KOTA BHARU, 13 Julai - Pelbagai pihak di sini mempertikaikan
peraturan baru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
mengagihkan geran keseimbangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)
di Kelantan.
Peraturan baru itu menetapkan geran keseimbangan kepada Kelantan
hendaklah disalur melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan
tidak lagi secara terus kepada kerajaan negeri.
Presiden Persatuan Pelindung Pengguna, Haji Ahmad Othman berkata,
kerajaan Pusat hendaklah menyatakan secara telus mengapa peraturan
baru itu dikuatkuasakan.
"Ini memandangkan PAS sudah menerajui kepimpinan negeri hampir 16
tahun lalu dan mengapa baru sekarang perubahan hendak dibuat.
"Menteri terbabit perlu menjelaskan secara jujur kerana peraturan
baru tersebut tentunya akan menyusahkan PBT bagi melaksanakan sesuatu
program bagi manfaat rakyat," katanya di sini.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri akhir Jun lalu, Pengerusi
Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin
Hassan berkata, geran keseimbangan kepada 12 PBT di Kelantan tidak
lagi disalur terus kepada pihak terbabit sebaliknya terpaksa melalui
JPP terlebih dahulu.
Ahmad berkata, sekiranya pentadbiran kerajaan negeri khususnya PBT
telah melakukan penyelewengan terhadap geran yang diberi sebelum ini,
tindakan berkenaan dianggap wajar dilakukan.
"Tetapi sekiranya tidak berlaku sedemikian, saya rasa tindakan
tersebut amat tidak kena, antaranya akan melambatkan program
pembangunan yang dirancang di setiap PBT di Kelantan," ujarnya.
Oleh itu beliau berharap kementerian terbabit mengkaji balik
peraturan baru tersebut kerana ia juga bercanggah dengan amalan
demokrasi seperti dilaung-laungkan kerajaan.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Muslim India Kelantan, Musa Amin berkata,
perubahan baru yang dilakukan terhadap negeri ini sebenarnya ada
motif politik.
Kata beliau, mengapa perkara itu baru hendak dilaksanakan, tentunya
ada mesej politik yang disembunyi, memandangkan PAS sudah mentadbir
negeri ini lebih 15 tahun.
"Kalau tidak ada desakan daripada pemimpin politik di Kelantan,
perkara seumpama itu mungkin tidak berlaku. Saya melihat ada pihak
yang memain peranan bagi menderakan Kelantan selepas gagal merampas
negeri ini pada pilihan raya umum lalu," katanya.//Hkrh
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/