MACHANG: Seorang pemandu bas terbunuh apabila motosikal yang dinaiki 
bersama dua anak perempuannya terbabas dan melanggar penghadang besi 
jalan di Kilometer 5.9 Jalan Tanah Merah-Machang, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang, penunggang motosikal, Mazlan 
Abdullah, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah 
di kepala dan badan.

Dua anaknya, Nuraishah Fatihah, 3, dan adiknya, Norerika Balkish, 2, 
masing-masing patah kaki dan tangan kini menerima rawatan di Hospital 
Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan Hospital Raja 
Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Umar Ali Saifuddin 
Sharuddin, berkata mangsa dikatakan baru menemui isterinya, 
Roslinawati Mamat, 25, di Pasir Mas.

Katanya, mangsa menunggang motosikal, manakala Norerika diletakkan di 
bahagian depan kenderaan itu dan Noraishah di belakang serta diapit 
dengan bungkusan pakaian.

Beliau berkata, ketika menunggang motosikal dua anaknya yang 
dipercayai tidak memakai topi keledar dikatakan asyik bergurau antara 
satu sama lain menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum 
terbabas dan melanggar penghadang besi di tepi jalan.

Katanya, akibat perlanggaran itu, mangsa dan dua anaknya masing-
masing tercampak di jalan raya.

"Mangsa yang mengalami cedera teruk meninggal dunia di tempat 
kejadian manakala dua anaknya dikejarkan ke Hospital Machang (HM) 
sebelum menerima rawatan susulan ke HUSM dan HRPZ II kerana 
kecederaan mereka agak serius.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke HM untuk bedah siasat dan sudah 
diserahkan kepada keluarganya lewat petang kelmarin," katanya di 
sini, semalam.

Umar Ali berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai 
berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal motosikalnya.

Bagaimanapun, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu 
mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Umar Ali menasihatkan orang ramai supaya menunggang 
motosikal tidak lebih daripada dua pembonceng dan memakai topi 
keledar.

Bapa mangsa, Abdullah Awang, 57, berkata anak ketujuhnya itu bertolak 
dari rumah mereka di Banggol Judah, Machang kira-kira jam 1 petang 
kelmarin untuk menemui isteri dan anak mereka di Kampung Atas 
Pinggir, Pasir Mas.

"Arwah membawa pulang kedua-dua anaknya dengan membonceng motosikal 
dari Pasir Mas ke Banggol Judah kira-kira jam 4.30 petang. 

"Tiga hari sebelum kejadian Allahyarham sempat memeluk ibunya, 
Fatimah Mamat, 56, dalam tempoh yang agak lama sampai saya 
menegurnya. Dia kata dia saja peluk ibunya kerana rindu. Saya tidak 
sangka itulah pelukan terakhirnya," katanya.

Beliau berkata, jenazah Mazlan selamat dikebumikan di Tanah 
Perkuburan Islam di Kampung Guntong, Machang kira-kira jam 9 pagi, 
semalam.//BHarian






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke