KOTA BHARU 16 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta semua pihak mematuhi nasihat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan kempen dilakukan secara tertib menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, 6 Disember ini.
Beliau berkata, selaras dengan nasihat Perdana Menteri, Pas berharap Barisan Nasional (BN) turut membuktikannya. Katanya, ini termasuklah dengan tidak membuat pelbagai janji kosong antaranya menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat semasa berkempen kerana kemenangan dengan cara sebegitu bukan kemenangan yang tulen. ``Nasihat supaya bersih dan tertib pilihan raya, baguslah, biar sama- sama faham semua, itu yang Islam hendak, sebab itu saya kata, jangan ada rasuah seperti berjanji kosong,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini. Beliau mengulas kenyataan Abdullah semalam yang mahukan semua pihak berkempen mengikut amalan demokrasi yang sihat dengan tidak menimbulkan sebarang pergaduhan atau masalah lain yang berkaitan dengan soal keselamatan. Menurut Abdullah, semua pihak perlu memberi penghormatan kepada rakyat di kawasan itu untuk mengundi dengan memberi kesempatan kepada mereka untuk menunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing. Pilihan raya kecil Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari Pas, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu yang sebelum ini menewaskan calon BN, Hanafi Mamat dengan majoriti 56 undi. Nik Abdul Aziz berkata, kemenangan mana-mana parti politik setelah ia mengemukakan janji kosong semasa berkempen bukan sesuatu yang tulen dan ia sama seperti ahli sukan yang menjadi juara kerana menggunakan dadah. ``Kalau boleh pilihan raya perlu bersih daripada sebarang tekanan termasuk desakan supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri dan juga sebarang janji-janji kosong,'' ujarnya. Mengenai kenyataan Abdullah bahawa beliau akan turun padang berkempen di Pengkalan Pasir, Nik Abdul Aziz berkata, ``sila datang, tidak ada apa-apa''. ``Saya Menteri Besar di Kelantan ini, duduk di bawah Kerajaan Persekutuan, sepatutnya datang, jumpalah saya, kaedahnya begitulah. ``Tetapi ikut dialah, kalau hendak jumpa terima kasih banyaklah, tanda kita bersahabat, tanda kita bersefahaman, tidak payah cakap gertak-menggertak,'' katanya.//UM ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
