KOTA BHARU, 1 Okt. Persembahan pertama Mawi sempena konsertnya di negeri ini berjaya memukau penonton dengan dua buah lagu irama padang pasir, iaitu Nurul Ain dan Aduh Saleha.

Juara bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) itu menyampaikan lagu-lagu terbabit sempena majlis Santapan Hi-Tea Bersama Raja Perempuan Kelantan untuk Tabung Orang Kurang Upaya (OKU), di Hotel Perdana, di sini petang tadi.

Turut berangkat, Raja Ampuan Mahkota Kelantan, Tengku Zubaidah Tengku Noruddin, kekanda Sultan Kelantan, Tengku Salwani Sultan Ismail Petra.

Turut hadir, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri serta isteri masing-masing.

Sebagai menghargai kunjungan Mawi ke negeri ini, Raja Perempuan Kelantan turut menyampaikan cenderahati kepadanya.

Turut mengadakan persembahan Kumpulan Nasyid Mestica, penampilan istimewa Rosdi Abdul Hamid. Rosdi yang mewakili orang kurang upaya menyampaikan dua buah lagu, iaitu Gadis Melayu dan Renungkanlah.

Terdahulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sewaktu berucap pada majlis itu menyeru golongan berada supaya membantu golongan miskin termasuk mereka yang kurang upaya.

Katanya, golongan yang berpendapatan tinggi hendaklah berbuat demikian agar cara berkenaan akan merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua belah pihak.

“Rezeki yang dikurniakan Allah hendaklah diagihkan pada golongan yang kurang berada, apa lagi mereka yang kurang upaya,” ujarnya.

Tambahnya mudahan dengan cara terbabit, akan meringankan beban penderitaan mereka.

Anggota Exco kerajaan negeri, Haji Husam Musa ketika berucap pada majlis itu memberitahu, kerajaan negeri telah menghulurkan bantuan kepada 34 persatuan golongan Orang Kurang Upaya sebanyak RM100,000.

Beliau bagaimanapun berkata, golongan berkenaan bukan sahaja memerlukan sumbangan wang semata-mata, sebaliknya sokongan serta kasih sayang dari masyarakat.

Kerana kasih sayang, menurutnya akan meningkatkan semangat juang pada mereka untuk terus hidup di muka bumi ini dengan penuh nikmat dan penuh keinsafan.

Dalam ucapan itu juga Husam turut berpantun, di mana pantunnya turut berjaya menggeletek hati penonton, termasuk Raja Perempuan dan Tengku Ampuan Mahkota.

Antaranya berbunyi:

Ambil tali panjang tujuh, minyak bercampur air mawar, Mawi laksana tali yang teguh, boleh diambil jadi penawar.

Buai laju-laju, sampai balik sana, Tuan Guru kata setuju, Mawi pun datang sama.


Yahoo! for Good
Click here to donate to the Hurricane Katrina relief effort.

YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke