KOTA BHARU: Seorang wanita cedera parah selepas dicampak ke dalam
perigi sedalam lebih lima meter oleh seorang lelaki yang gagal
merogolnya, di Kampung Merbau Paya Pernama, di sini, awal pagi
semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, pekerja pembersihan,
Jamaliah Shafei, 38, cedera parah di kepala, muka dan badan,
dikeluarkan dari perigi dalam keadaan pengsan selepas kira-kira sejam.
Mangsa diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Kota Bharu selepas
menerima maklumat daripada seorang penduduk, Leep Cawang, 50, yang
terdengar jeritan mangsa.
Ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di
sini, Jamaliah yang berasal dari Kampung Kenanga, Machang, berkata
ketika kejadian dia sedang berjalan dari tempat kerja ke rumah
rakannya tidak jauh dari tempat kejadian.
"Sepatutnya suami saya jemput, tapi hari ini (semalam) suami saya
gagal dihubungi membuatkan saya ke rumah rakan kira-kira jam 6.30
pagi.
"Tiba-tiba, saya dihampiri seorang lelaki yang tidak dikenali menaiki
motosikal dan mempelawa untuk menghantar saya.
"Saya dibawa ke semak berhampiran sebuah rumah usang dan di situ dia
cuba merogol saya tetapi saya melawan sebelum dia memikul dan
mencampak saya ke dalam perigi berdekatan rumah itu," katanya.
Jamaliah berkata, dia bernasib baik kerana air perigi itu hanya
sedalam 0.5 meter saja tetapi terpaksa menjerit kira-kira sejam untuk
mendapatkan bantuan.
"Selepas sejam barulah ada orang datang meninjau dari atas dan ketika
bomba mengeluarkan saya dengan tali, saya terus pengsan," katanya.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Halim Mat Zain,
berkata sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8.31 pagi, pihaknya
bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dan 17 anggota.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Superintendan
Shafei Ismail ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan
siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.//
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/