SHAUM menurut Al-Imam Ghozali Rodiallahu'an. 2/5

Kewajiban-kewajiban lahiriah puasa

Adapun kewajiban lahiriah puasa enam perkara:

1- Meneliti datangnya permulaan bulan Ramadhan dengan rukyah, iaitu dengan 
melihat anak bulan. Jika tiada terlihat, maka genapkanlah bulan Sya'ban 30 
hari. Kami maksudkan, rukyah atau melihat itu, mestilah melalui ilmu 
pengetahuan dan ini dapat disahkan dengan penyaksian seorang adil (orang 
yang terkenal lurus perjalanannya dan tiada diragui boleh berbohong). Ini 
kalau penyaksian maksudnya Ramadhan.  Tetapi untuk penyaksian permulaan 
Syawal atau anak bulan Syawwal, dihukumkan tidak sah, melainkan dengan dua 
orang saksi adil, mengambil hukum yang lebih berat untuk menyempurnakan 
ibadat puasa. Barangsiapa mendengar seorag adil dan ia percaya dengan yakin 
apa yang disaksikannya tentang anak bulan itu tanpa apa-apa keraguan lagi 
bagi dirinya, maka wajiblah dia berpuasa meskipun kadhi atau hakim tiada 
menghukumkan sah penyaksiannya itu.
 
2.Niat puasa pada setiap malam - mestilah dia berniat yang khas dan tetap bagi 
kefardhuan puasa kerana Allah Ta'ala.

3. Menahan diri dari menyampaikan sesuatu benda ke dalam perutnya dengan 
sengaja tidak terlupakan dirinya sedang berpuasa. Kalau dilakukan yang 
demikian, maka rusaklah puasanya; iaitu dengan makan atau minum, memasukkan 
sesuatu melalui lubang hidung atau dubur. Tidak batal dengan bersuntik, 
berbekam, bercelak, memasukkan pembersih ke dalam telinga atau melalui zakar 
ataupun apa yang sampai ke perut tanpa disengajakan seperti debu jalan, 
ataupun seekor lalat termasuk ke dalam perutnya. Kalau air masuk ke dalam 
perut disebabkan berkumur-kumur tidak membatalkan puasa, kecuali jika dia 
terlalu berlebihan-lebihan dalam berkumur-kumur, maka perbuatan serupa 
membatalkan disebabkan kecuaian. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan 
dengan sengaja. Adapun perkataan tidak terlupa - dimaksudkan supaya ia 
terselamat dari lupa, kiranya ia terlupa, maka tidaklah dikira batal 
puasanya.

4. Menahan diri dari persetubuhan tetapi kiranya dia bersetubuh dengan terlupa 
maka tiadalah dikira telah berbuka. Kiranya dia bersetubuh di sebelah malam, 
ataupun dia bermimpi, sehingga dia menjadi seorang junub di sebelah paginya, 
maka tiadalah ia dikirakan berbuka.

5. Menahan diri dari sengaja mengeluarkan air mani dengan tujuan untuk 
bersetubuh ataupun tidak bersetubuh, sebab kelakuan yang demikian itu adalah 
membatalkan puasa. Bercium-ciuman dengan isteri atau bercumbu-cumbu 
dengannya tiada membatalkan puasa selagi tiada mengeluarkan mani, tetapi 
perbuatan semacam itu adalah makruh hukumnya kecuali jika dia seorang yang 
sudah tua, atau orang yang dapat menguasai dirinya (tidak takut keluar mani) 
maka bolehlah dia bercium-ciuman. Walau bagaimanapun meninggalkan kelakuan 
serupa ini adalah utama.

6. Menahan diri dari muntah, sebab sengaja mengeluarkan muntah dari perutnya 
membatalkan puasa tetapi kalau termuntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah 
batal puasanya. Dan sekiranya tertelan dahak dari kerongkongnya atau dari 
dadanya, tiadalah batal puasanya, kerana keringanan sebab tidak dapat 
ditahan, melainkan kalau dia menelannya sesudah dahak itu sampai ditengah 
mulutnya maka hal itu akan membatalkan puasanya.

===ed:hmd==
=============================
Bagi Anda yang ingin mendengarkan Audio MP3 Pengajian Tradisional Kitab 
IRSYADUL IBAD ila Sabilirrosyad
dapat mendownload filenya di :

http://www.4shared.com/dir/6411196/58e36731/MP3_TALIM_IRSYADUL_IBAD.html

Pengajian dipimpin oleh Ustad Drs.H.Ruslan Mawardi MAg. Pimpinan Majlis Taklim 
DARUUT TAUBAH
Kebon Nanas Selatan Jakarta Timur.
File-file MP3 yang di share, sdh mendapat izin untuk disebar luaskan untuk 
Dakwah Islamiyah.






[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke