KOTA BHARU, 26 Sept Dijangka kira-kira 100,000 penduduk tempatan dan luar Kelantan hadir menyaksikan konsert Tautan Kasih dan pengisytiharan Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam pada hujung minggu ini.
Malah, rombongan termasuk dari Sarawak, Brunei, Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu difahamkan akan hadir melihat detik bersejarah itu. Kebanjiran lautan manusia akan menyendatkan bandar Kota Bharu. Oleh itu bagi program pemasyhuran Kota Bharu Bandar Raya Islam, kenderaan awam tidak dibenarkan memasuki kawasan pusat bandar mulai jam 2 petang, 1 Oktober ini. Hanya 500 kenderaan berpelekat khas dibenarkan masuk pada waktu tersebut sehingga berakhir pengisytiharan Bandar Raya Islam oleh Sultan Kelantan di Stadium Sultan Mohammad Ke IV. Sehari sebelum itu, beberapa jalan juga ditutup termasuk Jalan Bayam, Jalan Mahmood dan Jalan Hospital. Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Haji Abdul Rahman Yunus berkata, banyak rombongan dari luar Kelantan sudah menyatakan kesediaan hadir sama pada dua program berkenaan. Selain itu katanya, detik bersejarah tersebut turut disaksikan wartawan-wartawan hiburan dari akhbar dan majalah yang berpejabat di Kuala Lumpur. Setakat ini seramai 32 wartawan hiburan daripada pelbagai media sudah menyatakan kesediaan untuk hadir. Kehadiran mereka ditaja kerajaan negeri bagi membolehkan mereka membuat penilaian terhadap persembahan hiburan alternatif yang diadakan di sini. Kita berharap mereka dapat memberi gambaran keadaan sebenar yang berlaku, katanya di sini. Wartawan hiburan terbabit termasuk dari majalah URTV, Hai, Mangga, Klik, Media Hiburan, Bacaria, Bintang-bintang, Cermin, URS, Mingguan Wanita, Wawancara, NST dan Kosmo. Manakala media elektronik pula iaitu Melodi TV3, Trek Selebriti Astro dan Ikim.Fm. Penulis hiburan tersebut akan diberi kemudahan penginapan di Hotel Perdana dan pada pagi Jumaat mereka dibawa mengikuti kuliah mingguan oleh Menteri Besar. Sidang akhbar bersama Mawi akan diadakan di JKR 10, jam 11 pagi, 30 September. Pada jam 3.30 petang pula majlis Hi-tea bersama Raja Perempuan Kelantan akan diadakan di Hotel Perdana. Pada majlis itu Tengku Anis Tengku Abdul Hamid akan menyampaikan sumbangan kepada persatuan orang kurang upaya. Pada hari yang sama, Mawi yang diundang khas bagi mempersembahkan hiburan alternatif akan dibawa ke sebuah kedai jahit bagi menempahkan baju Melayu. Konsert Tautan Kasih yang diadakan di Padang Perdana bermula dengan azan Isya oleh Mawi dan solat Isya berjemaah yang diimamkan Ustaz Akil Hayy Rawa. Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka tiba di lokasi tersebut kira-kira jam 8.40 malam. Persembahan bermula dengan nyanyian dan motivasi oleh Akhil Hayy, kumpulan nasyid Mestica, nazam berirama Ustaz Abdul Aziz Che Man dan berakhir dengan Mawi. Abdul Rahman berkata, penonton yang hadir menyaksikan konsert Tautan Kasih akan dibahagi kepada tiga kumpulan iaitu lelaki, perempuan dan berkeluarga. Bagi penonton perempuan mereka hanya dibenarkan masuk melalui pintu di sebelah Dewan Perhimpunan Perempuan Kelantan, manakala lelaki dan berkeluarga di pintu masuk di depan stadium. Mereka dipastikan tidak bercampur ketika menyaksikan persembahan berkenaan. Dan selepas program selesai golongan belia dipastikan tidak terus berada di padang dan kawasan bandar, ujarnya. Manakala bagi mereka yang hadir lewat pada majlis pengisytiharan Bandar Raya Islam, tiga skrin besar akan disediakan bagi membolehkan mereka menyaksikan program yang berlangsung di dalam stadium. Ahli Majlis MPKB, Haji Nordin Noor berkata, tiga skrin tersebut diletak di Padang Perdana, padang hoki dan gelanggang tenis. Majlis pengisytiharan Bandar Raya Islam akan dimulakan dengan perarakan pejalan kaki dan kereta kuda yang membawa watikah pengisytiharan bermula dari Kota Darulnaim ke stadium jam 8 malam. Perarakan itu akan disertai 150 orang dan 14 kuda serta beca. Mereka akan melalui Jalan Kuala Krai, Jalan Sultan Ibrahim dan Jalan Mahmood. Bandar Kota Bharu juga sekarang bermandikan cahaya pada waktu malam yang dipasang sejak tiga hari lalu. Setiap pintu gerbang yang terdapat di kawasan bandar diterangi cahaya aneka warna. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, antara jalan-jalan utama yang dihiasi dengan lampu ialah Jalan Kuala Krai, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Doktor, Jalan Mahmood dan sekitar stadium. Kerajaan negeri memperuntuk sebanyak RM200,000 bagi tujuan itu dan memasang hiasan lain. Lampu-lampu tersebut akan dikekalkan di jalan-jalan terbabit, katanya. Penonton yang hadir di stadium juga diasing di mana wanita ditempatkan di sebelah hilir stadium, lelaki di sebelah hulu dan keluarga menghadap astaka. Pentas utama disediakan di tengah padang. //Hrkh __________________________________________________ Do You Yahoo!? Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around http://mail.yahoo.com [Non-text portions of this message have been removed] ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
