KOTA BAHARU, 19 Ogos -- Kelantan dijangka muncul sebagai hab halal 
serantau dengan pelancaran program Baloh Negara yang berteraskan lima 
elemen bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran hasil 
pertanian.

Antara lain pengenalan konsep ini bermatlamat menjadikan Lembaga 
Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), kawasan jelapang padi kedua 
terbesar negara, sebagai sumber utama bekalan makanan negara, yang 
bukan hanya terhad kepada produk padi dan beras tetapi meliputi 
produk lain termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan, akuakultur 
dan industri berasaskan pertanian.

Di samping itu juga, ia bermatlamat meningkatkan pendapatan petani, 
penternak dan usahawan berasaskan pertanian dalam kawasan KADA.

Program KADA Baloh Negara itu akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk 
Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena lawatan kerja dua harinya ke 
Kelantan mulai esok.

Kawasan KADA meliputi sebahagian besar dataran Kelantan Utara yang 
padat dengan penduduk meliputi lima rancangan pengairan yang 
melibatkan jajahan Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas dan 
Tumpat. Jumlah kawasan yang dilengkapi dengan infrastruktur pengairan 
yang menyokong penanaman padi dua kali setahun ialah 31,440 hektar.

Konsep itu diilhamkan Pengerusi KADA Datuk Seri Annuar Musa semasa 
Konvensyen Kemajuan Kelantan pada 29 April tahun lepas.

Baloh bagi masyarakat Kelantan merupakan rumah kecil tempat menyimpan 
padi, yang merupakan satu perkara penting di samping mendirikan 
sebuah rumah, dengan setiap hasil padi disimpan dalam baloh untuk 
keperluan sepanjang tahun sebelum tiba musim menanam padi tahun 
berikutnya.

Dalam satu wawancara dengan Bernama, Annuar berkata pelaksanaan 
konsep "KADA Baloh Negara" ditumpukan kepada beberapa teras antara 
lainnya meningkatkan kuantiti pengeluaran dengan menambah keluasan 
kawasan tanaman dan menambahkan kadar pengeluaran bagi setiap hektar.

Ini diikuti dengan peningkatan kualiti produk ke tahap piawaian 
global, mempelbagaikan produk nilai tambah sektor padi dan bukan padi 
dengan meningkatkan pelbagai aktiviti berasaskan pertanian 
terutamanya bidang industri asas tani.

Elemen konsep itu juga akan menumpukan kepada penglibatan dan 
penyertaan seberapa ramai golongan sasar termasuk petani, penternak, 
ahli-ahli pertubuhan peladang kawasan dan usahawan selain penggunaan 
teknologi moden dalam bidang pengurusan dan bidang pengeluaran dari 
peringkat Ibu Pejabat KADA hinggalah kepada golongan sasar, katanya.

Annuar berkata tempoh pelaksanaannya bermula tahun ini hingga tahun 
2010 meliputi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) selaras dengan 
perancangan kerajaan untuk mewujudkan terminal Makanan Negara di 
Kelantan dalam RMK-9.

Oleh kerana tanaman padi adalah komoditi utama dalam kawasan KADA, 
pengeluaran padi pada akhir RMK-9 disasarkan sebanyak 383,070 tan 
metrik dengan purata hasil sebanyak 6.5 tan metrik sehektar 
berbanding pencapaian sekarang sebanyak 210,000 tan metrik dengan 
purata hasil 4.30 tan metrik sehektar.

Ini bagi mencapai tahap sara diri (SSL) negara sebanyak 90 peratus 
pada tahun 2010 berbanding 72 peratus sekarang, katanya.

Untuk tempoh jangka panjang purata pengeluaran di seluruh kawasan 
sawah akan ditingkatkan kepada 10 tan metrik sehektar dan jumlah 
pengeluaran tahunan akan ditingkatkan kepada 589,000 tan metrik 
setahun.

Bagi mencapai sasaran itu, beberapa strategi dirangka untuk 
meningkatkan kadar pengeluaran padi menerusi konsep Ladang Merdeka, 
iaitu aktiviti perladangan padi secara komersial berteraskan 
teknologi moden di bawah pengurusan berpusat.

Ia juga dibuat melalui estet mini padi dan ladang kelompok melalui 
pemuafakatan para petani mengusahakan sawah secara bersepadu di bawah 
bimbingan KADA.

Melalui projek 10 tan metrik sehektar, bimbingan intensif diberikan 
kepada sekumpulan petani bagi mencapai pengeluaran 10 tan metrik 
sehektar dengan harapan ia akan dicontohi oleh petani-petani lain.

Strategi lain ialah meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos 
pengeluaran dengan mempermoden sistem tali air, rumah-rumah pam dan 
kemudahan asas lain bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan 
bekalan air.

Ia juga memberi penekanan kepada penggunaan teknologi dan teknik 
pertanian moden yang betul dan sesuai, pengurusan perosak dan 
penyakit tanaman secara bersepadu dan berkesan.

Penekanan juga diberikan kepada usaha memperkemas urusan pembekalan 
input, skim kredit dan pengurusan pemasaran selain mendapatkan 
kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dan institusi 
pengajian tinggi bagi mendapatkan khidmat kepakaran.

Katanya strategi ini dirangka bagi mencapai objektif berikut iaitu 
meningkatkan pendapatan keluarga tani dalam sektor tanaman padi dari 
RM5,310 kepada RM10,500 setahun dalam tempoh lima tahun.

Ini termasuk meningkatkan intensiti tanaman padi dari 155 peratus 
kepada 197 peratus dalam tempoh lima tahun selain meningkatkan purata 
hasil dari 4.3 tan/hektar kepada 6.5 tan/hektar dalam tempoh lima 
tahun selain melahirkan usahawan tani yang berkemahiran tinggi dan 
berwibawa dalam industri padi.

Bagi komoditi sayur-sayuran, beliau berkata di akhir RMK-9, 
pengeluaran itu disasarkan sebanyak 8,000 tan metrik iaitu 0.71 
peratus daripada pengeluaran negara dengan tahap sara diri sebanyak 
108 peratus.

Katanya usaha akan terus dipergiatkan bagi mencapai sasaran 
pengeluaran yang lebih tinggi dengan penekanan diberikan untuk 
membangun dan mengkomersialkan sayur-sayuran yang bernilai tinggi dan 
berpotensi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport 
seperti cili, tomato, kobis, peria, terung, brassica, kacang panjang, 
kacang buncis, timun, bendi, tanaman herba dan tanaman industri 
seperti keledek, ubi kayu dan roselle.

Usaha itu juga termasuk memperkembangkan penggunaan benih hibrid dan 
teknologi biotek bagi meningkatkan produktiviti.

Menjelang akhir RMK-9, keluasan tanaman sayur ditingkatkan dari 222 
hektar kepada 550 hektar dengan bilangan pengusaha sayur ditingkatkan 
dari 175 orang kepada 600 orang.

Pengeluaran sayur akan ditingkatkan dari 2,707 tan kepada 8,000 tan 
dengan pendapatan pengusaha ditingkatkan dari RM1,800 setahun kepada 
RM4,500 setahun.

Bagi mencapai sasaran itu, Cawangan Pembangunan Komuniti yang 
merangkumi Unit Sayuran dalam organisasi KADA diwujudkan.

Usaha ini termasuklah memajukan lebih banyak ladang kekal sayur 
komersial, meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kos dengan 
penekanan kepada penggunaan teknologi moden dan kejenteraan, khidmat 
nasihat dan pengendalian lepas tuai.

Annuar berkata usaha juga dibuat untuk mewujudkan jalinan pemasaran 
yang kukuh dan stabil dengan menggalakkan penglibatan pihak swasta 
dan bekerjasama dengan institusi dan agensi kerajaan.

Bagi komoditi buah-buahan, di akhir RMK-9, pengeluaran buah-buahan 
disasarkan sebanyak 3,500 metrik tan iaitu 1.95 peratus daripada 
pengeluaran negara dengan tahap sara diri sebanyak 138 peratus.

Katanya penekanan akan diberikan untuk membangun dan mengkomersialkan 
jenis buah-buahan bernilai tinggi dan berpotensi seperti rambutan, 
salak, nanas, betik, tembikai, mangga, nangka, jambu batu dan pisang 
dan berpotensi bagi memenuhi pasaran tempatan dan eksport.

Beliau berkata keluasan kawasan pengeluaran semasa ialah 758 hektar 
dan disasarkan pada akhir RMK-9 meningkat kepada 889 hektar dengan 
komoditi baru seperti pithaya akan turut diperkenalkan.

Kawasan tanaman buah-buahan yang sedia ada juga akan dibaik 
pulih.//Bernama









 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke