KOTA BHARU 29 Jun Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan wakil rakyat yang tidak mampu mengawal emosi ketika menyertai perbahasan di Dewan Undangan Negeri sebagai tiada kelayakan jadi pemimpin.
Kata beliau, orang seperti itu tentunya sukar diajak berbincang secara berhikmah dan terbuka. Nampaknya ketua pembangkang di Kelantan tidak dapat mengawal emosi ketika persidangan DUN kali ini. Sedangkan Islam sudah membuat peraturan bahawa emosi perlu ditangani dengan baik, sebab itu ada sistem mesyuarat. Mesyuarat ini bermakna kita terima pandangan orang dan orang terima pandangan kita. Kalau orang sahaja perlu terima penjelasan kita, itu bukan sistem hidup di atas dunia ini, katanya ketika ditemui di pejabat petang semalam. Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Dato Annuar Musa yang menghamburkan perkataan bodoh dan barua kepada anggota Exco kerajaan negeri ketika menyertai perbahasan di persidangan DUN semalam dan kelmarin sehingga menghangatkan suasana. Selain itu, ketua pembangkang juga mempertikaikan arahan Speaker yang memintanya memandangkan kepadanya semasa berhujah. Ketika itu Dato Wan Abdul Rahim Wan Abdullah membaca peraturan Dewan mengenai perkara tersebut dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun Annuar pula menganggap sebagai tidak tepat. Oleh itu beliau meminta Speaker membaca dalam bahasa Inggeris mengenai peraturan tersebut. Bagaimanapun Speaker menjelaskan peraturan itu sudah disepakati semua Speaker di negara ini. Malah, bekas menteri terbabit melenting apabila dikaitkan penyelewengan yang berlaku membabitkan kes program pembangunan rakyat termiskin (PPRT). Petang semalam ketika anggota Exco, Haji Husam Musa menggulung perbahasa mengenai Enakmen Tabung Amanah Tok Kenali, beliau menyentuh mengenai kehilangan wang PPRT sebanyak RM43 juta yang tidak selesai sehingga sekarang. Husam juga menyebut tidak pernah berlaku kereta bekas seorang menteri masuk dalam lokap sedangkan tuannya bebas. Ekoran itu, Annuar bangkit mempertahankan dirinya sehingga menyebut Saya tidak sebodoh Yang Berhormat,. Manakala kelmarin beliau melabelkan seorang lagi anggota Exco, Dato Annuar Tan Abdullah sebagai barua kepada tauke Cina. Menteri Besar berkata, sekiranya seseorang tidak setuju dengan hujah diberi, kita tidak boleh menggunakan emosi. Sedangkan orang lain Allah Taala beri emosi juga. Apa kata kalau orang lain emosi juga, sudah tentu tidak akan selesai masalah. Sebab itu Nabi Muhammad SAW walau pun ditentang hebat, seperti peristiwa perjanjian Hudaibiah tetapi baginda tetap bersabar, akhirnya kejayaan menyebelahinya, kata beliau. Oleh itu kata beliau tidak salah sekiranya Speaker menggunakan peruntukan kuasa yang ada bagi memastikan persidangan berlaku dalam suasana baik. Speaker ketika itu memberi amaran keras kepada ketua pembangkang bagi mengelakkan beliau menggunakan kuasa dengan mengarahkan seseorang wakil rakyat keluar dari Dewan kerana enggan mematuhi arahannya. Husam ketika menggulung perbahasan semalam berharap Adun Kok Lanas lebih realistik dan mampu mengawal emosi ketika berhujah. Adun Pengkalan Pasir, Wan Abdul Aziz Wan Jaffar berkata, Adun Kok Lanas dianggap tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai ketua pembangkang memandangkan kegagalan mengawal emosi ketika berhujah dengan penyokong kerajaan. Katanya, penampilan yang ditunjukkan pemimpin terbabit pada persidangan kali ini jelas menampakkan kewibawaan sebenar dirinya selama ini. Saya melihat Dato Mustapa Mohamed lebih berkemampuan untuk membawa cabaran pembangkang berdepan dengan penyokong kerajaan secara sopan dalam persidangan Dewan lalu. Orangnya lebih realistik dan rasional. Penampilan yang dibawa ketua pembangkang sekarang sekiranya tidak ditangani pemimpin atasan Umno, ia secara tidak langsung akan menjejaskan parti itu sendiri, ujarnya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Besar turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Annuar yang menganggap jawapan diberi pihak kerajaan ketika menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat sebagai salah fakta. Katanya, jawapan yang diberi semasa persidangan berasaskan sumber maklumat daripada pegawai-pegawai kerajaan dan bukan direka orang politik sendiri. Beliau berkata, sebagai ketua pembangkang beliau sepatutnya menerima penjelasan yang diberi secara terbuka kerana ia menjadi amalan kepada mana-mana kerajaan sekalipun. http://www.perakan.net/modules/news/article.php?storyid=1516 --------------------------------- Yahoo! Sports Rekindle the Rivalries. Sign up for Fantasy Football [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
