KOTA BAHARU, 10 Okt -- Usaha kerajaan Kelantan menjemput juara Akademi Fantasia (AF) 3, Mawi mengadakan persembahan di sini baru-baru ini bukan bertujuan mempopularkannya tetapi untuk menerapkan sistem yang ditegakkan dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Takiyuddin Hassan berkata Mawi hanya digunakan sebagai satu platform oleh kerajaan negeri yang mempunyai agenda yang lebih besar dalam mengawal bentuk hiburan di Kelantan.
"Kita membawa Mawi bukan nak dipersembahkan kepada peminatnya semata-mata tetapi kita nak terapkan sistem yang ditegakkan kerajaan khususnya dalam bentuk yang mempunyai peraturan dan syaratnya," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2006 Kelantan di Dewan Undangan Negeri di sini Isnin.
Katanya di bawah peraturan itu, ia mempunyai peraturan dan syarat bagi membolehkan persembahan hiburan diadakan di negeri ini.
Beliau juga merakamkan ucapan
terima kasih kepada liputan berita mengenai persembahan konsert Mawi yang dianjurkan sempena majlis perisytiharan Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandar Raya Islam yang disempurnakan Sultan Kelantan pada 1 Okt lalu.
Hassan juga membacakan beberapa artikel dalam laporan akhbar dan majalah HAI terbitan Kumpulan Utusan Melayu mengenai konsert terbuka itu.
Sementara itu, Takiyuddin menjelaskan walaupun selepas perisytiharan Bandar Raya Islam, pihak berkuasa tempatan mengizinkan pembinaan rumah ibadat agama lain selaras dengan kebebasan beragama.
Terdahulu, semasa sesi soal jawab, Takiyuddin berkata berdasarkan kajian Bahagian Keusahawanan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), kerajaan negeri berpendapat pembukaan pasar raya dan pasar hyper tidak akan menjejaskan pendapatan peniaga kecil di negeri ini.
Menjawab soalan tambahan Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga), beliau berkata pembukaan pasaraya itu bukan satu ancaman kerana ia sebenarnya
membantu pekedai membeli barangan secara borong.
Semasa menjawab soalan asal Mohd Rosdi Abdul Aziz (BN-Wakaf Bharu), katanya setakat ini terdapat 17 pasar raya termasuk satu pasaraya hyper di negeri ini dengan dua daripadanya mempunyai saham pegangan majoriti oleh Bumiputera.
Takiyuddin juga berkata kerajaan negeri memutuskan bahawa Jabatan Agama Islam akan memantau setiap pasangan yang ingin berkahwin supaya menjalani ujian HIV mulai 1 Jan tahun depan, sama ada bagi kali pertama atau sebaliknya untuk membendung penularan penyakit itu.
Menjawab soalan tambahan Dr Shamsul Ikhwan Ashaari Azmi (BN-Guchil), beliau berkata jurunikah tidak boleh menikahkan pasangan itu sekiranya mereka tidak dapat mengemukakan sijil ujian itu.//Bernama
Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "perakan" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
