|
Siaran Media: ABIM Membantah Penubuhan Suruhanjaya Antara
Agama
(Inter-Religious Commission Atau IRC). 23 Februari 2005 - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah usaha yang dijalan oleh pihak-pihak tertentu yang menggesa pihak kerajaan Malaysia agar menubuhkan sebuah Suruhanjaya Antara Agama (Inter-Religious Commission atau IRC) yang berbentuk sebuah badan berkanun di bawah akta Parlimen dan dibiayai oleh tabungan awam. Usaha ini digerakkan terutamanya oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam Malaysia. Siri mesyuarat Jawatankuasa Pemandu telah diadakan sejak tahun 2001 dan satu bengkel telah dianjurkan untuk membincangkan agenda yang sama. Bengkel ke dua ke arah penubuhan IRC ini akan diadakan pada Khamis, 24hb.Februari ini. Sejak bengkel pertama lagi ABIM telah membuat keputusan menarik diri daripada jawatankuasa tersebut dan tidak bersetuju dengan usaha penubuhan IRC. Walaubagaimanapun beberapa laporan media berkenaan isu ini memberi gambaran bahawa ABIM masih menganggotai Jawatakuasa Pemandu IRC dan sekaligus menyokong penubuhannya. Sikap ABIM untuk tidak menyetujui usaha penubuhan IRC ini adalah berasaskan pertimbangan berikut : i. Terdapat kecenderungan bahawa IRC yang dicadangkan ini akan banyak mencampuri isu-isu dalaman agama-agama khususnya agama Islam. ABIM merasakan isu-isu sensitif seumpama ini tidak sewajarnya ditangani dan didebatkan secara terlalu terbuka dan bebas dengan mengambilkira akan mengganggu sensitiviti penganut-penganut agama terbabit dan akhirnya lebih menjejaskan keharmonian antara agama di negara kita. ii. Isu keharmonian antara agama dan isu-isu yang berkaitan dengannya adalah isu-isu yang perlu ditangani dari perspektif dan pendekatan agama.Tetapi di sebalik penubuhan IRC, ABIM melihat ada kecenderungan untuk menanganinya dengan pendekatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia semata-mata, yang akan lebih mengeruhkan keadaan. iii. ABIM merasakan bahawa agenda keharmonian antara agama tidak sesuai ditangani oleh sebuah suruhanjaya berkanun. Sebagai sebuah badan berkanun apa-apa salah tindakan dan sikap suruhanjaya tersebut akan membawa kesan yang lebih besar. Dialog dan diskusi antara agama sesuai diadakan dalam kerangka yang kurang formal. Manakala mana-mana aduan atau sungutan berkenaan dengan kebebasan beragama pula boleh dipanjangkan kepada SUHAKAM atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. ABIM berharap agar semua pihak terbabit mempertimbangkan pandangan ABIM dan menilai semula cadangan penubuhan IRC. Sudah tentu ini tidak bererti ABIM memandang rendah terhadap agenda keharmonian antara agama-agama di Malaysia bahkan ABIM sentiasa mengalu-alukan apa-apa dialog dan usaha lain yang bersesuaian ke arah mencapai matlamat tersebut. YUSRI MOHAMAD Naib Presiden (Kebangsaan) ABIM +++++++++++++++++++++++++++++++++++++ INGIN MENCARI JODOH ? = > http://www.myjodoh.net atau HANYA MERAMAIKAN KENALAN ? => http://www.kenalan.net +++++++++++++++++++++++++++++++++++++ 1) Keluar : [EMAIL PROTECTED] 2) Sertai : [EMAIL PROTECTED] 3) Hantar Topik : sila ke http://www.mymasjid.com.my/forum
Yahoo! Groups Links
|
