KOTA BAHARU, 9 Ogos - Kenangan pahit menjadi buruh paksa 64 tahun 
lalu masih menghantui seorang warga tua yang kini berumur 81 tahun.

Pengalaman sukar semasa Perang Dunia Kedua itu mengingatkan beliau 
akan bahaya pencerobohan kuasa asing dan erti kemerdekaan.

Setiap kali menyambut Hari Kemerdekaan, beliau sebak kerana terkenang 
keperitan hidup pada zaman penjajahan Jepun.

"Pak cik tidak dapat lupakan kekejaman Jepun sehingga akhir hayat dan 
pak cik tidak akan halalkan perbuatan kejam mereka," kata Muhammad 
Awang yang terlantar akibat lumpuh separuh badan selepas diserang 
angin ahmar lebih tiga tahun lalu.

Muhammad hanya mampu terbaring dan isterinya Khadijah Awang Ngah, 76, 
menjadi tempat beliau bergantung hidup menguruskan makan minumnya.

Khadijah seringkali mencelah sebagai "jurucakap" suaminya itu 
disebabkan pertuturan Muhammad yang tidak jelas tetapi pengalaman 
Muhammad ketika menjadi buruh paksa itu tetap terpahat kukuh dalam 
ingatannya.

MUHAMMAD MEMULAKAN PERJALANAN BERBAHAYA

Ketika menceritakan kisah silam itu, air mata Muhammad sentiasa 
bergenang dan kadang kala keadaan menjadi lebih emosi dengan 
tangisannya semakin kuat.

Pada Jun 1942, pemerintah tentera Jepun mula mengumpulkan pekerja 
bagi membina jalan keretapi dari Nong Pladuk, di daerah Kanchanaburi 
di Thailand, ke Thanbyuzayat di Burma.

Ketika dibawa ke Thailand ketika itu, Muhammad yang berasal dari 
Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas baru memasuki usia 18 tahun.

Mengikut catatan sejarah, selepas selesai penaklukan Jepun di Tanah 
Melayu dan Singapura pada Februari 1942, negara matahari terbit itu 
mula merencanakan pembinaan landasan keretapi sejauh 415 kilometer 
dari Thailand ke Burma bagi meluaskan penaklukan rantau itu sehingga 
ke India.

Muhammad turut serta dengan 61,000 tahanan perang British, Australia, 
Amerika, New Zealand dan Belanda dan 200,000 lagi buruh paksa India, 
China dan Melayu dari rantau itu.

Sepanjang tempoh tiga tahun pembinaannya, seramai 16,000 tawanan 
perang maut dan lebih 100,000 buruh dari Asia itu dilaporkan 
meninggal dunia atau hilang.

MUHAMMAD TERSEKSA

Muhammad dipaksa menaiki sebuah keretapi bersama ramai yang lain dari 
Pasir Mas untuk ke Thailand dalam perjalanan yang mengambil masa enam 
hari.

"Duduk dalam keretapi itu sangat sedih, makan tak cukup, duduk 
berhimpit-himpit sehinggalah sampai ke Ban Pong (Thailand).

"Dari Ban Pong kami diangkut dengan lori dan selepas beberapa jam 
pula kami sampai ke satu tempat," katanya.

Sambil menyeka air mata, Muhammad berkata mereka ditempatkan di rumah 
panjang iaitu bangsal buluh yang beratapkan daun sagu dan 
berlantaikan buluh.

Setiap bangsal itu memuatkan lebih 100 orang dan keadaannya 
diibaratkan macam tin sardin dengan tiada ruang untuk tidur atau 
bergerak.

Di tapak itu mereka diarahkan membuat kerja-kerja seperti mengangkut 
tanah dan menambak jalan keretapi dengan dikawal ketat oleh tentera 
Jepun.

"Jika kami lambat, kami akan dipukul dengan buluh, rotan atau "makan 
penampar Jepun". Makan minum juga tidak cukup dan belum pun tiga 
bulan di situ masalah kesihatan mula timbul," katanya.

Muhammad berkata antara masalah yang biasa dialami ialah cirit birit 
selain malaria dan kepialu.

Beliau berkata ubat-ubatan pula tidak mencukupi dan setiap hari 
terdapat dua atau tiga orang buruh yang mati dan keadaan itu sangat 
menakutkan dirinya.

"Pak cik membilang hari bila agaknya nasib (untuk mati) akan tiba.

"Setiap hari lihat mayat yang kemudiannya kami isi dalam guni dan 
ditanam di merata tempat," katanya.

MUHAMMAD MAHU MENYELAMATKAN DIRI

Lebih setahun di sana, Muhammad yang semakin terseksa akhirnya cuba 
mencari helah kembali ke tanahair dan helahnya menggunakan miang 
buluh akhirnya berjaya.

Semasa menebang buluh, beliau mengambil miang buluh dan melumurnya di 
seluruh tubuh dan apabila badannya basah akibat peluh, seluruh 
badannya bertukar menjadi merah menyebabkan tentera Jepun 
menghantarnya pulang.

"Tentera Jepun ingatkan saya hidapi penyakit berjangkit dan saya 
terus dihantar pulang dengan segera. Saya sampai di rumah waktu malam 
ketika keluarga sedang menilik nasib saya melalui permainan puteri," 
katanya.

Selepas pulang, Muhammad akhirnya memilih kerjaya tentera sehingga 
bersara dan melalui perkongsian hidup dengan Khadijah, pasangan itu 
dikurniakan 10 anak iaitu lima lelaki dan lima perempuan.

PENGAJARAN DARIPADA PENGALAMAN MUHAMMAD

Ketika ditanya akan pengajaran daripada pengalaman yang dilaluinya, 
Muhammad berkata ia membuatkan beliau menghargai kemerdekaan negara.

Beliau juga menyeru kepada generasi muda supaya menghargai 
pengorbanan mereka yang membebaskan negara daripada cengkaman 
penjajah dan mereka yang berkorban demi keamanan negara.

"Bukan senang negara diberikan kemerdekaan dan pemimpin pula berjaya 
membawa negara menjadi maju dan kita hidup senang," katanya.

Mengakhiri perbualan, Muhammad berkata; "Jangan ada lagi yang jadi 
macam pak cik ketika itu, rakyat merempat dan negara mudah dijajah".

Sementara Muhammad terpaksa mengharungi kenangan pahit itu sehingga 
beliau menghembuskan nafas terakhirnya, rakyat Malaysia boleh belajar 
menghargai semangat kemerdekaan daripada pengalaman pahit yang 
dilalui Muhammad kerana penjajah.//Bernama







 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke