GUA MUSANG: Seorang kelindan merungkai rantai pengikat balak yang diangkut bagi menghalang kereta peronda polis mengejar lorinya sehingga menyebabkan empat anggota polis nyaris maut.
Keempat-empat anggota polis berkenaan hampir terbunuh apabila kereta peronda yang mereka naiki terhumban ke cerun sedalam 20 meter ketika mengelak daripada ditimpa kira-kira 10 batang balak yang jatuh dari lori terbabit. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi kelmarin, kereta peronda berkenaan terserempak sebuah lori sarat dengan muatan balak berhampiran kawasan semak di Kampung Lebir, dekat sini. Berikutan itu, anggota polis terbabit mengekori lori berkenaan yang dinaiki seorang pemandu dan kelindannya selama kira-kira 20 minit melalui jalan kampung di situ. Sebelum itu, anggota polis berkenaan dikerah ke kawasan hutan berhampiran kampung itu selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pembalakan haram di situ. Sebaik tiba di kawasan berkenaan, kereta peronda dipandu Konstabel Rahim Abdul Kadir ternampak sebuah lori dalam keadaan mencurigakan. Keempat-empat anggota polis terbabit ternampak beberapa batang kayu cengal yang siap dipotong di situ. Bagaimanapun, pemandu lori yang menyedari kehadiran polis memecut lori berkenaan. Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Ahmad Sofian Md Yasin, berkata keempat-empat anggota polis itu mengejar lori terbabit yang menghala arah pekan Gua Musang. Ketika itu, seorang lelaki yang dipercayai kelindan lori terbabit memanjat ke belakang kenderaan itu dan membuka rantai yang mengikat balak yang dibawa. Sebatang daripada balak yang dihumbankan daripada lori terbabit mengenai kereta peronda polis berkenaan menyebabkan kenderaan itu berputar, katanya. Menurutnya, kereta peronda berkenaan kemudian hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung sedalam 20 meter. Katanya, pemandu dan kelindan lori yang dipercayai anggota sindiket pembalakan haram itu berjaya melepaskan diri. Pemandu kereta peronda itu retak di bahagian tulang bahu kirinya manakala tiga anggota lain tidak cedera. Orang ramai yang kebetulan lalu di jalan berkenaan membantu anggota polis dan menghantar mereka ke hospital, katanya. Ahmad Sofian berkata, pihaknya mengesan lori berkenaan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pembalakan haram.//HM 26 Julai http://www.perakan.net __________________________________________________ Do You Yahoo!? Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around http://mail.yahoo.com [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
