Penjelasan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat 
mengenai Isu Mawi ke Kelantan.  

Mukadimah: Isu Kerajaan Kelantan menjemput Mawi, rupa-rupanya mengundang satu 
polemik baru. Ramai tidak senang dan tidak kurang juga menyokong penganjuran 
konsert ‘Tautan Kasih’ 30 September ini. Paling mendebarkan sehingga ada yang 
menyimpulkan perkara haram dan halal tidak boleh bercampur dalam kerja dakwah. 
Oleh itu bagi merelaikan apa yang terbuku, wakil PerakanNet/ Harakah menemui 
semula Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menjelaskan 
kekusutan yang timbul.

Soalan: Nampaknya Tok Guru berjaya mengundang satu analitikal baru apabila 
mengundang ikon remaja masa kini, Mawi mempersembahkan hiburan alternatif di 
Kelantan. Adakah ini menggambarkan satu anjakan baru?
 
Tok Guru: Saya bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana isu Mawi menjadi 
perdebatan, ini menandakan perjuangan Islam benar-benar hendak perkara sebenar 
sehingga menyebabkan kami sebagai pemimpin Islam di Kelantan sangat 
berhati-hati dalam mencetuskan sesuatu masalah. Perdebatan ini sebenarnya bukan 
bermula dengan isu Mawi, namun sejak PAS mula diwujudkan lebih 50 lalu kerana 
ketika itu PAS dianggap memecahbelahkan orang Melayu, PAS tidak akan ada 
penyokong kerana sebahagian besar orang Melayu pada ketika itu menyokong Umno. 
Manakala orang Cina dan India langsung tidak sokong perjuangan Islam. Ini 
alasan yang sering diberi. Kemudian bila PAS wujud pelbagai tuduhan dan fitnah 
dilempar tidak habis-habis sehingga timbul isu PAS masuk dalam gabungan Barisan 
Nasional (BN). Ini menimbulkan perdebatan hangat sehingga PAS hampir-hampir 
berkecai. Kemudian datang lagi isu Semangat 46, sekali lagi PAS diprovok dan 
dituduh macam-macam. Baru kami pulih daripada tuduhan-tuduhan itu sehingga 
berjaya
 menubuh kerajaan melalui perkongsian dengan Semangat 46. Hasil daripada hujah 
yang kami beri bahawa Rasulullah SAW pernah mengadakan tahaluf siasi, perkataan 
ini hanya diketahui umum setelah PAS wujud, kalau gerakan Islam tidak wujud di 
Malaysia maka banyak istilah-istilah politik yang termaktub dalam sejarah Islam 
terpendam begitu sahaja. Perkara itu wujud dan perlu dizahirkan, kalau hendak 
diharap kepada parti yang berteras kebangsaan memendamkan begitu sahaja. Mereka 
menutup istilah terbabit diketahui ramai. Seperti mana juga istilah-istilah 
ekonomi Islam misalnya, mudharabah, musyaraah dan musyakaq. Istilah ekonomi itu 
terlalu banyak disebut dalam fiqah Islam. Baru sekarang timbul perkara itu 
terutamanya sistem perbankan Islam. Kerajaan Kelantan selepas diambilalih PAS 
pada 1990 memastikan simpanan duit kerajaan dipindahkan ke Bank Islam dan 
mengharamkan simpanan dalam bank konvensional. Kelantan berjayakan mencetuskan 
perkara itu termasuk mewujudkan ar Rahn (pajak gadai Islam)
 dan pinjaman kakitangan membeli kenderaan tanpa riba. 
 
Soalan: Bagaimana dengan isu Mawi pula?
 
Tok Guru: Sekarang timbul lagi isu Mawi kerana pada asasnya semua manusia 
berkehendak kepada hiburan. Tidak terkecuali. Tiap-tiap orang berkehendak 
kepada hiburan. Hiburan sebelum ini dipergunakan oleh orang Barat untuk mencari 
duit (keuntungan). Di sini silapnya. Punca kemusnahan alam ini kerana manusia 
hanya mencari duit tanpa mengira soal halal atau haram. Maka Kelantan berusaha 
memperkenalkan hiburan dengan cara teratur dan bersih mengikut Enakmen Kawalan 
Hiburan 1998. Sebelum ini penganjuran hiburan yang dipersembahkan Ustaz Akil 
Hayy dan Ito sudah diadakan. Kedua-duanya disebut sebagai penyanyi dan 
penghibur. Mereka membawa alunan dan lirik lagu yang lain daripada artis biasa. 
Maka kami ikhtiarkan bagi membolehkan rakyat Kelantan menikmati hiburan melalui 
lagu yang ada berkelainan daripada penyanyi lain. Berdasarkan kepada maklumat 
yang diberitahu mengenai Mawi, dia mempunyai aliran sendiri yang tidak 
terikut-ikut penyanyi lain. Ada mesej tersendiri. Saya jatuh hati dengan
 penampilan dia ketika bernyanyi. Sebelum ini Mawi hanya menyanyi di Akademi 
Fantasia (AF). Dalam soal ini harus difahami AF tidak ada kaitan dengan 
penganjuran konsert Tautan Kasih dianjurkan kerajaan negeri. Kalau sebelum ini 
Mawi ‘bertelur’ (beraksi) di sarang (pentas) AF, namun sekarang kita siapkan 
sarang lain (pentas) lain. Mudah-mudahan dia akan mempunyai pilihan dan tidak 
sahaja di pentas yang dicipta oleh orang lain. 
 
Soalan: Ada pihak berpendapat program hiburan adalah sebahagian agenda Yahudi 
bagi menghancur akhlak orang Islam?
 
Tok Guru: Kalau hendak kata ikut Yahudi atau Nasrani itu.. katalah. Yang jelas 
kami tidak libatkan AF. Bahawa Mawi mempunyai pentas alternatif. Lepas ini Mawi 
akan teruskan dengan pentas alternatif atau hendak balik semula ke pentas lain 
itu hak dia. Seperti mana Semangat 46, kami jemput dia duduk bersama dalam 
kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah dan kemudian dia kembali ke tempat asal itu, 
terpulanglah. Tetapi perlu ingat ramai pemimpin dan penyokong Semangat 46 tidak 
balik semula kepada Umno dan duduk bersama PAS. Ini nikmat Allah Taala kerana 
kami memperkenalkan jalan yang betul dalam politik sebagaimana kami perkenal 
jalan yang betul dalam hiburan alternatif. Itu satu ikhtiar daripada kami bagi 
memperkenalkan jalan yang betul. Hiburan ini adalah sebahagian naluri manusia 
dan ia mesti dipergunakan bagi perkara yang baik. Misalnya apabila Islam 
mewajibkan perang terhadap musuh adakah kita dianggap sebagai orang jahat. 
Peperangan itu dengan secara tidak langsung melibatan pembunuhan,
 Nabi SAW sendiri menjadi panglima perang, jadi di sini bererti Islam 
mempergunakan peperangan itu untuk kebaikan. Untuk fisabilillah. Bukan bererti 
Islam baik atau tidak kerana berperang. Islam mewajibkan perang sampai mati 
syahid sekiranya dipergunakan perang untuk filsabilillah dan bukan untuk 
menjajah negeri orang. Yang disebut Yahudi dan Nasrani itu sekiranya 
disalahgunakan naluri manusia.

Soalan: Sebenarnya apa pandangan Islam tentang hiburan?
 
Tok Guru: Pengembala lembu dan kerbau, petang-petang dia bersiul menggunakan 
seruling, begitu juga ibu bapa ketika mendodoikan anak-anak menggunakan lagu 
bagi melenakan anak mereka. Sahabat-sahahat Nabi SAW menggunakan syiar dan 
pantun bagi meluahkan isi hati mereka. Kita boleh baca syair dan gurinam yang 
diabadikan oleh ahli-ahli sejarah dalam kitab-kitab Hadis. Ini menandakan 
tiap-tiap manusia mempunyai keinginan hendak luahkan perasaan, sama ada hendak 
disebut sebagai nyanyian, syair atau pantun itu sekadar nama sahaja. Kita ada 
marhaban, nasyid maulud dan berzanji itu sama seperti nyanyian. Kalau nyayian 
itu tidak membawa kelalaian kepada Allah, maka orang kita panggil nasyid. 
Semuanya itu menggambarkan luahan hati melalui lagu dan suara masing-masing. 
Jadi di mana salahnya saya menjemput Mawi meluahkan isi hatinya melalui 
nyanyian. Sedangkan sebelum ini AF mempergunakan bakat Mawi melalui kaedahnya 
sendiri. Kita hendak beri kepada Mawi satu pentas lain. Mudah-mudahan gubahan
 yang diberi pengubah lagu, M Nasir dengan lirik dan alunan suara diharap boleh 
memberi tempat dalam hati generasi muda untuk balik semula ke jalan Allah dan 
meninggalkan perbuatan mungkar seperti dadah. Mudah-mudahan melalui konsert 
yang bakal kita anjurkan memberi kesedaran kepada mereka yang terbabit dengan 
dadah. Sedangkan sebelum ini kita dengar ramai mereka yang terbabit dengan 
hiburan terlibat dengan dadah. 

