KOTA BHARU: Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) anjuran Lembaga 
Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan berjaya membantu 183 penduduk 
miskin negeri ini menceburi perniagaan berasaskan hasil pertanian dalam usaha 
mengubah taraf hidup mereka.

SPKR yang dilancarkan awal tahun ini membabitkan tiga kategori iaitu pemasaran 
hasil pertanian, pemprosesan makanan (akok dan santan kelapa) dan perniagaan 
langsung (pasar tani, bermotosikal dan kereta sorong).

Peserta diberi latihan keusahawanan oleh Fama untuk meningkatkan keyakinan 
menjalankan perniagaan sehingga boleh berdikari dan mampu memperoleh pendapatan 
sehingga lebih RM1,000 sebulan.

SPKR mengutamakan rakyat berpendapatan kurang RM300 sebulan dalam usaha 
menjayakan agenda Kerajaan Pusat membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.

Pelancaran SPKR Fama Kelantan dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan 
Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar, pada pertengahan Februari 
lalu. 

Pada majlis itu, 15 peserta menerima peralatan perniagaan seperti motosikal 
roda tiga, kereta sorong, mesin memproses kelapa dan santan serta ketuhar 
membakar kuih akok yang dibiayai sepenuhnya oleh Fama.

Setakat ini Fama membelanjakan lebih RM300,000 bagi membiayai penyediaan 
motosikal roda tiga, kereta sorong, mesin memproses kelapa dan santan kepada 
peserta secara langsung dan bantuan input pertanian kepada peserta projek 
kontrak pemasaran hasil pertanian.

Ketua Unit SPKR Fama negeri, Nuriha Yusof, berkata 130 peserta SPKR perniagaan 
diberi peralatan berniaga di pasar tani seperti payung dan gerai kecil bernilai 
RM300.

Beliau berkata, 15 peserta diberi kereta sorong lengkap balang plastik termasuk 
beberapa peralatan lain bernilai RM8,000 untuk menjual air minuman berasaskan 
buah dan buah segar yang dipotong.

Katanya, empat peserta projek pemprosesan makanan menerima bantuan set ketuhar 
membakar akok yang setiap satu bernilai RM5,000 dan seorang diberi mesin 
memproses kelapa dan santan kelapa bersama peralatannya bernilai RM10,000.

“Semua bantuan diberi percuma menerusi program SPKR bagi meningkatkan 
pendapatan kumpulan sasar. 

“Kita dapati dalam tempoh enam bulan SPKR, semua peserta menunjukkan kemajuan 
hasil bimbingan Fama dengan purata keuntungan lebih RM1,000 sebulan,” katanya.

Nuriha berkata, Fama terus memantau perkembangan peserta termasuk merekodkan 
kemajuan mereka.

Peserta, Siti Rahmah Abdul Kadir, 40, dari Kampung Kerak, Batu 11 dekat Kadok, 
Ketereh, berkata kehidupannya berubah selepas Fama memberi motosikal roda tiga 
untuk menjalankan perniagaan di sekitar kampung.

Beliau yang juga ibu tunggal dan menanggung tiga anak masih belajar, berkata 
selama ini, dia menjaja sayur menggunakan basikal buruk.

“Syukur sejak menjadi peserta SPKR saya mudah menjaja sayur, buah dan roti.

“Ketika menjaja dengan basikal, saya hanya mampu kais pagi makan pagi, kais 
petang makan petang,” katanya yang kini memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan.

Penduduk Kampung Serapat Pasir Puteh, Ibrahim Salleh, 61, yang menerima bantuan 
ketuhar pembakar dan kuali akok, berkata pendapatannya kini purata RM900 hingga 
RM1,000 sebulan.

Beliau bersama isterinya, Minah Samad, 61, berkata, sebelum ini mereka membakar 
akok secara tradisional menggunakan sabut kelapa menyebabkan ia mengambil masa 
lama untuk masak serta terpaksa berdepan panas bara api dan asap.

“Dengan ketuhar dan kuali akok yang diberi Fama saya boleh menjual 600 biji 
hingga 700 biji akok sehari yang diletakkan di kedai kopi dan restoran pekan 
Pasir Puteh, selain tempahan orang ramai.

“Lebih mudah membakar akok menggunakan ketuhar dan tempoh masak juga lebih 
cepat serta boleh dibakar sehingga 48 biji untuk satu masa,” katanya yang 
menghasilkan akok bersama isteri sejak lebih 10 tahun lalu.

Fakta SPKR
-Peruntukan RM300,000
-183 peserta 
-Peserta berpendapatan kurang RM300
-Bantuan antara RM300 hingga RM10,000
-Tiga kategori - pemasaran, pemprosesan dan perniagaan langsung.

//Bha 15 Ogos

                
---------------------------------
 Start your day with Yahoo! - make it your home page 

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke