KOTA BAHARU, 14 Nov -- Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Kelantan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bioteknologi.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri Kelantan amat berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana sumbangan yang cukup bermakna bagi tujuan itu. "Dengan itu ia dapat digunakan bagi menjalankan penyelidikan menghasilkan benih pisang dan nangka yang bermutu tinggi serta menghasilkan makanan ayam secara komersial," katanya pada perasmian Seminar Bioteknologi Biodiversiti di Kota Darulnaim di sini hari Isnin. Teks ucapan beliau disampaikan oleh timbalannya Ahmad Yaacob. Nik Aziz berkata kedua-dua projek itu amat bertepatan dengan kehendak Islam bahawa Allah mengeluarkan pelbagai jenis buah-buahan di atas muka bumi. Katanya di negara ini terdapat pelbagai jenis buah-buahan dan tanaman tempatan seperti durian, rambutan, pisang, nangka, duku, langsat, mempelam dan padi yang berpotensi untuk dikaji. "Penyelidikan itu untuk menghasilkan baka atau benih secara komersial serta cara untuk memproses dan mengetinkannya supaya lebih tahan lama dan boleh dieksport ke luar negara," katanya. Beliau berkata bioteknologi, yang merupakan cabang ilmu khusus menggunakan proses biologi untuk membangunkan produk baru itu, bakal mengubah gaya hidup manusia pada masa depan. Menyedari hakikat itu, katanya, kerajaan negeri telah mengambil langkah awal dengan mengadakan seminar mengenainya bagi memberikan kefahaman kepada semua pembuat dasar dan kakitangan kerajaan. Beliau berkata melalui seminar itu kerajaan negeri berharap akan dapat memandu Kelantan membuat perancangan yang lebih jitu untuk memodenkan sektor pertanian supaya dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat. Katanya penubuhan Kelantan Bioteknologi Park Sdn Bhd di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan Bhd merupakan komitmen untuk terlibat secara serius dalam mewujudkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan. Beliau berharap Kelantan Bioteknologi itu dapat menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk meneroka peluang-peluang yang wujud hasil daripada penyelidikan yang dijalankan.//Bernama ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
