KOTA BHARU: Sekumpulan pencuri tamak turut melarikan bantal dan beg
pakaian selepas mengambil pelbagai barangan berharga bernilai
RM100,000 ketika memecah masuk sebuah banglo milik seorang ahli
perniagaan di Lorong Masjid Guntong, dekat sini, malam kelmarin.
"Saya tak tahu apa tujuan mereka mengambil bantal dan beg pakaian
saya, mungkin kerana berasakan kedua-dua barang itu juga berharga dan
boleh dijual," kata mangsa, Mohd Yusof Abdullah, 67.
Menurutnya, tiga beg pakaian yang dilarikan kumpulan pencuri itu
mengandungi pakaiannya dan isteri.
Dia menyifatkan kumpulan pencuri terbabit terdesak kerana mengambil
apa saja asal boleh dijual.
"Apa yang menyakitkan hati, pencuri terbabit juga tergamak melarikan
tabung duit anak bongsu saya yang berusia 10 tahun," katanya.
Dalam kejadian itu, Mohd Yusof kerugian kira-kira RM100,000 apabila
wang tunai RM2,000 dan barangan berharga miliknya termasuk peti besi
menyimpan barangan kemas dan mata wang asing, kain batik, kamera dan
jam tangan dilarikan.
Ketika kejadian, dia keluar makan sate bersama isteri, anak dan
pembantu rumahnya di sebuah restoran di Jalan Pengkalan Chepa di
sini, kira-kira jam 8.15 malam.
Dia hairan apabila melihat pintu pagar rumahnya terbuka selepas
pulang, kira-kira jam 9.45 malam.
Pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka anaknya
yang tinggal di Taiping, Perak, pulang.
Bagaimanapun, apabila melihat tiada kereta anaknya di kawasan rumah
serta mangga di pintu hadapan rumah terpotong, dia mula curiga.
Dia kemudian bergegas ke dalam rumah dan mendapati pintu bilik
tidurnya terbuka akibat diumpil.
Pencuri terbabit dipercayai memanjat pagar terlebih dulu sebelum
membuka pintu pagar automatik banglo itu dan membawa masuk kenderaan
bagi memudahkan mereka memunggah hasil curi.
Menurut Mohd Yusof, kumpulan pencuri terbabit dipercayai menggunakan
kenderaan pelbagai guna (MPV) atau lori kecil untuk melarikan
barangan dari rumahnya.
"Barangan dalam rumah tidak muat jika mereka menggunakan kenderaan
kecil dan saya pasti kenderaan besar digunakan penjenayah," katanya.
Mengenai peti besi yang tersimpan barangan kemas dan mata wang asing,
Mohd Yusof percaya kumpulan pencuri terbabit menariknya perlahan-
lahan kerana berat.
Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan mengenai
kejadian terbabit.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan polis berusaha mengesan
identiti kumpulan pencuri terbabit.
"Sehingga kini, belum ada tangkapan dibuat dan gerakan mengesan
mereka giat dijalankan," katanya. //HMetro
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/