JELI, 24 Julai - Biar pun Parlimen ini dimenangi Barisan Nasional 
(BN) pada pilihan raya umum lalu, namun kerajaan negeri tetap 
merancang program-program pembangunan di kawasan itu bagi manfaat 
rakyat. 

Antaranya program Pembangunan Ladang Rakyat melibatkan kawasan seluas 
8,043 ekar, projek perumahan kos murah sebanyak 108 unit dan taman 
perumahan di pekan Jeli membabitkan 313 unit.

Penyelia Parlimen Jeli, Haji Mohd Apandi Mohamad berkata, projek 
tersebut dirancang bagi manfaat rakyat biar pun kawasan itu dimenangi 
parti lawan pada pilihan raya lalu.

"Dan tidak lama lagi kerajaan negeri juga akan membina jambatan di 
Jeribong yang membabitkan kos antara RM600,000 hingga RM1 juta bagi 
membolehkan penduduk ke kampung seberang dengan lebih mudah.

"Inilah perancangan yang telah dan akan dibuat di Jeli, biar pun kita 
dikenali sebagai orang hulu. Saya juga hairan orang hulu merasakan 
diri mereka tidak cerdik sehingga orang luar dipilih menjadi pemimpin 
di sini," katanya pada majlis solat hajat dan kesyukuran Ladang 
Rakyat di Masjid Lubuk Bonggor, kelmarin.

Hadir sama pada program itu, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul 
Aziz Nik Mat, anggota Exco, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, 
Penyelia Dun Kuala Balah, Haji Abdul Rasyid Mat Jais dan Penyelia Dun 
Bukit Bunga, Haji Suply Abdul Razak.

Orang ramai yang hadir menikmati jamuan tengahari, di mana tiga ekor 
lembu dikorbankan. Sebelum itu Masjid Lubuk Bonggor penuh sesak 
dengan kehadiran orang ramai menunaikan solat Zohor dan Hajat.  

Apandi berkata, program Ladang Rakyat membuktikan kesungguhan 
kerajaan negeri membantu rakyat miskin melalui agihan dividen secara 
bulanan yang tidak pernah dilakukan kerajaan-kerajaan negeri lain.

"Program Ladang Rakyat yang dijalan merupakan satu pengorbanan besar 
kerajaan negeri bagi membantu penduduk miskin. Sekarang seramai 1,125 
penduduk miskin menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 setiap 
seorang.

"Dan jumlah itu akan dipertingkatkan lagi apabila projek Ladang 
Rakyat diperluaskan lagi pada masa akan datang bagi mencapai keluasan 
sehingga 50,000 ekar," ujarnya.

Menteri Besar berkata, institusi agama seperti pusat pengajian pondok 
perlu diwujudkan di Jeli bagi membolehkan penduduk tempatan mendalami 
ilmu agama.

Katanya, institusi pondok lebih kurang sama peranannya dengan balai 
polis bagi mengawal manusia daripada melakukan perkara-perkara yang 
mungkar.

Kata beliau, hasil daripada tarbiah melalui agama ia boleh menjadi 
benteng daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak 
Islam. 

"Apabila manusia tidak lagi melakukan perkara mungkar tugas polis pun 
lebih mudah kerana masyarakat tidak lagi berminat melakukan jenayah," 
ujarnya.

Abdul Rasyid berkata, kerajaan negeri berusaha mengurangkan kadar 
kemiskinan melalui usaha yang dilakukan menerusi program Ladang 
Rakyat.
 
Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat Ladang Sungai Terah (SLST), 
Zazali Japar berkata, syarikat itu mensasarkan sebanyak 700 peluang 
pekerjaan di projek pembangunan Ladang Rakyat apabila beroperasi 
sepenuhnya.

Katanya, buat masa sekarang seramai 100 peluang pekerjaan ditawarkan 
kepada penduduk bagi menjalankan kerja-kerja termasuk di tapak 
semaian seluas 40 ekar. //Hrkh

 







 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke