GUA MUSANG: Seorang bapa terpaksa memegang kaki bayi perempuannya
lima jam kerana takut disedut ke dalam tangki najis di Pusat Transit
Kesihatan di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, dekat
sini, malam kelmarin.
Hassan Along, 21, berbuat demikian berikutan kepala bayinya
tersangkut pada mangkuk tandas Pusat Transit Kesihatan itu selepas
terjatuh ketika dilahirkan tanpa sedar oleh isterinya, Abok Supel
Alek, 19.
"Saya tidak sampai hati melepaskannya walaupun anak saya sudah tidak
bernyawa lagi," katanya ketika ditemui, semalam.
Sebelum itu, Hassan berkata isterinya minta ditemani ke tandas Pusat
Transit Kesihatan terbabit kerana terasa seperti mahu membuang air
besar, kira-kira jam 9 malam.
Menurutnya, tidak lama kemudian isterinya yang berada dalam tandas
terbabit menjerit meminta tolong.
"Saya bergegas masuk ke tandas dan terkejut apabila melihat perut
isteri kempis dan tanya apa terjadi pada kandungannya. Dia kemudian
beritahu sudah bersalin dan bayi kami berada dalam mangkuk tandas.
"Melihat pada mangkuk tandas, didapati kepala bayi kami tersangkut di
dalamnya," katanya.
Menurutnya, dia kemudian memegang kedua-dua kaki bayinya itu
sementara meminta pertolongan pekerja Pusat Transit Kesihatan untuk
mengeluarkannya.
Katanya, usaha mereka itu gagal sebelum terpaksa mendapatkan bantuan
daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Saya terpaksa memegangnya hinggalah anggota bomba tiba kira-kira jam
1.25 pagi," katanya.
Menurutnya, dia dan isterinya dari Pos Balar, dekat sini, diberi
kebenaran tinggal di Pusat Transit Kesihatan itu sejak sebulan lalu
sementara menunggu hari bersalin yang dijangka 13 Ogos depan.
Katanya, dia sungguh sedih kerana hasrat mereka mendapat anak pertama
selepas berkahwin dua tahun lalu berakhir dengan tragedi.
Sementara itu, Abok Supel terpaksa dikejarkan ke Hospital Gua Musang
(HGM) kerana mengalami pendarahan dipercayai disebabkan melahirkan
bayi itu dalam keadaan duduk, tetapi keadaannya dilaporkan stabil.
Abok Supel ketika ditemui di HGM dilihat masih trauma mengenangkan
nasib yang menimpanya.
Dalam usaha membawa keluar bayi perempuan yang tersangkut itu, enam
anggota bomba diketuai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang,
Mansor Che Lah, berkejar ke tempat kejadian selepas menerima
panggilan kecemasan kira-kira jam 12.46 pagi semalam.
Pasukan bomba mengambil masa 10 minit dan terpaksa memecahkan mangkuk
tandas terbabit untuk mengeluarkannya.//HMetro
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/