KOTA BHARU, 10 Ogos – Isu rasuah politik yang menyebabkan beberapa pemimpin 
Umno digantung keahliannya termasuk Tan Sri Isa Samad belum lagi reda biar pun 
Perhimpunan Agung parti itu sudah berlalu. 

Isu tersebut mulai diperkatakan kembali selepas Tan Sri Zaki Tun Azmi, 60 
meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno setelah kes 
perceraian dengan isteri keduanya, Nor Hayati Yahaya, 32 diketahui umum. 
Kes penasihat undang-undang Umno tersebut kini dirujuk di Mahkamah Syariah bagi 
mendapat pengisytiharan perkahwinannya itu batal dan tidak sah. Keadaan lebih 
menggemparkan lagi apabila bekas isterinya itu dikatakan menuntut RM10 juta. 
Ketua Umno Kota Bharu yang digantung keahlian selama tiga tahun, Dato’ Zaid 
Ibrahim tampil mempersoalkan kredibiliti Lembaga Disiplin Umno apabila seorang 
ahlinya terbabit dengan kontroversi perceraian, menghakimi pelakuan moral orang 
lain? 
Maka kata Zaid, apabila Zaki yang juga timbalan pengerusi lembaga tersebut 
turut menghakimi orang lain bersandarkan kepada alasan moral dan etika, maka 
beliau sendiri mesti mengamalkannya. 
Bagaimanapun isu rasuah politik Umno dirumitkan lagi apabila Timbalan Ketua 
Umno Bahagian Kuala Krai, Dato’ Sayed Mohd Ali Saipuddin Sayed Yaacob tampil 
mendedahkan secara terperinci salah laku tata etika ramai lagi pemimpin Umno. 
Dalam suratnya yang dituju kepada Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad 
Badawi, Timbalan Presiden, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Lembaga 
Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail, beliau mendedahkan nama 
calon Naib Presiden Umno dan Majlis Tertinggi yang terbabit politik wang pada 
pemilihan tahun lalu. 
Sayed Mohd Ali Saipuddin mendakwa seorang calon Naib Presiden yang menang 
membenarkan agennya memberi wang antara RM200 hingga RM500 kepada perwakilan di 
Hotel Grand Seasons. Selain itu, katanya, seorang calon Naib Presiden yang 
tewas didakwa memberi RM500 pada malam terakhir kepada perwakilan dari Kelantan 
di Hotel Grand Continental. 
“Seorang agen kepada calon tersebut cuba menyerah kepada saya sebanyak RM3,000 
tetapi saya tidak menerimanya,” katanya. 
Pemimpin itu juga mendakwa seorang lagi calon Naib Presiden yang tidak menang 
dari Pantai Timur, telah datang ke Kota Bharu dan mengadakan perjumpaan dengan 
semua perwakilan Kota Bharu, di Batu 2. Katanya selepas ucapannya wang sebanyak 
RM300 diberi kepada mereka yang hadir. 
Tiga orang saksi juga dinamakan bagi membuktikan dakwaannya itu. Pada surat 
tersebut juga beliau mendakwa enam calon anggota Majlis Tertinggi yang menang 
terbabit dengan politik wang. Mereka sekarang berjawatan Menteri Besar, menteri 
dan pemimpin di peringkat bahagian. 
Lima calon MT yang kalah juga didakwanya turut terbabit dengan politik wang. 
Setiap dakwaan dilengkapkan sekali dengan tempat sogokan wang dilakukan setiap 
calon terbabit. 
Pada surat itu juga yang salinannya turut diterima Harakah baru-baru ini 
menyebut apa yang dilakukan tidak ada tujuan menjatuhkan calon-calon terbabit 
tetapi mencari jalan terbaik untuk semua ahli Umno. 
“Saya juga berharap agar YAB Dato’ Seri dapat membincangkan pandangan daripada 
pimpinan bawahan seperti saya ini dan juga berharap ahli Majlis Kerja Tertinggi 
Umno Malaysia yang menerima salinan dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah 
ini agar dapat mencari satu keputusan yang baik dan akan menjadi sebuah parti 
yang dihormati bukannya dilihat selektif kepada individu tertentu sahaja,” 
katanya.//Paskelantan 


__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

[Non-text portions of this message have been removed]



 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke