KOTA BAHARU, 12 Sept -- Cadangan kerajaan pusat untuk memagar kawasan sepanjang
sempadan Malaysia-Thailand di sebelah Kelantan berikutan konflik bersenjata di
selatan negara jiran itu mendapat reaksi negatif banyak pihak di negeri ini.
Bahkan kerajaan negeri Kelantan sendiri awal-awal lagi menganggap cadangan itu
sesuatu yang tidak boleh diterima akal.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, "Langkah menutup sempadan
itu akan hanya menjejaskan ekonomi penduduk di kedua-dua kawasan iaitu di
sebelah Kelantan dan Selatan Thai."
Ura-ura hendak membina pagar di sepanjang sempadan yang dipisahkan oleh Sungai
Golok itu antara lain dikatakan bertujuan untuk menyekat kemasukan
anasir-anasir tidak diingini dari selatan Thai ke negara ini.
Ia susulan kemasukan 131 rakyat Thai ke Kelantan kira-kira dua minggu lalu
selepas mendakwa kononnya keselamatan mereka terancam ekoran beberapa operasi
tentera di sekitar kampung masing-masing untuk menghapuskan "pejuang pemisah".
Menurut Nik Aziz sejak turun temurun lagi penduduk Selatan Thai yang
kebanyakannya beragama Islam memasarkan produk keluaran mereka termasuk hasil
pertanian, perikanan, peralatan dapur dan pakaian pada kadar harga murah kepada
peniaga di pekan-pekan sempadan seperti Rantau Panjang, Pengkalan Kubur dan
Bukit Bunga.
Apabila barangan Thai tidak dapat masuk ke pekan-pekan itu, pelancong dari
seluruh Malaysia tidak akan berkunjung lagi ke pekan itu untuk membeli belah.
Akibatnya penduduk selatan Thai merana dan peniaga Malaysia gulung tikar.
Bahkan, tinjauan Bernama mendapati sejak tercetusnya konflik bersenjata di
selatan Thai awal tahun lepas ketiga-tiga Pusat Perdagangan Bebas di pekan
tersebut tidak lagi seceria dulu, walaupun sebelum ini ia pernah dikunjungi
puluhan ribu pelawat.
"Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga kini tidak lagi menjadi agenda
kunjungan wajib pelancong," kata Zainal Yahya, 39, bekas seorang peniaga
pakaian di Rantau Panjang yang kini sedang mencari-cari kerja lain untuk
menyara keluarga.
Pendapat Zainal turut dikongsi Ibrahim Liki, 48, seorang pemilik kedai pakaian
di pekan itu.
"Jualan kini tidak serancak beberapa tahun dulu. Kalau dulu musim perayaan,
boleh dapat dalam RM50,000 hingga RM70,000 sebulan tapi sekarang, untuk jualan
mencecah RM30,000 sebulan pun sukar," katanya.
Ibrahim bersetuju dengan saranan sesetengah pihak agar kawalan keselamatan
dipertingkatkan di kawasan sempadan, tetapi berpendapat tindakan membina pagar
sempadan pasti akan menjejaskan banyak perkara, terutama ekonomi dan hubungan
Silaturrahim penduduk di kedua-dua negara.
"Namun jika kerajaan rasa perlu juga bina pagar, buatlah, kerana ia mungkin
dapat menghalang kemasukan rakyat Thai yang tidak mempunyai dokumen
perjalanan," katanya.
Seorang pemandu teksi yang beroperasi di Pengkalan Kubur, Hab Ibrahim, 44,
berkata pembinaan pagar di sepanjang sempadan itu akan membantut aktiviti
ekonomi di kalangan penduduk kedua-dua negara yang mempunyai jalinan
kekeluargaan sejak ratusan tahun.
Contohnya, kata beliau walaupun dipisahkan oleh Sungai Golok yang luasnya hanya
kira-kira 15 meter, jalinan kekeluargaan dan perniagaan penduduk Kampung
Simpangan di Tumpat tidak pernah terputus dengan penduduk Chenerong di wilayah
Narathiwat.
Seperti penduduk Kampung Simpangan dan kampung-kampung lain di Kelantan yang
terletak di kawasan sempadan, majoriti penduduk Chenerong dan kampung-kampung
lain di tiga wilayah di selatan Thai iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala
mempunyai banyak persamaan daripada segi agama, bahasa pertuturan, cara hidup
dan kebudayaan.
"Atas dasar persamaan itulah maka penduduk di Kampung Simpangan dan Cehenerong
berulang alik menaiki bot hampir setiap hari untuk mengunjungi keluarga
masing-masing, bekerja atau berniaga," katanya.
Bagaimanapun kegiatan keluar masuk penduduk itu bukan dilakukan secara haram.
Di bawah peraturan yang ada pihak berkuasa membenarkan penduduk jajahan Tumpat
dan Wilayah Narathiwat menggunakan pengkalan Kampung Simpangan untuk berulang
alik antara 6 pagi dan 6 petang, dengan syarat mereka dapat mengemukakan pas
sempadan yang perlu disahkan oleh Balai Polis Simpangan.
Menurut Hab pembinaan pagar di sepanjang sempadan pasti akan menyusahkan rakyat
sedangkan pengawasan sedia ada sudah mencukupi untuk membendung sebarang
pencerobohan.
Sementara itu Polis Kelantan terus memperhebatkan kawalan keselamatan dan
rondaan di semua pintu masuk sempadan bagi mengelakkan lebih ramai warganegara
Thailand memasuki negara ini. "Kawalan keselamatan di sempadan sudah sedia ada
tetapi kini kita pertingkatkan dan perketatkan lagi dengan anggota yang
bertugas secara bergilir-gilir." kata Ketua Polis Negeri SAC I Zulkifli
Abdullah.//Bernama
---------------------------------
Yahoo! for Good
Click here to donate to the Hurricane Katrina relief effort.
[Non-text portions of this message have been removed]
------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~-->
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~->
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/