KOTA BHARU, 25 Jun - Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini 
memilih dua wakil sebagai anggota baru bagi mewakili Dun terbabit ke 
persidangan Dewan Negara yang akan berkuatkuasa 30 Jun ini. 
Kesemua 23 Adun PAS berdiri ketika proses pengundian dijalankan bagi 
menyokong pemilihan tersebut yang dibentang Menteri Besar, Tuan Guru 
Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, kemudian disokong timbalannya, Dato' 
Ahmad Yakob.

Bagaimanapun 22 Adun Barisan Nasional pula mengambil sikap 
berkecuali. Pelantikan itu dibuat selepas tempoh perkhidmatan dua 
Senator sebelum ini akan berakhir pada 29 Jun ini. Ia dibuat selaras 
dengan Bahagian 1 (2) Jadual Ketujuh, Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Wan Ubaidah Omar, 50 dipilih semula selepas perkhidmatan 
bagi penggal pertama tamat pada tarikh tersebut. Manakala seorang 
calon baru, Mumtaz Md Nawi, 34 dipilih bagi menggantikan Siti Zailah 
Mohd Yusoff yang tamat tempoh perkhidmatannya (dua penggal).

Mumtaz seorang peguam berkelulusan LLB (Hons) dari UIA. Beliau juga 
anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Negeri. Ibu kepada empat 
orang anak ini bergiat aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) 
termasuk Ketua Unit Guaman Yayasan Murni dan Panel Penasihat Wijadi.

Mumtaz ketika ditemui berharap usahanya memperjuangkan golongan 
wanita terutamanya berkaitan hak-hak mereka di sisi undang-undang 
akan dibahas di peringkat Dewan Negara. 

Bukan itu sahaja, menurutnya sebelum ini tugasnya sebagai seorang 
peguam, aktivis NGO serta penglibatannya dalam parti turut mendapat 
restu suaminya, Mohd Sukiman Yassin, 35, seorang pendidik.

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri, 
wakil-wakil rakyat dan Dewan Muslimat PAS Negeri kerana mencalonkan 
beliau sebagai anggota baru Dewan Negara.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana 
memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tugas ini," katanya 
yang berasal dari Kampung Ana, Tumpat. 

Wan Ubaidah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan 
negeri kerana masih memberi kepercayaan kepadanya untuk menyambung 
tugasnya sebelum ini bagi penggal kedua.

Kata beliau, dengan pelantikan itu sudah cukup untuk membuktikan 
kerajaan Kelantan tidak pernah meminggirkan golongan wanita dalam apa 
juga keadaan, terutama jawatan utama dalam kerajaan dan parti.

Wan Ubaidah bekas penyarah Institut Teknologi Darulnaim dilantik 
sebagai Senator pada 30 Jun 2003. Beliau juga merupakan Timbalan 
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan dan Ketua Dewan Muslimat PAS 
Pengkalan Chepa.

Ibu kepada tujuh orang anak dan merupakan ibu tunggal.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yakin dua ahli Dewan Negara 
yang dipilih kali ini dapat melaksanakan tanggungjawab mewakili 
negeri di peringkat Pusat dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, dengan pengalaman serta ilmu yang ada pada mereka, agenda 
kerajaan negeri yang memperjuangkan golongan wanita termasuk isu-isu 
berkaitan agama Islam akan lebih disemarakkan lagi.

"Untuk itu kepada semua wakil-wakil rakyat, anggota Dewan Negara 
termasuk yang baru dilantik harus berperanan untuk mengatasi perkara 
berkenaan menurut kacamata Islam.

"Tugas pasukan keselamatan seperti polis, penjara, pasukan anti 
keganasan atau sosial tidak akan berjaya membentuk masyarakat selagi 
tidak menggunakan kaedah Islam," ujarnya lagi.

Adun Tanjong Mas, Rohani Ibrahim berkata, pelantikan calon wanita 
bagi mewakili Dun Kelantan ke Dewan Negara merupakan suatu 
pengiktirafan yang tinggi terhadap muslimat di negeri ini.//Hrkh
 







------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Great things are happening at Yahoo! Groups.  See the new email design.
http://us.click.yahoo.com/TISQkA/hOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke