KOTA BHARU, 13 Okt Selepas bantuan perkapita kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) dihentikan tiga tahun lalu, banyak sekolah agama milik persendirian di luar Kelantan terpaksa gulung tikar. Bagaimanapun 70 sekolah SAR atau dikenali sebagai bantuan negeri di negeri ini bernasib baik kerana mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri. Petang semalam 94 sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima bantuan Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) berjumlah RM874,240 yang disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pengarah YIK, Haji Mahmud Sabri menerima bantuan tersebut yang dikhaskan kepada pelajar tingkat satu hingga tiga dengan kadar RM40 setiap orang setahun. Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan sempena program berbuka puasa pengetua-pengetua sekolah YIK yang diadakan di JKR 10, petang semalam. Hadir sama anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah, Timbalan Pengarah YIK, Yusof Abdullah dan Adun Demit, Ustaz Mohamed Daud. Sebelum ini, bantuan KHB dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun pada Oktober 2002 segala bantuan kepada SAR dihentikan atas arahan Perdana Menteri ketika itu. Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya menyebut bantuan itu dihentikan kerana mendapati ia disalahgunakan untuk tujuan politik. Malah katanya, SAR dituduh tidak mengajar sukatan pelajaran agama sebenar. Bantuan lain yang turut dihentikan kerajaan Pusat iaitu peruntukan wang perkapita di bawah Kementerian Pelajaran dan bantuan pembinaan dan baikpulih sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Japim). Mahmud bersyukur kerana kerajaan negeri begitu prihatin kepada pelajar-pelajar sekolah agama dengan menyalurkan peruntukan tersebut. Selain bantuan KHB, guru-guru dan kakitangan YIK menerima bonus tahunan sebulan setengah gaji. Ini menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri biar pun terpaksa mengalami kewangan yang defisit, katanya. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, sehingga kini kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan bagi memohon semula bantuan kewangan daripada Pusat untuk mengurus SAR. Kita belum mengetahui syarat-syarat yang ditetapkan secara jelas bagi membolehkan bantuan itu dimohon. Oleh itu kerajaan negeri akan meminta taklimat secara khusus daripada Kementerian Pelajaran mengenai perkara tersebut terlebih dahulu. Daripada situ baru kita boleh buat keputusan sama ada mahu memohon atau sebaliknya, katanya ketika ditemui ketika lawatan kerja Menteri Besar ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra di sini, hari ini. Semalam Bernama melaporkan sebanyak 87 SAR di lima negeri mula menerima bantuan kewangan daripada kerajaan iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang. Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Lembaga Tadbir SAR Peringkat Kebangsaan, Dato Abu Bakar Ismail dilaporkan berkata, sebelum ini negeri-negeri tersebut telah menandatangani memorandum yang menggariskan penggunaan kurikulum yang diiktiraf dan tumpuan kepada pendidikan agama. Menurut Mohd Amar kerajaan negeri juga baru menerima surat daripada pihak berkaitan mengenai tawaran permohonan mendapatkan bantuan kewangan daripada Pusat. Surat tersebut baru diterima Setiausaha Kerajaan Negeri tiga hari lalu mengenai tawaran terbabit, katanya. Oleh itu beliau berkata, kerajaan negeri belum dapat memberi sebarang komitmen mengenainya kerana tidak mempunyai maklumat yang jelas.//Hrkh |
Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.
| Florist malaysia | Malaysia hotel | Kelantan |
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "perakan" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
