PASARMALAM
Hari telah berembang petang, ku lihat gadis-gadis remaja telah mengeluarkan
pakaian yang paling baru, pemuda-pemuda telah menaiki kereta anginnya, berjalan
berempat dan berlima dengan muka yang riang; rambutnya disisir licin-licin;
orang yang beranak isteri mendukung anaknya yang kecil dan mengiringkan yang
besar; di sisinya berjalan isterinya yang masih muda dengan wajah tersenyum.
Bunyi gong, rebana, musik dan riuh rendah suara manusia di Pasar Malam
membangkitkan hati mereka itu; istimewa pula kerana di kiri-kanannya telah
terpasang lampu-lampu listrik dengan warna yang berbagai-bagai.
Aku ...... aku telah bersiap hendak pergi pula; bukankah tak
baik jika kita yang hanya sekali saja singgah ke dunia, selalu ter-pekur di
rintang kitab, selalu menyelidiki buku-buku filsafat dan melihat syair-syair
yang penuh berisi zuhud. "Sehingga hanya me-lihat-lihat saja apalah salahnya,"
kataku dalam hatiku.
Sedang aku menggosok sepatu yang hendak dipakai, di meja, telah ku letakkan dua
rupa kain sarung yang berwarna merah dan berwarna ungu, dari mulutku keluar
siul kegirangan; ku lihat se-orang anak kecil berhenti di hadapan rumahku.
"Engku, aku disuruh Emakku datang ke mari menjemput Engku; ayahku sakit keras!"
Aku tercengang melihat anak itu; rambutnya kusut tak di­sisir; bajunya
robek di bahu dan mukanya sangat pucat dan kurus. Saat kemudian baru aku ingat;
anak itu ialah anak seorang kuli yang tinggal di dekat rumahku dahulu, tak
berapa jauhnya dari rumahku sekarang ini.
"Mengapa aku yang kau panggil?"
"Ibu berkata, bahawa engkulah yang di harapnya akan meno-
long."
Mendengar perkataan itu agak mengkal hatiku rasanya.
Langkahku ke Pasar Malam telah teralang; padahal sudah dua hari Pasar Malam,
aku belum juga pernah menuntun. Anak itu masih berdiri; rupanya besar benar
pengharapannya kepadaku
"Engku, marilah! Ayahku telah bertambah larut sakitnya, ibuku dari tadi
menangis saja."
Dengan segera aku berkemas dan pergi ke situ. Sebetulnya sudah lama aku kenal
akan bang Wongso, kuli yang baik hati itu. la seorang yang rajin dan sabar.
Gajinya hanya 45 sen sehari, anaknya bertiga lelaki dan masih kecil, yang
sulung berumur 12 tahun, dan dua orang perempuan, yang tua berumur 15. Tentu
saja gaji 45 sen itu tiada cukup bagi mereka serumahtangga. Sebab itu, anaknya
yang tua telah pergi mengambil kain cucian, sedang isterinya mengurus
anaknya yang kecil di rumahnya. Sekarang dia terdengar sakit payah, aku
akan segera datang ke situ. Maka berbimbing-bimbingan tanganlah aku dengan
gadis kecil itu menuju ke rumahnya. Aku sampai dan aku pun
masuklah. Sebenarnya tempat itu bukan rumah, hanya sebuah pondok buruk yang
disewanya serupiah sebulan; di sana dapur; di sana tempat makan dan tempat
tidur; kecil dan sempit. Di atas sebuah bangku yang terbuat daripada buluh,
berbaring seorang lelaki, yang tengah merintih kesakitan; di sisinya duduk
isterinya
menggendung anaknya yang masih erat menyusu; anaknya yang berdua telah tidur
dan anaknya yang tua sekali sedang duduk termenung di sudut kamar kecil itu. Di
tengah-tengahnya terletak sebuah pelita minyak tanah; jelaganva memenuhi hidung.
"Bangunlah, bang, kembangkanlah matamu! Ini engku sudah datang," ujar
isterinya.
Sisakit pun mengembangkan matanya, dia melihat kepadaku dengan rupa yang
sangat sedih dan muram; dilambaikannya tangannya, dengan segera aku
pegang, kiranya tangan itu sangat panas. Dadanya turun naik dengan kencang,
matanya merah, kerana demamnya sangat keras.
"Engku ......" katanya dengan perlahan-lahan, "Sudah 2 hari
aku tak keluar dari rumah kerana sakit; 3 hari dahulu daripada
itu sudah terasa juga demamku, tetapi ku keraskan juga hati pergi bekerja,
kerana takut anak-anak tidak ada makan. Dalam 2 hari ini badanku tak tahan
lagi, panas bertambah; kata orang jika di makan aspirin, yang harganya hanya
lima sen, demamku akan sembuh. Tetapi setelah sampai di rumah dengan wang 45
sen, tiada sampai hatiku hendak menguranginya, kerana harga beras sekarang
sangat naik; 45 sen tak cukup untuk makan kami, untuk pembeli sayur dan minyak
tanah untuk sehari semalam; sebab itu ku tahan juga sakitku. Sekarang sudah 2
hari dengan ini badanku bertambah sakit, anak-anakku ...... belum makan! Tadi
pagi ku
suruh Katijah ke rumah majikannya meminta wang upah mencuci pada bulan dahulu;
ketiga-tiganya tak mau membayar. Katanya, sebab tak berwang; padahal dari pagi
kelihatan mereka naik amko, naik sado dan oto, pelesir kian ke mari, kerana
sekarang ada Pasar Malam. Anakku pulang dengan tangan kosong. Sebab itu ku
minta engkau datang ke mari, aku hendak minta tolong kepada engku bagaimana
ikhtiar engkulah supaya mereka makan."
Mendengar bicaranya itu hatiku tak tahan, terbit airmataku; maka aku keluarkan
rupiah, yang aku sediakan penyewa Pasar Malam dan pembeli air limun, aku suruh
Katijah pergi membeli beras dan apa-apa yang perlu pada waktu itu. Melihat
perbuatan-ku itu titiklah airmata Wongso; dia hendak mencium tanganku dan
isterinya pun menangis kerana sangat girang.
Aku duduk juga di situ menghunyikan sisakit; tidak berapa lama kemudian Katijah
pun pulanglah membawa beras dan ikan kering. Mereka itu ku suruh ke dapur akan
memasak, dan tidak lama antaranya anak-anak itu pun makan minumlah dengan
lahapnya.
Lama aku duduk di situ. Aku rasai demam Wongso tidak berkurang; maka aku pun
minta permisi kepada seisi pondok yang malang itu hendak pergi menjemput
doktor. Mula-mula Wongso menahan aku, tak usah dipanggil doktor. Dengan apa
akan di-bayarnya rekening doktor itu kelak, katanya. Tetapi setelah aku
janjikan bahawa aku yang akan membayar, barulah tenang muka-nya. Isterinya pun
memandang kepadaku dengan muka yang sangat bersyukur. Aku pergi ke rumah
seorang sahabat yang ada menaruh talipon, maka aku pun menalipon ke rumah
doktor.
Suaraku hanya dijawab oleh jongos; katanya, tuan doktor sedang tak ada di
rumah, pergi mengubat orang sakit. Saya panggil se-orang lagi, beliau pergi ke
Pasar Malam. Saya sambung talipon kepada doktor yang lain. Untung, tuan doktor
ada di rumah; mula-mula ditanyakannya di mana tempat sisakit, lalu saya
terangkan. Kedengaran ia gugup dan berkata: "O o ...... lebih
baik ...... besok, ya, besok pagi saja," Dan pendengar talipon itu
pun diletakkannya keras.
"Ya," kata ku dalam hati; "lebih baik besok pagi saja ......
Kalau penyakit Wongso bertambah keras? Kalau ......" Sambil
menggelengkan kepala, ku letakkan pula pendengar taliponku di-tempatnya.
Setelah itu aku pun kembali ke rumah Wongso akan menanyakan halnya. Senang juga
hatiku sedikit, sebab ku dapati Wongso telah tidur. Dan menurut kata isterinya,
ada agak kurang panasnya, sesudah makan sesuap kecil. Syukur, aku pun kembali
pulang, tak jadi pergi ke Pasar Malam!
Aku masuk tidur; dalam fikiranku masih teringat bagaimana nasib yang ditanggung
Wongso yang malang dan miskin itu dan bagaimana pula tanggungan isteri dan
anak-anaknya, sedang makhluk lain dalam gembira.
Pukul lima pagi saya bangun. Sehabis sembahyang subuh saya bermaksud hendak
makan-makan angin. Tiba-tiba datang-lah tergopoh-gopoh anak yang memanggil saya
malam itu, mene-rangkan bahawa ayahnya telah ...... meninggal!.'!
Aku terkejut! Kalau kiranya segera dia mendapat pertolo-ngafl, agaknya
belurtllah dia akan meninggal pada hari itu, bdtim-lah lima orang anak yang
masih kecil-kecil dalam pondok yang buruk itu akan kehilangan ayah dan hidup
yatim piatu. Dengan segera aku datang ke sana. Di sana aku lihat suatu hal yang
amat sedih. Mayat sedang terbujur panjang di atas bangku, kelima orang anaknya
dan isterinya menangis meratapi dia berkeliling! Aku terus masuk, aku buka
selubung mukanya, dan pada mata-nya yang terbuka sedikit itu masih terbayang
was-was hatinya meninggalkan dunia ini.
Tidak berapa lama kemudian datanglah penghulu kampung dan beberapa orang
tetangga yang lain. Kata isterinya masih ada seorang saudara kandungnya. la
tinggal agak jauh dari sana. Patut sekali ia diberitahu supaya ia jangan
melihat tanah penggalian yang merah saja kelak. Tengah hari doktor datang
meme-riksa; katanya Wongso meninggal sebab ...... lapar! Dan berapa hari yang
lalu ia sudah melihat seorang kaya mati kerana terlalu banyak makan!
Petang hari baru saudara bang Wongso itu datang; ia pun kurus dan tua, tinggal
dalam sebidang kecil tanah yang diberikan orang kepadanya, pada suatu tempat
yang agak jauh, dari kantor pos; itu sebabnya dia terlambat datang!
Pukul lima sore barulah dapat mayat itu dihantarkan ke-pekuburan. Ketika
kerandanya akan diangkat dari rumah yang buruk itu, nampaklah pula kejadian
yang tak dapat ku lupakan selama-lamanya. Aku lihat anak-anaknya menangis,
meratap dan meraung memanggil-manggil ayahnya. Isterinya menggendung anaknya
yang paling kecil; kesedihannya yang amat hebat itu telah mengeringkan
airmatanya; ia pun tak bercakap sepatah jua lagi, melainkan ketika mayat
diangkat orang, dilihatnya saja tenang-tenang serta dibimbingnya anaknya yang
perempuan yang me-manggil aku ke rumah malam itu.
Pada sebelah simpang jalan, perarakan menghantar mayat itu teralang sebentar,
kerana bertemu dengan suatu perarakan ke-Pasar Malam. Kami harus melalui jalan
yang amat sempit, kerana makhluk banyak berduyun-duyun. Semuanya berbaju dan
indah, semuanya gembira serta berseri-seri mukanya. Setelah matahari condong ke
barat, barulah kami sampai ke pekuburan.
Ketika kami menguburkan mayat itu, ketika papan penutup lahad telah terpasang
dan berbunyi berdgmbun-dembun, dengan suram-kecut, kerana di timpa tanah
penimbun, kami pun terkejut mendengar suara bom, alamat Pasar Malam telah
dimulai pula.
(Di dalam lembah Kehidupan HAMKA)
---------------------------------
Do you Yahoo!?
Yahoo! Small Business - Try our new resources site!
____________________________________________________
Berhenti/mengganti konfigurasi keanggotaan anda, silahkan ke:
http://rantaunet.org/palanta-setting
------------------------------------------------------------
Tata Tertib Palanta RantauNet:
http://rantaunet.org/palanta-tatatertib
____________________________________________________