PASIR PUTEH, 27 Julai -- Kerajaan Pusat tidak bercadang menghentikan 
pelbagai bentuk bantuan termasuk subsidi baja padi kepada penyokong 
Pas walaupun kerajaan Kelantan pimpinan parti itu bertindak 
sebaliknya terhadap anggota dan penyokong Umno.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa 
berkata dasar pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang ialah 
untuk membantu semua pihak sebagai tanggungjawab kepada mereka yang 
memerlukannya tanpa mengira fahaman politik.

"Selain subsidi baja padi, pelbagai bentuk bantuan lain seperti 
Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Skim Pinjaman Buku Teks dan 
Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) juga akan diteruskan," 
katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pertubuhan 
Peladang Kawasan Bukit Jawa di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan bahawa pengagihan dividen Saham 
Ladang Rakyat (SLR) kepada golongan miskin di negeri ini akan ditarik 
balik sekiranya penerima bantuan yang terbabit dikesan tidak 
menyokong perjuangan Pas.

Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainudin Awang 
Hamat dilaporkan berkata syarat yang paling utama ialah mereka tidak 
menyokong BN kerana peruntukan itu adalah sumber hasil yang 
diusahakan oleh kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Annuar yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian 
Kemubu (Kada) berkata Pas sebenarnya membuka pekung di dada bahawa 
mereka hanya berminat mempertahankan kuasa daripada ingin membantu 
rakyat miskin.//Bernama









 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke