Oleh Noor Hamad Wariman

KOTA BAHARU, 26 Jun -- Seni budaya Kelantan yang unik dan 
menghiburkan seperti makyung, menora, wayang kulit dan main puteri 
boleh pupus di negeri asalnya jika "kawalan dan larangan" terhadap 
persembahan tersebut diteruskan oleh pentadbiran negeri.

Sejak Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 1998 diperkenalkan, 
penggiat-penggiat seni kebudayaan ini terpaksa berhijrah untuk 
mencari rezeki di negeri-negeri lain.

Walaupun persembahan makyung telah mendapat pengiktirafan daripada 
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu 
(UNESCO) sebagai satu daripada warisan budaya dunia pada November 
2005, persembahannya masih dilarang di negeri ini.

Kerajaan negeri, sejak daripada tahun 1990 telah mengharamkan 
makyung, menora, wayang kulit, dikir barat dan main puteri atas 
alasan persembahan tersebut mengandungi unsur bertentangan dengan 
Islam.

Bagaimanapun persembahan-persembahan ini boleh dimainkan di tempat 
tertutup seperti di Gelanggang Seni di sini.

PELBAGAI CABARAN

"Banyak dasar berhubung kawalan hiburan tidak konsisten. Sebelum ini 
persembahan hiburan diharamkan, tetapi mereka menjemput artis pop 
mengadakan persembahan.

"Kemudian dibenarkan pula permainan snuker yang sebelum ini 
diharamkan. Jadi bagaimana?," kata Ketua Penerangan Umno Kelantan 
Datuk Mohd Alwi Che Ahmad.

Penggiat seni makyung terkenal, Saari Abdullah, melahirkan rasa 
kecewa apabila satu persembahan khusus untuk kajian sekumpulan 
pelajar dari Kolej Universiti Sunway diarah batal oleh Majlis 
Perbandaran Kota Baharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) pada awal tahun 
ini.

"Kalau hendak buat persembahan untuk pelajar menyiapkan tesis pun 
tidak boleh, di mana lagi mereka hendak melihat permainan makyung 
kalau bukan di tempat kelahirannya di Kelantan," kata Saari.

Penyakit diabetes yang dihidapinya tidak menghalang keinginannya 
untuk melihat seni itu terus subur walaupun menghadapi pelbagai 
cabaran apabila terus melatih dan mengambil anggota baru dalam 
Kumpulan Seni Warisan Temenggung II.

GELANGGANG SENI

Saari, adik ipar kepada primadona makyung Khatijah Awang, berkata 
kali terakhir kumpulan itu mengadakan persembahan di Gelanggang Seni 
ialah pada Jun tahun lalu.

Beliau begitu kesal kerana persembahan kumpulan itu di Gelanggang 
Seni juga dibatalkan di saat-saat akhir pada 24 Sept tahun lalu, enam 
hari sebelum juara Akademi Fantasia 3 Mawi mengadakan persembahan 
dalam konsert sempena perasmian Kota Baharu sebagai Bandaraya Islam 
pada 30 Sept.

Saari berkata seni makyung akan pupus jika tiada pihak mahu 
menghidupkan seni warisan lama memandangkan pada masa ini hanya 
Kumpulan Che Mae di Kampung Gabus, Pasir Mas, Kumpulan Agil di 
Kampung Lepah, Pasir Puteh dan Kumpulan Mak Jenab di Wakaf Baharu 
selain kumpulannya sendiri, yang bergiat aktif.

INDUSTRI PELANCONGAN

Sebenarnya makyung dan seni budaya tradisional Kelantan yang lain 
mempunyai kekuatannya tersendiri untuk menarik kunjungan pelancong 
asing dan memajukan industri pelancongan negeri.

Jika inilah pendirian kerajaan negeri, apa yang pasti jalan keluar 
bagi menghidupkan seni warisan budaya Kelantan yang unik seperti 
makyung ialah dengan membawanya keluar dari Kelantan supaya ia tidak 
pupus untuk tatapan generasi akan datang.

Sekumpulan Pengarah Tourism Malaysia yang bermesyuarat sempena Misi 
Penjualan Domestik di sini awal Mac lepas berpendapat seni itu 
merupakan khazanah negara yang perlu dipelihara kerana ia mempunyai 
tarikan tersendiri di kalangan pelancong yang berkunjung ke Kelantan.

Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan Hishamuddin Mustaffa 
berkata makyung merupakan satu seni budaya yang menghiburkan dan 
tindakan "mengharamkan" persembahannya di negeri ini adalah kurang 
tepat.

"Kita menghormati dasar kerajaan negeri tetapi seni makyung merupakan 
tunjang kekuatan Kelantan menarik pelancong dan cara untuk 
menghidupkannya agar tidak pupus ialah dengan membawanya keluar dan 
dipersembahkan di luar negeri ini," katanya.

Pengarah Tourism Pahang Jeffri Munir berkata beliau bersimpati dengan 
keadaan yang berlaku kerana makyung mampu menarik pelancong ke 
Kelantan.

Kekecewaan mereka jelas tergambar apabila dibawa menyaksikan 
persembahan makyung oleh Kumpulan Warisan Seri Temengung II di sebuah 
lokasi yang dirahsiakan di sini.

Persembahan itu diadakan di sebuah pentas yang begitu daif dengan 
kedudukannya yang agak terpencil di sebuah kampung di sini yang 
menyaksikan penonton, termasuk orang kampung berdekatan, terpaksa 
duduk di merata tempat dalam keadaan yang sangat tidak selesa, 
seperti di atas tanah, tunggul pokok dan kotak-kotak kayu yang 
dijadikan bangku.

Satu senario yang menyedihkan. //Bernama








------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Something is new at Yahoo! Groups.  Check out the enhanced email design.
http://us.click.yahoo.com/SISQkA/gOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke