KOTA BHARU - BRI 1 Okt. : Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra malam ini mengisytiharkan Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam dalam satu majlis penuh bersejarah di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV di sini.

Berikutan perisytiharan tersebut, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kini dikenali sebagai Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Dalam majlis itu, Tuanku Ismail Petra secara simbolik menerima watikah pemasyhuran yang dibawa dengan kereta kuda dan diiringi beca berhias daripada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Baginda kemudiannya menyerahkan watikah tersebut kepada Yang Dipertua MPKB, Ab. Aziz Ab. Rahman.

Ia disaksikan oleh lebih 40,000 penonton yang turut diasingkan tempat duduk antara lelaki dan perempuan.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dan Tengku Ampuan Mahkota Kelantan, Tengku Zubaidah Tengku Norudin.

Perisytiharan turut diserikan dengan persembahan artis popular masa kini, juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, M. Nasir, Kumpulan Rabbani dan bekas penyanyi rock, Akil Hayy serta dikir barat.

Ini merupakan persembahan kedua Mawi di Kelantan selepas mengadakan persembahan di Konsert Tautan Kasih di Padang Perdana, malam semalam yang juga turut dihadiri oleh lebih 40,000 penonton.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz dalam ucapan alu-aluan dalam buku cenderamata majlis berkata, falsafah dan konsep yang dipakai oleh MPKBBRI adalah berpaksikan kepada al-Quran dan Al-Sunnah bagi memastikan terpeliharanya lima keperluan asas kehidupan manusia iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

"Falsafah dan konsep Kota Bharu bandar raya Islam ialah iman dan takwa yang mana ia adalah sebuah bandar yang menghayati dengan menyeluruh ajaran al-Quran dan Al-Sunnah,'' katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Takiyuddin Hassan dalam ucapan alu-aluannya berkata, bagi merealisasikan Kota Bharu bandar raya Islam pihaknya juga berpegang kepada lima `KAF' iaitu keilmuan, kepatuhan, kebersihan, kebajikan dan kesejahteraan.

"Sesungguhnya konsep Kota Bharu sebagai bandar raya Islam adalah manifestasi daripada dasar membangun bersama Islam yang telah diasaskan oleh kepimpinan kerajaan negeri Kelantan sejak 15 tahun lalu,'' ujarnya.


Yahoo! for Good
Click here to donate to the Hurricane Katrina relief effort.

SPONSORED LINKS
Florist malaysia Malaysia hotel Kelantan


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke