PASIR PUTEH: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam rangka lawatan kerjanya ke Kelantan telah merasmikan pelancaran program Baloh Negara, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di kawasan Ladang Merdeka Jelor, dekat Pasir Puteh di sini.
 
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed; Pengerusi Kada, Datuk Seri Annuar Musa; Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sharif Omar .
 
Perdana Menteri dalam ucapanya berkata “Sektor pertanian sebenarnya berpotensi mewujudkan banyak pekerjaan serta peluang baru pendapatan tambahan, maka ia perlu disokong untuk terus diperkasakan” Beliau juga berkata “dalam memberi bantuan kepada petani, kita bantu tidak kira kaum dan apa juga parti yang disokongnya kerana rakyat perlu dibela”.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
    
 img206/5985/po01bigjk4.jpg
Sepakat - Perdana Menteri bersama Menteri Besar
Kelantan turun dari pentas selepas melancarkan Lembaga
Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Baloh Negara di Jelor,
dekat Pasir Puteh. 
.
 
> Re: [perakan] Kelantan Jadi Hab Halal Serantau Dengan Pelancaran Baloh Negara

> abuhafizd <[EMAIL PROTECTED]> wrote:
KOTA BAHARU, 19 Ogos -- Kelantan dijangka muncul sebagai hab halal
serantau dengan pelancaran program Baloh Negara yang berteraskan lima
elemen bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran hasil
pertanian.

Antara lain pengenalan konsep ini bermatlamat menjadikan Lembaga
Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), kawasan jelapang padi kedua
terbesar negara, sebagai sumber utama bekalan makanan negara, yang
bukan hanya terhad kepada produk padi dan beras tetapi meliputi
produk lain termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan, akuakultur
dan industri berasaskan pertanian.

Di samping itu juga, ia bermatlamat meningkatkan pendapatan petani,
penternak dan usahawan berasaskan pertanian dalam kawasan KADA.

Program KADA Baloh Negara itu akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena lawatan kerja dua harinya ke
Kelantan mulai esok.

Kawasan KADA meliputi sebahagian besar dataran Kelantan Utara yang
padat dengan penduduk meliputi lima rancangan pengairan yang
melibatkan jajahan Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas dan
Tumpat. Jumlah kawasan yang dilengkapi dengan infrastruktur pengairan
yang menyokong penanaman padi dua kali setahun ialah 31,440 hektar.

Konsep itu diilhamkan Pengerusi KADA Datuk Seri Annuar Musa semasa
Konvensyen Kemajuan Kelantan pada 29 April tahun lepas.

Baloh bagi masyarakat Kelantan merupakan rumah kecil tempat menyimpan
padi, yang merupakan satu perkara penting di samping mendirikan
sebuah rumah, dengan setiap hasil padi disimpan dalam baloh untuk
keperluan sepanjang tahun sebelum tiba musim menanam padi tahun
berikutnya.

Dalam satu wawancara dengan Bernama, Annuar berkata pelaksanaan
konsep "KADA Baloh Negara" ditumpukan kepada beberapa teras antara
lainnya meningkatkan kuantiti pengeluaran dengan menambah keluasan
kawasan tanaman dan menambahkan kadar pengeluaran bagi setiap hektar.

Ini diikuti dengan peningkatan kualiti produk ke tahap piawaian
global, mempelbagaikan produk nilai tambah sektor padi dan bukan padi
dengan meningkatkan pelbagai aktiviti berasaskan pertanian
terutamanya bidang industri asas tani.

Elemen konsep itu juga akan menumpukan kepada penglibatan dan
penyertaan seberapa ramai golongan sasar termasuk petani, penternak,
ahli-ahli pertubuhan peladang kawasan dan usahawan selain penggunaan
teknologi moden dalam bidang pengurusan dan bidang pengeluaran dari
peringkat Ibu Pejabat KADA hinggalah kepada golongan sasar, katanya.

Annuar berkata tempoh pelaksanaannya bermula tahun ini hingga tahun
2010 meliputi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) selaras dengan
perancangan kerajaan untuk mewujudkan terminal Makanan Negara di
Kelantan dalam RMK-9.

Oleh kerana tanaman padi adalah komoditi utama dalam kawasan KADA,
pengeluaran padi pada akhir RMK-9 disasarkan sebanyak 383,070 tan
metrik dengan purata hasil sebanyak 6.5 tan metrik sehektar
berbanding pencapaian sekarang sebanyak 210,000 tan metrik dengan
purata hasil 4.30 tan metrik sehektar.

Ini bagi mencapai tahap sara diri (SSL) negara sebanyak 90 peratus
pada tahun 2010 berbanding 72 peratus sekarang, katanya.

Untuk tempoh jangka panjang purata pengeluaran di seluruh kawasan
sawah akan ditingkatkan kepada 10 tan metrik sehektar dan jumlah
pengeluaran tahunan akan ditingkatkan kepada 589,000 tan metrik
setahun.

Bagi mencapai sasaran itu, beberapa strategi dirangka untuk
meningkatkan kadar pengeluaran padi menerusi konsep Ladang Merdeka,
iaitu aktiviti perladangan padi secara komersial berteraskan
teknologi moden di bawah pengurusan berpusat.

Ia juga dibuat melalui estet mini padi dan ladang kelompok melalui
pemuafakatan para petani mengusahakan sawah secara bersepadu di bawah
bimbingan KADA.

Melalui projek 10 tan metrik sehektar, bimbingan intensif diberikan
kepada sekumpulan petani bagi mencapai pengeluaran 10 tan metrik
sehektar dengan harapan ia akan dicontohi oleh petani-petani lain.

Strategi lain ialah meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos
pengeluaran dengan mempermoden sistem tali air, rumah-rumah pam dan
kemudahan asas lain bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan
bekalan air.

Ia juga memberi penekanan kepada penggunaan teknologi dan teknik
pertanian moden yang betul dan sesuai, pengurusan perosak dan
penyakit tanaman secara bersepadu dan berkesan.

Penekanan juga diberikan kepada usaha memperkemas urusan pembekalan
input, skim kredit dan pengurusan pemasaran selain mendapatkan
kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dan institusi
pengajian tinggi bagi mendapatkan khidmat kepakaran.

Katanya strategi ini dirangka bagi mencapai objektif berikut iaitu
meningkatkan pendapatan keluarga tani dalam sektor tanaman padi dari
RM5,310 kepada RM10,500 setahun dalam tempoh lima tahun.

Ini termasuk meningkatkan intensiti tanaman padi dari 155 peratus
kepada 197 peratus dalam tempoh lima tahun selain meningkatkan purata
hasil dari 4.3 tan/hektar kepada 6.5 tan/hektar dalam tempoh lima
tahun selain melahirkan usahawan tani yang berkemahiran tinggi dan
berwibawa dalam industri padi.

Bagi komoditi sayur-sayuran, beliau berkata di akhir RMK-9,
pengeluaran itu disasarkan sebanyak 8,000 tan metrik iaitu 0.71
peratus daripada pengeluaran negara dengan tahap sara diri sebanyak
108 peratus.

Katanya usaha akan terus dipergiatkan bagi mencapai sasaran
pengeluaran yang lebih tinggi dengan penekanan diberikan untuk
membangun dan mengkomersialkan sayur-sayuran yang bernilai tinggi dan
berpotensi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport
seperti cili, tomato, kobis, peria, terung, brassica, kacang panjang,
kacang buncis, timun, bendi, tanaman herba dan tanaman industri
seperti keledek, ubi kayu dan roselle.

Usaha itu juga termasuk memperkembangkan penggunaan benih hibrid dan
teknologi biotek bagi meningkatkan produktiviti.

Menjelang akhir RMK-9, keluasan tanaman sayur ditingkatkan dari 222
hektar kepada 550 hektar dengan bilangan pengusaha sayur ditingkatkan
dari 175 orang kepada 600 orang.

Pengeluaran sayur akan ditingkatkan dari 2,707 tan kepada 8,000 tan
dengan pendapatan pengusaha ditingkatkan dari RM1,800 setahun kepada
RM4,500 setahun.

Bagi mencapai sasaran itu, Cawangan Pembangunan Komuniti yang
merangkumi Unit Sayuran dalam organisasi KADA diwujudkan.

Usaha ini termasuklah memajukan lebih banyak ladang kekal sayur
komersial, meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kos dengan
penekanan kepada penggunaan teknologi moden dan kejenteraan, khidmat
nasihat dan pengendalian lepas tuai.

Annuar berkata usaha juga dibuat untuk mewujudkan jalinan pemasaran
yang kukuh dan stabil dengan menggalakkan penglibatan pihak swasta
dan bekerjasama dengan institusi dan agensi kerajaan.

Bagi komoditi buah-buahan, di akhir RMK-9, pengeluaran buah-buahan
disasarkan sebanyak 3,500 metrik tan iaitu 1.95 peratus daripada
pengeluaran negara dengan tahap sara diri sebanyak 138 peratus.

Katanya penekanan akan diberikan untuk membangun dan mengkomersialkan
jenis buah-buahan bernilai tinggi dan berpotensi seperti rambutan,
salak, nanas, betik, tembikai, mangga, nangka, jambu batu dan pisang
dan berpotensi bagi memenuhi pasaran tempatan dan eksport.

Beliau berkata keluasan kawasan pengeluaran semasa ialah 758 hektar
dan disasarkan pada akhir RMK-9 meningkat kepada 889 hektar dengan
komoditi baru seperti pithaya akan turut diperkenalkan.

Kawasan tanaman buah-buahan yang sedia ada juga akan dibaik
pulih.//Bernama



Get your email and more, right on the new Yahoo.com __._,_.___


SPONSORED LINKS
Malaysia florist Florist malaysia


YAHOO! GROUPS LINKS




__,_._,___

Kirim email ke