KOTA BAHARU, 19 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi disaran mempengerusikan Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan
(MPTK) kerana negeri ini memerlukan pendekatan luar biasa bagi
menjayakan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK-9).
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa
berkata beliau membuat syor itu bagi membolehkan badan tersebut
memandu arah jabatan dan agensi di Kelantan dalam memperkasakan
pelaksanaan projek di bawah RMK-9 di negeri ini.
"Keadaan di Kelantan berbeza dengan negeri-negeri lain dan syor itu
dibuat memandangkan kepada komitmen tinggi Perdana Menteri untuk
melihat negeri ini maju sehingga meluluskan peruntukan besar dan
Kelantan merayu supaya Perdana Menteri meluangkan masa
mempengerusikan majlis itu," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Konvensyen Majlis Kemajuan Kelantan II di sini Sabtu.
Katanya MTPK boleh menjadi jawatankuasa untuk menyemak sistem
penyampaian bagi memastikan projek yang diatur di negeri ini dapat
dilaksanakan dengan berkesan.
Usaha ini penting terutama dalam konteks pembangunan Anjung Timur
bagi memastikan program pembangunan di Kelantan setanding dengan
Terengganu dan Pahang.
Katanya Kelantan memerlukan pendekatan proaktif bagi memastikan
pelaksanaan projek RMK-9 dilaksanakan secara berkesan kerana walaupun
negeri ini diberi peruntukan RM7.6 bilion, ini tidak bermakna
segalanya sudah selesai.
"Persetujuan kerajaan pusat meluluskan peruntukan itu merupakan satu
cabaran dan kita perlu memastikan matlamatnya tercapai," katanya.
Annuar juga mencadangkan supaya projek tebatan banjir di Kelantan
dilaksanakan secara menyeluruh dengan membina empangan bagi mengawal
pengaliran air dari lembangan Sungai Nenggiri dan Lebir secara
sistematik melalui inisatif pembiayaan swasta (PFI).
Projek itu tidak boleh dijalankan secara kecil-kecilan kerana
implikasinya amat besar disebabkan air tidak dapat mengalir keluar
akibat banjir menyebabkan 5,000 hektar tanah pertanian di Tumpat dan
Rantau Panjang menjadi kawasan terbiar, katanya.
"Dengan konsep PFI, program tebatan banjir itu dapat dibuat secara
menyeluruh memandangkan walaupun Kelantan sinonim dengan banjir,
keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia membawa banyak
implikasi pada ekonomi," katanya.
Beliau berkata apabila empangan dibina, sebahagiannya dapat digunakan
bagi menjana bekalan elektrik dan pendapatan daripadanya boleh
digunakan untuk membayar kos pembinaan dan selebihnya dibayar secara
berperingkat-peringkat dalam tempoh tertentu oleh kerajaan.//Bernama
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/