KOTA BAHARU, 2 Ogos - Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari Selasa menyeru semua lapisan masyarakat supaya mengibarkan dengan megah bendera kebangsaan, Jalur Gemilang, berbanding bendera parti politik masing-masing.
"Kita harap kali ini semua pihak dapat sama-sama menzahirkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, dan kalau boleh menurunkan buat sementara bendera-bendera yang lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2005 di Perkarangan Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, di sini. Turut hadir pada majlis itu yang dihadiri lebih 5,000 penduduk setempat ialah Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran, Perancangan, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan, Husam Musa, yang mewakili Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan Datuk Annuar Musa. Abdul Kadir berkata selain itu penduduk diminta untuk turut serta dalam semua program yang diatur bagi sambutan bulan kemerdekaan kali ini seperti gotong royong membina pintu gerbang, atau upacara keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing. "Kita telah merancang lima perayaan tonggak sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ini, antaranya Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan 2005 pada 17 Ogos ini yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri," katanya. Sementara itu Husam ketika diminta mengulas mengenai saranan Abdul Kadir untuk menurunkan bendera parti bagi menggantikannya dengan Jalur Gemilang berkata:"Susah juga kalau mahu turunkan semua bendera, apa kata kita naik semua bendera sama-sama, kan nampak cantik". Kata Husam lagi, langkah kerajaan pusat menyuburkan semangat kemerdekaan melalui Sambutan Hari Kebangsaan adalah satu langkah kreatif yang disokong penuh oleh kerajaan negeri. Program selama 16 hari itu, yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2001, bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dan cinta rakyat kepada negara sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke 48 pada 31 Ogos ini. Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 48 peserta menggunakan 15 kenderaan pacuan empat roda akan menjelajah mengelilingi Semenanjung Malaysia dan program itu akan berakhir di Danga Bay, Johor Baharu, serentak dengan majlis Perasmian sambutan bulan Kemerdekaan 2005 pada 17 Ogos ini. Kembara Jalur Gemilang 2005 kali ini menggunakan tema "Satu Bangsa Satu Negara, Malaysia Negaraku".//Bernama __________________________________________________ Do You Yahoo!? Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around http://mail.yahoo.com [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
