KOTA BHARU 11 Julai - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan,
Datuk Seri Annuar Musa hari ini dibenarkan pulang setelah dirawat
selama 11 hari di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang
Kerian di sini akibat terjatuh dari motosikal pada 1 Julai lalu.
Pemangku Pengarah HUSM, Dr. Zaidun Kamari berkata, para doktor yang
merawat Annuar berpuas hati dengan keadaan kesihatannya.
``Dalam imbasan x-ray terbaru, kita mendapati tulang rusuk kanannya
yang patah sebelum ini sudah mula bercantum.
Bagaimanapun beliau masih belum boleh membuat banyak pergerakan bagi
memastikan kesihatannya tidak terjejas," katanya ketika ditemui
pemberita ketika mengiringi Annuar keluar dari wad di sini hari ini.
Annuar dimasukkan ke HUSM selepas terjatuh dari motosikal kuasa besar
yang ditungganginya sewaktu mengiringi Timbalan Menteri Penerangan,
Datuk Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Liga Sukan Komuniti Parlimen
Ketereh di Politeknik Kota Bharu.
Ekoran kejadian itu, Annuar patah tulang rusuk kanannya dan
dimasukkan ke wad Unit Rawatan Kritikal (CCU) selama dua hari sebelum
dibenarkan pindah ke wad kenamaan kemudiannya.
Annuar yang ditemui pemberita sejurus sebelum dibawa keluar dari wad
dengan menggunakan kerusi roda mengucapkan terima kasih kepada
doktor, jururawat dan semua kakitangan HUSM yang terlibat merawatnya.
Menurut Annuar, beliau masih terasa sakit di bahagian tulang yang
patah itu terutamanya ketika melakukan pergerakan.
``Doktor menasihatkan saya supaya banyakkan berehat dan kurangkan
pergerakan. Sebab itu saya terpaksa mengehadkan aktiviti selepas ini,
tetapi mana-mana program yang bersesuaian, saya tetap akan hadir.
``Ini termasuk menghadiri Majlis Perasmian Kejohanan Futsal dan Bola
Jaring UMNO Kelantan yang akan disempurnakan oleh Ketua Pemuda UMNO,
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Sabtu ini," katanya.
Turut mengiringi Annuar keluar dari wad ialah isterinya, Datin Seri
Rosniah Abdul Rahman, para pemimpin UMNO negeri dan juga pegawai-
pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).//Utusan
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/