KOTA BAHARU, 27 April --Barisan Nasional (BN) Kelantan akan
mengemukakan beberapa tempat untuk dijadikan kampus sementara
Universiti Kelantan yang akan memulakan pengajiannya pada bulan Jun
tahun depan.

Pengerusinya Datuk Seri Annuar Musa berkata ia bertujuan memastikan
pengambilan pelajar pertama universiti itu tidak tergendala akibat
ketiadaan kampus sendiri yang lebih selesa.

"Untuk membina sesebuah kampus mengambil masa yang lama, sekurang-
kurang tiga tahun. Jadi kita cadangkan empat tempat yang dianggap
sesuai untuk kampus sementara," katanya kepada pemberita ketika
ditemui selepas menyampaikan Hadiah Pertandingan Bengkel Jahitan
Kemas Peringkat Kelantan di sini, hari ini.

Menurut Annuar antaranya ialah Kem Kijang yang pernah dijadikan
kampus sementara Universiti Teknologi Mara (UiTM), Akademi Islam
Nilam Puri, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang
Kerian dan Maktab Perguruan Kota Baharu (MPKB).

Beliau berkata tempat-tempat itu boleh digunakan sebahagiannya untuk
kampus sementara tetapi bagi Akademi Islam Nilam Puri pelajarnya
boleh dipindahkan ke kampus induk di Kuala Lumpur.

"Semuanya kita serahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk
menentukan tempat, kita cuma mencadangkan," kata Annuar yang juga
Anggota Dewan Undangan Negeri Kok Lanas itu.

Kerajaan pusat mengumumkan penubuhan Universiti Kelantan tahun lepas
sebagai insentif kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangai
pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Pasir
Mas Disember lalu.

Peruntukan besar itu disalurkan melalui Rancangan Malaysia Kesembilan
yang bermula tahun ini, di mana Kelantan mendapat peruntukan sebanyak
RM7.2 bilion.

Annuar berkata untuk kampusnya, BN Kelantan mencadangkan supaya
kerajaan mengambil kira kemudahan asas terutama infrastuktur bagi
membolehkan tenaga pengajar dari luar dapat ke tempat kerja dengan
mudah.//Bernama





SPONSORED LINKS
Florist malaysia Malaysia hotel Kelantan


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke