Ringkasan sidang DUN 26 Jun 2006
 
Hak milik berkelompok
 
Kerajaan negeri memutuskan untuk memberi hak milik secara berkelompok kepada peneroka di Felcra Bukit Tandak, Rantau Panjang.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, kerajaan negeri sudah beberapa kali berunding dengan Felcra bagi menyelesaikan masalah itu.
 
"Kita juga sedang menyelesaikan 80 peneroka yang diketepikan sebelum ini oleh Felcra kerana membawa masuk peneroka baru," katanya ketika menjawab soalan Haji Shukri Abdul Rahman (PAS-Kadok) pada persidangan Dun hari ini.
 
Menurutnya, Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah Jajahan Pasir Mas kini sedang menyemak status peneroka terbabit bagi menyelesaikan masalah hak milik secepat mungkin.
 
RM10,000 kahwini orang Asli

KERAJAAN negeri mewujudkan Unit Dakwah Orang Asli selepas mendapati kelemahan terhadap peranan dimainkan agensi-agensi lain bagi tujuan tersebut sebelum ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hassan Mohamood berkata, unit tersebut diwujudkan pada 14 Mac lalu, melibatkan pelantikan seorang pegawai hal ehwal Islam, seorang pembantu tadbir dan lima pembantu hal ehwal Islam.
 
Menjawab soalan ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) katanya usaha untuk berdakwah di kalangan Orang Asli sebelum ini dilakukan Perkim dan Maik dengan kerjasama agensi Pusat.
 
Ketika menjawab soalan tambahan Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) katanya kerajaan negeri juga bercadang memberi insentif sebanyak RM10,000 kepada mana-mana orang Islam yang berminat berkahwin dengan Orang Asli.

1045 doktor di Kelantan
 
NISBAH bilangan doktor dengan penduduk di Kelantan mengatasi peringkat nasional iaitu 1:1244 sedangkan standard kebangsaan sekarang 1:1377.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan berkata, bilangan doktor di Kelantan sekarang seramai 1045 orang dan jumlah penduduk pula sebanyak 1.3 juta orang.
 
"Pihak Kementerian Kesihatan pula mensasarkan kepada piawaian dengan nisbah 1:500 bagi setiap seorang doktor," katanya ketika menjawab soalan Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan).
 
Menjawab soalan tambahan Adun yang sama katanya, sebahagian besar doktor tersebut adalah anak tempatan.

Hudud bendung jenayah
 
MELULUSKAN Kanun Jenayah Syariah (II) pada tahun 1993 (Hudud) adalah antara usaha awal kerajaan negeri bagi membendung peningkatan kadar jenayah di negeri ini, kata anggota Exco, Ustaz Hassan Mohamood.
 
Selain itu, mengharamkan premis judi, hiburan dan mengawal penjualan arak mengikut keperluan penduduk bukan Islam.
 
Ketika menjawab soalan Haji Kamaruddin Mohd Noor (BN-Semerak) beliau berkata, halangan utama yang menyebabkan kadar jenayah sukar diturunkan ke tahap lebih rendah kerana pengaruh media massa yang memaparkan gambar-gambar negetif.
 
"Adun pembangkang kalau tengok sepanduk bulan purnama sakit mata, sebaliknya kalau dia tengok majalah lucah senyum sahaja," katanya sambil berseloroh.

Burung walid minat Kelantan
 
KELANTAN menjadi tempat persinggahan burung walid (hampir sama burung layang-layang) yang kedua tertinggi di negara ini selepas Setiawan, Perak kata anggota Exco, Takiyuddin Hassan.
 
Ketika menjawab soalan tambahan Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) beliau berkata, kajian mendapati burung tersebut menggemari tempat-tempat yang bersih dan persekitaran yang menarik untuk disinggahi.
 
Menjawab soalan asal Dr Shamsul Ikhwan Ashaari Azmi (BN-Guchil) katanya, sehingga kini terdapat 247 pengusaha burung walid di Kelantan.
 
"Kita kenakan peraturan yang ketat kepada pengusaha burung ini supaya tidak mengganggu orang ramai termasuk pembesar suara bagi memanggil burung hanya boleh dipasang antara jam 7 pagi hingga 8 malam," katanya.

5.3 juta pelancong datang
 
SERAMAI 5.3 juta pelancong mengunjungi Kelantan sepanjang tahun lepas termasuk 4.7 juta pelancong tempatan dan selebihnya dari luar negara.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat, Dato' Annuar Tan Abdullah berkata, setiap pelancong dianggarkan membelanjakan sebanyak RM295.
 
"Dan berdasarkan kepada jumlah tersebut RM1.56 bilion dibelanjakan pelancong yang datang ke Kelantan sepanjang tempoh tersebut," katanya menjawab soalan Dato' Hashim Saffin (BN-Gual Ipoh).
 
Beliau juga berkata, pelbagai promosi diadakan bagi menarik lebih ramai pelancong asing mengunjungi Kelantan termasuk akan diadakan 'travel fair' di London 23 September depan.
//Hrkh 

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com __._,_.___


YAHOO! GROUPS LINKS




__,_._,___

Kirim email ke