Soalan: Mawi ketika pertandingan akhir di AF dilihat bercampur dengan perempuan 
dan mengaku meninggalkan sembahnyang Maghrib. Jelas di sini berlaku percampuran 
soal halal dan haram. Sedangkan ada Hadis Nabi SAW menjelaskan tidak boleh 
berlaku percampuran di antara perkara halal dan haram?
 
Tok Guru: Kalau kerajaan negeri turut melibatkan sama AF sudah tentu keadaan 
jadi begitu, namun sekarang kerajaan negeri hanya melibatkan Mawi sahaja. Kita 
pisahkan Mawi dengan AF supaya dia kelihatan bersih. Seperti juga kita bawa 
Semangat 46 berada dalam kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah sebelum ini. Begitu 
juga dengan sahabat-sahabat Nabi SAW sebelum memeluk Islam terkenal dengan 
sifat bengis, kasar dan bermacam-macam masalah tetapi baginda bawa orang 
terbabit ke tempat yang baik dengan Islam. Ada seorang ahli syair dalam Islam 
yang bernama Hassan Bin Thabit dibawa Nabi SAW sehingga menjadi pejuang Islam 
yang besar dengan menggunakan bakatnya mendendangkan syair dan lagu. Kalau 
orang Islam sekarang beku, kaku dan statik bagaimana kita hendak 
memperkembangkan Islam. Islam bergerak terus menerus menggunakan naluri manusia 
untuk diIslamkan. 
 
Soalan: Apa yang dimaksudkan seni dalam Islam?
 
Tok Guru: Seni itu menjadi naluri bagi setiap manusia. Seni bahasa, seni lagu, 
seni doa, seni munajat dan segala bentuk seni lain. Islam meluahkan perasaan 
menggunakan syair, pantun dan ‘sanjak’ serta luahan doa sehingga menyebabkan 
air  mata mengalir. Mengapa sehingga mengalirkan air mata kalau tidak kerana 
lirik, lagu dan bahasa yang berbentuk seni. Ahli-ahli sufi sejak zaman berzaman 
menggunakan seni lagu sehingga menyebabkan ada manusia meraung di tengah malam. 
Inilah asasnya. Seni adalah perkara naluri. Cuma orang Barat menggunakan seni 
untuk mendapatkan duit seperti mereka menggunakan kuasa politik untuk menjajah. 
Seperti jelas sekali sekarang Presiden Amerika menggunakan politik untuk 
membohongi dunia kononnya Saddam Hussien ada senjata nuklear. Amerika juga 
menggunakan politik bagi menghancurkan Afghanistan. Mereka salah guna kuasa 
yang ada. Sekarang kita mahu membetulkan kembali salahguna itu. 
 
Soalan: Ada pendapat mengatakan tidak boleh berdakwah menggunakan pentas 
hiburan?
 
Tok Guru: Itu tidak betul. Hiburan itu apa ertinya. Sedangkan ia adalah 
kemahuan kepada naluri manusia. Mungkin orang hanya berfikir hiburan hanya 
untuk keseronokan, sedangkan hiburan dikehendaki naluri manusia. Nabi Muhammad 
SAW menyebut hiburan yang disukai baginda tiga perkara iaitu pemandangan hijau, 
wajah manusia yang cantik dan air yang mengalir. Dan kemuncak hiburan bagi Nabi 
SAW ialah apabila bersembahyang. Tiap-tiap orang ada hiburannya. Jadi sekarang 
apabila disebut hiburan dikaitkan dengan tari menari, nyanyian dan muzik 
sahaja, maka kami di Kelantan ada cara baru dan kami buat juga untuk 
membanteras dadah. Seorang menteri sebelum ini mengakui kempen antidadah 
melalui cara nyanyian dianggap lebih berkesan. 
 
Soalan: Tidakkah langkah kerajaan negeri menganjurkan konsert seperti ini boleh 
mengelirukan orang ramai kerana sebelum ini tidak dibenarkan program seumpama 
itu?
 
Tok Guru: Kita tidak benar persembahan hiburan mungkin sebelum Enakmen Kawalan 
Hiburan 1998 diwujudkan. Sekarang kerajaan Kelantan sudah membenarkan wayang 
kulit dalam versi baru, dikir barat juga dibenarkan setelah ada peraturan 
mengenainya. Kita melarang juga selepas enakmen itu ada kemungkinan ada 
penganjur tidak menepati peraturan ditetapkan. 
 
Soalan: Jadi tidak timbul kekeliruan dalam soal ini?
 
Tok Guru: Hendak hapus kekeliruan tidak boleh. Nabi Muhammad SAW sehingga wafat 
dituduh dengan bermacam-macam kekeliruan. Tapi biarlah kekeliruan itu datang 
dari hati yang bersih. Sebaliknya kalau kekeliruan ditimbulkan oleh hati yang 
degil, dengki dan berdendam sampai bila pun tidak selesai masalah. Seperti 
Amerika menuduh Islam ganas, sehingga dunia percaya. Tetapi benarkah Islam itu 
ganas, masih ramai orang keliru. Menjadi kewajiban kepada kita menerangkan 
Islam tidak ganas. Sebagaimana hiburan ada yang dibolehkan, sekiranya mengikut 
peraturan yang ditetapkan. 
 
Soalan: Sebelum ini Mawi turut diperguna Pemuda Umno dengan menyarung baju 
Putera Umno ketika pelancarannya peringkat negeri Kedah. Bagaimana tok guru 
melihat perkara ini?
 
Tok Guru: Tidak jadi masalah. Umno buat ikut cara dia. Kita jemput mengikut 
kaedah kita pula. Bakinya kita serah kepada Mawi sendiri. Itu tidak timbul 
masalah. PAS menggunakan Dewan Undangan Negeri (DUN), Umno pun guna DUN juga 
untuk berbahas. Umno guna televisyen dan PAS juga menggunakan kemudahan itu 
untuk berdakwah. 
 
Soalan: Benarkah Hassan al Bana pernah mengunjungi kelab-kelab hiburan untuk 
berdakwah?
 
Tok Guru: Ya betul. Adakah dakwah ini hanya dibuat di masjid sahaja. Al Quran 
turun ada di tengah padang, masa perang, masa damai, dan ini menandakan al 
Quran tidak mempunyai masa dan tempat tertentu. 
 
Soalan: Mungkinkah ada konsert alternatif lain akan diadakan selepas ini?
 
Tok Guru: Tengok keadaan. Sekurang-kurang konsert tersebut merupakan satu benda 
baru dan saya berterima kasih kepada rakyat sehingga mencetus persoalan baru 
dalam isu ini. Hak nak terima, terimalah dan mereka yang tidak mahu terima, apa 
boleh buat. Terpulanglah. Sama seperti peristiwa Israq Miraj ramai orang yang 
tidak boleh terima pada awalnya. Nabi SAW menyebut baginda bercakap benda 
benar, kalau orang tidak mahu terima apa hendak buat. Kami bercakap perkara 
benar dan ada hujahnya. 
 
Soalan: Apa nasihat tok guru kepada mereka yang masih lagi tidak berpuas hati 
dengan hasrat kerajaan negeri menganjurkan konsert Tautan Kasih?
 
Tok Guru: Islam perlu membersihkan semula perkara-perkara yang diseludup masuk 
dalam agama Islam termasuk syirik, khurafat dan bidaah. Banyak perkara bidaah 
yang disebut oleh orang beragama, sedangkan hakikatnya perkara itu bidaah. 
Perkara itu diseludup masuk sejak berkurun-kurun lalu. Sebab itu sekarang 
timbul bermacam-macam ilmu sesat dan ramai pengikutnya. Sekarang apabila 
kesedaran Islam tinggi kita tahu membezakan di antara sesat atau tidak. Begitu 
juga dengan fahaman kebangsaan yang hanya untuk kehidupan setakat dunia sahaja. 
 
Soalan: Macam mana kalau mereka tetap juga menolak?
 
Tok Guru: Datang dahulu tengok apa yang akan kita persembahkan. Kita ada 
Enakmen Kawalan Hiburan bagi mengawal persembahan tersebut.
 
http://www.perakan.net






__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke