Oleh Zulkifli Bakar (WARTAWAN UTUSAN)
Kelmarin 1 Oktober, Kota Bharu yang sebelum ini dikenali sebagai Kota Budaya berubah nama apabila Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra mengisytiharkan Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Majlis gilang-gemilang di Stadium Sultan Mohammed ke-IV yang disaksikan oleh lebih 40,000 penduduk bandar berkenaan juga menandakan berubahlah nama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKBBRI).
Bagaimanapun apa yang perlu diperjelaskan ialah pengisytiharan berkenaan bukan bermaksud Kota Bharu kini bertaraf bandar raya sebaliknya ia sekadar perubahan nama kepada MPKB sahaja.
Ini kerana Kota Bharu hanya akan diisytiharkan bertaraf bandar raya pada tahun 2015 selepas ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat berhubung perkara berkenaan.
Buat masa ini, `taraf' bandar raya Islam tersebut hanya diguna pakai oleh MPKB sahaja dan bukannya bermaksud Kota Bharu adalah sebuah bandar raya.
Apa pun melalui penerangan dan maklumat yang diberikan oleh kerajaan negeri serta pelbagai kempen yang dijalankan, umum amat memahami bahawa maksud sebenar kerajaan negeri pimpinan Pas itu adalah untuk mengisytiharkan bahawa Kota Bharu kini adalah bandar raya Islam.
Sama ada ia sudah mencapai taraf bandar raya atau tidak ia bukanlah persoalan bagi kerajaan negeri apa yang penting pengisytiharan berkenaan sudah lama diidamkan sejak Pas memerintah Kelantan pada tahun 1990.
Sebenarnya, kita tidak perlu berdebat panjang berhubung di mana sepatutnya istilah `bandar raya Islam' itu digunakan sama ada pada nama MPKB atau Kota Bharu, ucapan dan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Takiyuddin Hassan berhubung perkara itu sudah pun jelas.
Apa yang mustahak sekarang, pengisytiharan bandar raya Islam ini bermakna kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab berat bagi memastikan Kota Bharu benar-benar mencerminkan bandar raya Islam.
Nama tiada masalah, berilah apa pun gelaran yang penting ialah pengisian dalam memastikan nama tersebut selaras dengan pelaksanaan dan bukan sekadar terpampang di papan-papan tanda sahaja.
Jika dikaji, untuk mengisytiharkan bandar raya bukanlah suatu perkara sukar apatah lagi jika ia menggunakan gelaran `Bandar Raya Bersejarah' atau `Bandar Raya Pelancongan'.
Penggunaan gelaran `bersejarah' dan `pelancongan' itu tidaklah begitu membebankan tambahan pula jika bandar berkenaan sememangnya mempunyai `aset' untuk memegang gelaran itu.
Tetapi adalah satu tanggungjawab yang cukup berat apabila gelaran `bandar raya Islam' digunakan. Ini kerana selain untuk memastikan bandar Kota Bharu setaraf dengan `bandar raya' ia juga perlu memastikan ciri-ciri keIslaman itu wujud di bandar berkenaan.
Inilah cabaran terbesar, kerajaan negeri yang kini berada di bawah kepimpinan ulama seperti Nik Abdul Aziz. Strategi dan perancangan serta langkah yang betul-betul serius perlu dijalankan kerana sebarang kelemahan atau kesilapan bukan sekadar mencemar imej Kota Bharu tetapi Islam itu sendiri.
Sempurna
Ia disebabkan Islam adalah sebuah agama yang sempurna, tiada cacat cela dan memberi panduan kepada umat untuk mencapai kemajuan di dunia dan akhirat.
Oleh itu, kerajaan negeri perlu serius untuk memulakan tindakan bagi memastikan wajah Kota Bharu setaraf dengan gelarannya. Masalah kebersihan, pembangunan bercirikan Islam serta gejala sosial yang masih berleluasa masih menjadi ancaman kepada bandar berkenaan.
Jika semua gejala ini dibiarkan berterusan ia boleh mengancam nama baik bandar itu, malah orang luar yang datang ke Kelantan akan tertanya-tanya apakah ini contoh sebuah bandar raya Islam.
Buat permulaan ini, kerajaan negeri tidaklah perlu risau mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa masalah pengangguran dan kemiskinan yang berlaku di Kelantan adalah bukti Kota Bharu tidak layak untuk gelaran berkenaan.
Apa yang lebih mustahak ialah meningkatkan taraf kebersihan kerana ini adalah masalah yang boleh dilihat dengan `mata kasar' dan bukannya statistik seperti pengangguran dan kemiskinan.
Adalah sesuatu yang memalukan serta menjejaskan imej Islam jika di sekitar bandar Kota Bharu, kekotoran masih lagi menjadi `pemandangan biasa'.
Itulah langkah pertama sebelum ia disusuli dengan usaha untuk menghapuskan kemiskinan dan pengangguran yang kadangkala disebabkan oleh sikap individu itu sendiri.
Kini pelbagai pihak memberi perhatian, mereka menilai pengisytiharan berkenaan mengikut cara masing-masing dan begitu teruja untuk melihat sejauh mana kerajaan negeri mampu mengisi konsep bandar raya Islam tersebut.
Sebenarnya, tiada umat Islam di negara ini yang menentang hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan bandar raya Islam tetapi biarlah ia dilakukan secara bersungguh-sungguh dan bukannya sekadar pada nama sahaja.
Apa pun kita harus memberi peluang kepada kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Nik Abdul Aziz untuk membuktikan bahawa mereka berupaya mewujudkan sebuah bandar raya Islam sama ada mereka berjaya atau tidak biarlah rakyat menilainya.
Yahoo! for Good
Click here to donate to the Hurricane Katrina relief effort.
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "perakan" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
