peringkat 
awal dan pertengahan pentadbiran Mao, Beijing menyumbang kepada kekacauan dan 
ketidakstabilan di Malaysia dan Indonesia melalui sokongannya terhadap PKM dan 
PKI.
  Namun Malaysia di bawah Tun Razak berjaya meredakan ancaman ini melalui 
usahanya berbaik-baik dengan China. Apa yang dilakukannya diikuti pula oleh 
Indonesia. Hubungan baik kedua-dua negara ini dengan China menyumbang kepada 
kestabilan nereka. Pun begitu, China hanya dapat menikmati kestabilan setelah 
Mao meninggal dunia dan digantikan dengan Deng Xiaping pada akhir 1970-an.
  Merobah
  Polisi ekonomi Deng merobah keadaan China yang akhirnya kini menjadi ekonomi 
paling pesat berkembang di dunia. Bukan saja pelabur Barat melihat tarikan 
China itu tetapi juga dari kalangan peniaga keturunan Cina di Taiwan dan Asia 
Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.
  Vietnam pula terlibat dalam kancah peperangan sebaik saja selepas Perang 
Dunia Kedua. Daripada menentang penjajah Perancis hinggalah kepada Amerika 
Syarikat (AS) pada tahun 1960-an dan 1970-an. Negara Vietnam terbahagi dua dan 
ketika Perang Dingin sedang hebat berlaku, maka Vietnam menjadi medan kedua 
selepas Korea. Hanya setelah AS mengundurkan diri pada tahun 1976, barulah ia 
menyaksikan kestabilan. Tetapi keadaan serba kekurangan terus berlaku kerana 
Hanoi turut terlibat dalam peperangan di Kemboja.
  Setelah masalah Kemboja selesai pada tahun 1980-an, diikuti dengan pembukaan 
ekonomi China pada zaman Deng, maka barulah Hanoi mengikut jejak Beijing. Pihak 
pemerintah komunis Vietnam walaupun mempertahanakan ideologi politiknya tetapi 
mengikut jejak Deng dalam soal ekonomi melalui polisi Doi Moi atau keterbukaan.
  Maka setelah memasuki tahun 1990-an, sudah tentu China dan Vietnam dilihat 
sebagai lebih menarik daripada Malaysia dan Indonesia. Kegawatan ekonomi Asia 
yang merintis kepada kejatuhan Suharto, dan juga memberi kesan kepada Malaysia 
melalui pengaruh politiknya menjadikan pelabur meragui kemampuan Malaysia dan 
Indonesia bagi menyediakan ruang pelaburan yang stabil. Oleh kerana Malaysia 
sudah menikmati pembangunan terlebih dahulu, maka kos tenaga manusia di China 
dan Vietnam jauh lebih murah dan menarik bagi pelabur.
  Inilah cabaran besar bagi Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi lebih ketara 
dengan kemunculan India sebagai kuasa ekonomi baru apabila dunia memasuki alaf 
baru. Walaupun India adalah sebuah negara demokratik dan tidak diperintah oleh 
komunis kecuali di peringkat negeri di Benggala Barat dan Kerala di mana 
parti-parti komunisnya memegang kuasa melalui pilihan raya tetapi sistem 
ekonominya yang diasaskan oleh Perdana Menteri Jawaharlal Nehru cenderung pada 
sifat sosialis.
  Dengan India berkali-kali terlibat dengan peperangan dengan Pakistan, dan 
kemudiannya dengan Bangladesh dan Sri Lanka, maka kestabilan politik yang wajar 
tidak dapat dinikmati oleh New Delhi.
  Hanya setelah kejatuhan sekutu kuatnya iaitu Kesatuan Soviet, ditambah pula 
kekalahan Parti Kongres di tangan Parti Janata Bharatia (BJP) yang polisi 
ekonominya bersifat terbuka, maka India menyediakan dirinya untuk stabil dan 
membangun. Dalam tahun 2000-an, India baru muncul sebagai kuasa menarik 
pelaburan yang bersaing dengan China tetapi menjadi cabaran besar kepada 
Malaysia dan Indonesia.
  Maka untuk menyaingi kuasa-kuasa ekonomi besar itu, Malaysia dan Indonesia 
tidak memiliki jalan lain selain daripada kerjasama politik dan ekonomi untuk 
survival.
  Ingatlah ketika kegemilangan Kesultanan Melayu di Melaka, perpaduan Nusantara 
berada di peringkat yang kukuh. Majapahit dan Melaka bukan saja bertukar-tukar 
duta tetapi mengukuhkan hubungan rumpun melalui perkahwinan.
  Hanya setelah kejatuhan Majapahit dan perbalahan sesama serumpun membolehkan 
kemasukan kuasa penjajah ke rantau ini. Portugis hanya dapat menawan Melaka, 
Makassar dan Maluku apabila kerajaan-kerajaan Nusantara tidak bersatu. Kubu A 
Famosa hanya dapat ditumpaskan apabila Aceh bekerjasama dengan Johor membantu 
serangan Belanda. Tetapi perseteruan antara Aceh dan Johor membolehkan Belanda 
menguasai Sumatera, sementara kegagalan mana-mana kerajaan Melayu menolong 
Kedah untuk berdepan dengan Siam membolehkan British bertapak di Pulau Pinang.
  Seperti dahulu, penjajahan akan bermula melalui penguasaan ekonomi.
   
  
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm


The Mind Advances by Evolution, not by Revolution ---*****
       
---------------------------------
Never miss a thing.   Make Yahoo your homepage.

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke