Bajet Kelantan 2006 antara terbaik sejak 1986

 

KOTA BHARU, 10 Okt - Adun Perupok, Dato’ Omar Muhamed memberitahu bajet 2006 yang dibentangkan Menteri Besar, Khamis lalu merupakan antara belanjawan terbaik pernah dibentangkan di DUN Kelantan sejak 1986.


"Bagaimanapun usaha pembangkang membandingkan bajet negeri dengan bajet yang dibentangkan di Parlimen adalah suatu yang tidak adil.

 

"Negeri memiliki sumber hasil yang terhad dan bidang kuasa yang terbatas, sedangkan Pusat memiliki hasil yang sangat besar dan bidang kuasa yang luas," katanya pada perbahasan menyokong Belanjawan Kelantan 2006 di persidangan DUN petang semalam.

 

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Dato’ Annuar Musa dan Mohd Zain Ismail (BN - Gual Periuk) memperkecilkan Bajet Kelantan 2006 dan dibandingkan belanjawan negara yang dibentang di Parlimen.

 

Omar berkata, biar pun kerajaan PAS dikatakan tidak mampu melakukan pembangunan fizikal yang hebat, namun perlu disedari sumbangan besar kerajaan PAS dari aspek kerohaniah.

 

"Sebaik sahaja memerintah kita telah mengharamkan judi, mengawal hiburan dan mengharamkan permainan yang melalaikan serta amalan syirik seperti amalan pemujaan pantai," ujarnya.

 

Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) melahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kelantan kerana berjaya menambah peruntukan yang besar untuk program pendidikan agama.

 

Katanya, peruntukan sebanyak RM40.5 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi pengurusan pendidikan dan RM2.5 juta lagi untuk pembangunan sekolah menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan rakyat.

 

"Saya juga berharap kerajaan Pusat dapat mengembalikan bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat. Dalam dewan yang mulia ini kita ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan diharap beliau mengetengahkan hasrat tersebut di peringkat kabinet," kata beliau.

 

Beliau juga menyifatkan kenyataan pembangkang yang mengatakan ulama hanya layak mengajar di masjid dan surau merupakan pandangan mereka yang berfikiran sekular.

 

"Jangan kita menyempitkan peranan dan sumbangan ulama dalam politik dan pentadbiran Islam, sepatutnya alim ulama yang selayaknya menjadi ketua negara kerana mereka ini memiliki keilmuan, keimanan dan keikhlasan terhadap amanah rakyat," katanya.

 

Sebelum itu Dr Shamsul Ikhwan Ashaari Azmi (BN-Guchil) memuji kejayaan kerajaan negeri menganjurkan konsert mengikut garis panduan ditetapkan Islam pada 30 September dan 1 Oktober lepas.//

 

Bonus Untuk Kakitangan Awam Kerajaan Negeri

 

Kota Bharu, 10 Okt - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Hj. Ahmad Yakob petang ini mengumumkan pemberian bonus kepada semua kakitangan awam Kerajaan Negeri, termasuk Yayasan Islam Kelantan.

Beliau mengumumkan demikian ketika menggulung perbahasan belanjawan negeri Kelantan petang ini.

 

Menurut Dato' TMB, Kerajaan Negeri akan menerima pakai pengumuman yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2006 di Parlimen Jumaat lalu mengenai pemberian bonus kepada seluruh kakitangan awam Kerajaan Kelantan.

 

Pemberian bonus ini meliputi bonus sebulan setengah bagi gaji minimum RM1000 ke bawah dan bonus sebulan gaji atau RM1500 bagi kakitangan yang memperolehi gaji RM1500 dan ke atas. //

 

Terdapat 16 pasar raya, 1 'hypermarket' di Kelantan

KOTA BHARU, 10 Okt – Di seluruh Kelantan sekarang terdapat 17 pasar raya termasuk satu daripadanya bertaraf pasar raya besar (hypermarket) kata anggota Exco, Haji Zulkifli Mamat.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia berkata, dua daripadanya dimiliki golongan bumiputera.

 

"Manakala syarat-syarat yang ditetapkan bagi melulus pemohonan pasar raya, di mana setiap permohonan mesti diaju kepada pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan pihak terbabit perlu bersedia memasarkan produk keluaran tempatan," katanya menjawab soalan Mohd Rosdi Abdul Aziz (BN – Wakaf Bharu) pada persidangan DUN hari ini.

 

Menjawab soalan tambahan Haji Mohd Fauzi Mohamad (BN – Tendong) katanya, pasar raya yang dimiliki bumiputera iaitu Mydin dan Pasar Raya Bilal.

 

Katanya, takrifan terhadap pemilikan bumiputera dibuat berdasarkan ekuiti yang dimiliki lebih daripada 51 peratus daripada pemilikan pasar raya tersebut.

 

Ketika menjawab soalan tambahan Adhan Kechik (BN – Bukit Bunga) katanya, berdasarkan kajian yang dibuat Bahagian Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kewujudan pasar raya terbabit tidak menjejaskan peniaga-peniaga kecil.

 

"Malah peniaga-peniaga kecil boleh mendapatkan barang secara borong daripada pasar raya tersebut untuk dijual kembali di tempat mereka," katanya.

 

Selain itu menurutnya permohonan untuk mewujudkan sebuah lagi pasar raya besar sudah diluluskan dan beberapa lagi pasar raya masih dalam pertimbangan. Kata beliau di Kelantan sekarang terdapat enam jajahan yang sudah mempunyai pasar raya.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, antara komponen yang bakal dibangunkan di kawasan projek Lembah Sireh iaitu perumahan, kawasan perniagaan komersial, perhotelan dan taman rekreasi.

 

Ketika menjawab soalan Adun Wakaf Bharu katanya, petani-petani yang terbabit dengan projek tersebut dibayar pampasan sebanyak RM100 hingga RM900 setiap bulan dalam tempoh tiga tahun.

 

"Sehingga sekarang sebanyak RM850,000 sudah dibayar kepada petani-petani terbabit," katanya.

 

Menjawab soalan tambahan Dato’ Noor Zahidi Omar beliau berkata, pihak pemaju yang membangun projek Lembah Sireh akan membina sebuah stadium tertutup, jambatan di Kampung Cina dan jambatan baru berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra.

 

"Bagaimanapun sekiranya kerajaan Pusat meluluskan pembinaan jambatan baru berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, pihak syarikat akan membayar kepada kerajaan negeri kos jambatan yang dirancang sebagai ganti rugi," katanya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, sejak 2003 sehingga sekarang tidak ada sebarang bantuan diberi kerajaan Pusat kepada sekolah agama di negeri ini.//

 

Rakyat miskin dibagi ladang 600 ekar di Rantau Panjang

KOTA BHARU, 10 Okt – Kerajaan negeri akan mengambil alih semula kawasan ladang seluas 600 ekar yang diusahakan sebuah agensi kerajaan Pusat untuk diagih kepada penduduk miskin.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Haji Husam Musa berkata, kawasan ladang itu terletak di Rantau Panjang akan diambil dan diagih kepada penduduk miskin tahun depan.

 

Ketika menjawab soalan Dato’ Annuar Musa (BN – Kok Lanas) pada persidangan DUN hari ini katanya, penduduk miskin yang terpilih akan dibagi dividen daripada keuntungan ladang terbabit.

 

Husam juga mencadangkan kerajaan Pusat mengkaji balik paras kemiskinan yang ditetapkan sekarang iaitu sekitar RM400 sebulan kerana tidak sesuai lagi dengan kedudukan semasa.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, bilangan guru yang berkhidmat di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 1977 seramai 633 orang, meningkat kepada 953 orang pada 1990 dan bertambah lagi kepada 1075 pada 2004.

 

"Manakala bilangan pelajar pula pada 1977 seramai 10,878 orang, 1990 (18,996 orang) dan 2004 (13,115 orang)," katanya ketika menjawab soalan Dato’ Hashim Saffin (BN – Gual Ipoh).

 

Menurutnya dari aspek peruntukan yang disediakan kerajaan negeri pada 1990 sebanyak RM16.6 juta dan 2004 (RM49.4 juta).

 

Menjawab soalan tambahan Haji Shukri Abdul Rahman (PAS – Kadok) katanya, pengurangan bilangan pelajar berlaku pada tahun 2004 disebabkan kesan kenyataan negetif pemimpin negara terhadap sekolah agama rakyat dan penarikan balik bantuan perkapita.

 

"Ada ibu bapa yang terpengaruh dengan kenyataan pemimpin negara sehingga menarik balik anak mereka yang belajar di sekolah agama," katanya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hassan Mohamood berkata, Menteri Besar dan anggota-anggota Exco terbabit sama dengan program pengislaman Orang Asli di negeri ini.

 

Katanya, pada awal Ogos lalu Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan menyertai program dakwah di Pos Balau yang terletak di pedalaman Gua Musang.

 

Katanya, pada kunjungan itu lebih 10 penduduk Orang Asli berjaya diIslamkan. "Sebelum ini program dakwah dijalankan di beberapa penempatan termasuk Wook, Pulat dan Rual di mana sebahagian besar mereka menganut Islam," katanya menjawab soalan Mohd Zain Ismail (BN – Bukit Tuku).

 

Beliau juga berkata, kerajaan negeri mewujudkan Unit Khas Dakwah Orang Asli bagi menjalankan gerakan dakwah di penempatan Orang Asli yang terdapat di pedalaman Kelantan.

 

Manakala program yang dijalan bagi meningkatkan kefahaman Orang Asli terhadap Islam termasuk majlis dialog, belia Orang Asli yang menganut Islam dihantar ke Institut Dakwah Islamiah Perkim dan melantik seramai 14 penduduk Orang Asli yang sudah Islam sebagai guru agama. //

 

ADUN BN Gagalkan Pindaan Undang-Undang

 

Kota Bharu, 10 Okt - 14 orang ADUN BN petang ini mengundi tidak bersetuju dengan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang dicadangkan oleh YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar Kelantan.

 

Cadangan pindaan enakmen tersebut telah dibahas oleh seorang ADUN BN, Kuala Balah, YB Aziz Derashid yang mempertikaikan tindakan pihak Kerajaan Negeri melakukan pindaan tersebut tanpa menyedari bahawa Kerajaan tidak mempunyai cukup majoriti 2/3 bagi melakukan pindaan.

 

Beliau terus mengkritik kerajaan kerana tidak berbincang dan merujuk dahulu dengan ADUN pembangkang bagi mendapatkan persetujuan untuk melakukan pindaan tersebut.

 

YB Takiyudin Hassan dan YB Husam Musa sewaktu menggulung bagi pihak Kerajaan Negeri berharap agar pihak pembangkang memberi sokongan terhadap pindaan tersebut kerana ianya hanya melibatkan pindaan undang-undang dari sudut kebenaran Kerajaan mencetak Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dalam bahasa Malaysia.

 

Buat masa ini, kebenaran mencetak hanya diberi kepada pencetak Kerajaan dan keadaan ini memerlukan pindaan Undang-Undang kerana Kelantan tidak mempunyai syarikat pencetak Kerajaannya sendiri.

 

YB Penasihat Undang-Undang Negeri yang diberi peluang oleh Dato' Speaker untuk memberi penjelasan berkata, cadangan pindaan ini adalah selaras dengan kehendak Persekutuan dan arahan pejabat Peguam Negara dan beliau berharap agar perkara ini disokong oleh semua pihak.

 

PAS Kelantan Online melihat tindakan pihak pembangkang ini sebagai satu tindakan yang tidak demokratik dan bercanggah dengan ucapan ahli-ahli pembangkang sendiri yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada sebarang usaha untuk kebaikan dan kemajuan negeri Kelantan.

 

Tiada guna cakap berdegar-degar dan mengadakan Konvensyen untuk memajukan Kelantan jika perkara yang melibatkan kepentingan negeri khasnya diketepikan oleh ADUN pembangkang akibat dari sentimen politik asobiyah yang cukup menebal dalam diri setiap anggota BN, termasuklah Menterinya sendiri dari Ayer Lanas yang telah gagal menangkis hujah-hujah YB Husam sewaktu menggulung perbahasan bajet petang ini.//


Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.

SPONSORED LINKS
Florist malaysia Malaysia hotel Kelantan


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke