KOTA BAHARU, 2 Okt -- Konsert sempena perisytiharan Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandar Raya Islam di Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini malam tadi cuba membawa satu pembaharuan dalam dunia hiburan muzik dalam memenuhi kepuasan naluri insan.

Rangkaian lagu-lagu bercorak sederhana dan penuh nasihat dibawa oleh Mawi, juara Akadami Fantasia 3, dan sifunya M.Nasir di konsert itu menjadi saksi kepada orang ramai mengenai bentuk persembahan yang bersopan dan memanfaatkan.

Ini berbeza dengan persembahan yang mengikut acuan barat mengetengahkan penyanyi yang menjerit-jerit tidak menentu, dalam suasana kelam kabut.

Konsert itu merupakan permulaan baik bagi semua pihak sama-sama merumus pendekatan hiburan terbaik kerana isu muzik merupakan masalah khilafiah di kalangan ulama Islam sejak zaman berzaman.

Ada ulama menganggap hiburan muzik dan nyanyian sebagai haram sementara ada yang berpendirian sebaliknya.

Walaupun Kerajaan Kelantan akan terus membuka pintu kepada konsert masa depan, namun apakah corak hiburan berirama padang pasir dan sepertinya akan mampu memenuhi selera orang ramai?

Apakah pimpinan kerajaan negeri sedia membenarkan lagu-lagu rentak lain yang dianggap tidak melampau seperti keroncong didendangkan di pentas?

Peminat muzik juga tertanya-tanya apakah lagu puisi yang menjadi trade mark Ebiet G.Ade dari Indonesia dibenarkan?

Yang pasti, lagu rentak reggae dendangan penyanyi tertentu yang dikaitkan dengan penagihan dadah tidak sesuai dibawakan dalam konsert hiburan alternatif bercorak sederhana.

Apapun, semua pihak perlu bekerjasama menangani isu ini memandangkan sebelum ini pemimpin kerajaan pusat sudah banyak kali menegur beberapa siri program hiburan yang melampau dan menjadikan konsert sebagai satu modul ke arah perubahan yang lebih besar dalam dunia hiburan.

Pengasingan antara lelaki dan wanita dan penonton yang berkeluarga semasa konsert itu merupakan perkara besar yang perlu diberi perhatian walaupun pada mulanya ia dianggap mustahil dilaksanakan.

Konsert seperti ini tidak perlu dipertikaikan sama ada ia menepati ajaran agama tetapi cukup sebagai permulaan untuk memperkenalkan satu bentuk hiburan mengikut acuan Malaysia yang terkenal dengan kesederhanaan.

Mawi yang menjadi tarikan utama konsert itu merupakan ikon yang tepat untuk dijadikan contoh kerana mengajak orang ramai supaya tidak melupakan akhirat semasa memenuhi keperluan duniawi.

Komposer dan penyanyi terkenal M.Nasir juga merasai perbezaan konsert yang disertainya malam tadi dan memahami bahawa hiburan juga mempunyai had-had yang tertentu.

Katanya beliau menggunakan hiburan sebagai cara berdakwah dan ia dilakukannya melalui lagu yang dicipta dan disampaikan sama ada oleh beliau atau penyanyi lain.

Di sini, peranan penyanyi juga tidak kurang pentingnya bagi menjayakan perubahan yang diiginkan dalam dunia hiburan dan mereka perlu bertanggungjawab dan beretika dalam segala aspek.

Mawi boleh dikatakan contoh artis yang mampu menarik jutaan peminatnya terutama remaja kepada hiburan alternatif yang boleh diterima semua peringkat masyarakat.

Kejayaan konsert Tautan Kasih itu merupakan satu petanda baik untuk persembahan konsert di Kelantan pada masa akan datang.

Perkara itu mendapat jaminan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan, Husam Musa.

Katanya konsert yang mengetengahkan hiburan alternatif akan dibawa ke Kelantan kerana konsert Mawi merupakan satu usaha mengisi lompang seni hiburan yang selaras dengan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 1998 dan bukan mengikut acuan hiburan Barat.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan, sudah sampai masanya perubahan itu dilakukan selepas 15 tahun parti itu memerintah negeri ini bagi mengawal bentuk hiburan yang dipersembahkan dan bukan mengharamkannya.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri berpuashati dengan perjalanan konsert itu yang dihadiri lebih 40,000 penonton dan menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai.//Bernama


Yahoo! for Good
Click here to donate to the Hurricane Katrina relief effort.

YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke