|
KUALA LUMPUR, 2 Nov: "Sory
YB! Kita beri kepada Ketua Bahagian Umno. Ini arahan yang kita terima."
Ini adalah jawapan Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) Wilayah Persekutuan
kepada anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.
Jawapan ini diberikan beliau ketika Dr Lo' Lo' (gambar) bersemuka dengannya dan bertanya, "Siapa yang menghabiskan peruntukan untuk saya selaku anggota Parlimen Titiwangsa?"
Kedua-duanya bertemu dalam majlis taklimat tentang program e-Kasih di bangunan Parlimen tidak lama dahulu.
Perkara ini diceritakan oleh Dr Lo' Lo' dalam satu kenyataan yang dibuat kepada Harakahdaily baru-baru ini. Beliau
mengulas tindakan kerajaan BN tidak menyalurkan peruntukan RM1.5 juta
untuk setiap kawasan Parlimen kepada para ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Ia hanya diberikan kepada anggota Parlimen BN dan ditempat yang BN kalah, peruntukan itu diberikan kepada ketua bahagian Umno.
"Namun
dasar Umno/BN yang kolot dan takut berhadapan secara profesional di
padang yang sama rata menyebabkan peruntukan tersebut masuk kantung
ketua bahagian Umno," kata Lo' Lo'.
Namun begitu, katanya, semua
10 anggota Parlimen Pakatan di Kuala Lumpur telah berjaya menunjukkan
politik baru yang tidak berdasarkan perkauman tetapi berdasarkan
keperluan dan keutamaan.
"Kita layan rakyat sama sahaja, tanpa
mengira warna kulit," cerita Lo' Lo' dalam kenyataan ketika
mempertikaikan ucapan Pemangku Ketua Umno Bahagian Titiwangsa yang
berkata, Umno tidak memerlukan undi Cina dan India.
Bagi beliau, kenyataan Datuk Johari Ghani itu umpama terlajak perahu boleh ditarik balik, terlajak kata buruk padahnya.
Bagi beliau, Datuk Johari telah menunjukkan warna sebenar Umno.
"Mereka
hanya perlukan undi orang Cina, orang India dan bukan Melayu secara am.
Bila perkiraan matematik mereka menunjukkan Umno akan selamat dengan
sokongan orang Melayu, mereka tidak segan silu menyebut tidak akan
sembah orang Cina dan India.
"Alhamdulillah mereka tak sembah
orang bukan Melayu untuk undi. Jika tidak berat kes sebab kita orang
Islam sepatutnya sembah Allah bukan sembah orang atau kaum lain,"
peringat Lo' Lo' dalam kenyataannya.
Lo ' Lo' sekali lagi
memperingatkan, rakyat di kawasan beliau sangat memerlukan pertolongan
dan Umno jelas telah membiarkan mereka selama ini.
"Bayangkan di
Titiwangsa ni sahaja seramai 700 ibu tunggal yang sepatutnya layak dapat
bantuan, hanya 67 orang sahaja yang ada dalam senarai Jabatan Kebajikan
Masyarakat.
"Apa wakil rakyat dulu buat? Itu baru isu ibu
tunggal, belum lagi isu OKU, pesakit kronik, warga emas, pesakit mental
dll," katanya.
Selain itu, beliau juga kesal dengan sikap Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak mengambil berat isu pendatang asing
yang berniaga memenuhi kawasan Chow Kit yang terletak dalam kawasan
Parlimen beliau.
"Belum lagi cerita Chow Kit yang telah dijajah
oleh PATI. Bagaimana gerai-gerai PATI boleh dibina atas kaki lima? Bila
minta DBKL bertindak, jawapannya gerai-gerai itu kepunyaan orang
tempatan yang merupakan ahli/ajk beberapa persatuan peniaga.
"Siapakah
ahli/ajk persatuan ini? Sebahagian besar merupakan ajk cawangan Umno
yang berselerak. Rupanya yang menggadai Chow Kit bukan Lim Kit Siang
atau Lim Guan Eng dari DAP tetapi Umno sendiri," tempelak beliau.
Kerana
pelbagai isu itulah, kata Lo' Lo', apabila beliau membuka pusat
perkhidmatan, berduyun-duyun yang datang meminta bantuan dan
perkhidmatan dari pejabat beliau yang terletak di Kampung Baru.
"Bila
saya buka pusat khidmat di Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru,
berduyun-duyunlah orang yang datang. Orang Melayu, Cina, India, Sikh
silih berganti datang.
"Semuanya kita layan dan lakukan apa yang
termampu. Yang tidak mampu ialah bagi duit sebab memang tak ada duit.
Kalau ada beras, staf saya akan beri beras kepada yang memerlukan.
Penagih dadah pun ramai datang," cerita Dr Lo' Lo' lagi.
Beliau
sekali lagi menempelak Datuk Johari yang berkata sudah membuka pusat
khidmat Umno di Desa Pandan yang lebih canggih dari pusat khidmat
beliau.
"Duit kita dia dah rembat. Cuba bagi RM1.5 juta kepada
anggota Parlimen yang dipilih oleh rakyat uruskan, alamat sakitlah
mereka. Kita akan beri kepada rakyat secara langsung dan telus," kata
beliau lagi.
|