Kerjasama tiga tahun TM, kerajaan di Jeli buka mata
pelajar,
masyarakat mengenai jurang digital
JELI: Usaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dengan kerjasama
Telekom Malaysia (TM) menjalankan projek sekolah angkat teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Ayer Lanas di sini, meninggalkan kesan mendalam kepada warga sekolah
serta masyarakat setempat.
Sekolah angkat itu kini menjadi asas ke arah melahirkan generasi
celik ICT dan komputer menerusi projek selama tiga tahun yang
dijangka berakhir pada penghujung tahun ini.
Pelbagai perubahan dinikmati dalam bentuk pembangunan infrastruktur,
kemahiran dan kompetensi ICT di kalangan pelajar, guru dan masyarakat
setempat sepanjang tempoh itu.
Pengetua SMK Ayer Lanas, Mat Zali Hamat, berkata hakikatnya sekolah
itu kini boleh berdikari untuk berfungsi sebagai nukleus pembangunan
ICT di daerah Jeli.
Beliau berkata, sebagai contoh sekolah itu menduduki tempat ke empat
pertandingan mereka laman web sekolah peringkat Kelantan pada 2005
dan tempat ketiga dalam pertandingan sama tahun ini.
"Kegiatan dilaksanakan selama tiga tahun itu termasuk kelas ICT,
aplikasi internet, bengkel penyelenggaraan komputer dan kursus
membangun laman web.
"Selain itu, kementerian dan TM menganjurkan lawatan akademik,
seminar kecemerlangan pelajar dan pameran produk terbaru menerusi
karnival ICT," katanya.
Mat Zali berkata, projek sekolah angkat itu menimbulkan kesedaran
kepentingan ICT di kalangan masyarakat luar bandar dan kesan terhadap
pembangunan sosial, ekonomi dan teknologi.
Pengurus Besar TM Retail Kelantan, Mohd Ariffin Che Man, pula berkata
projek itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat TM yang
dilaksanakan menerusi pendekatan tiga penjuru.
Katanya, pendekatan dan amalan itu adalah untuk membantu bidang
pendidikan, pembangunan sukan dan kegiatan pembangunan masyarakat.
"TM akan terus berfungsi menyumbang ke arah kebajikan masyarakat
bertujuan merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dengan luar
bandar dan kami gembira projek ini sempurna selepas tiga tahun
dilaksanakan," katanya.
Penduduk setempat, Omar Ismail, 55, turut menyarankan supaya SMK Ayer
Lanas terus menghasilkan pelajar cemerlang dan mahir dalam menguasai
ICT sebagai persediaan menghadapi cabaran global pada masa depan.
Beliau berkata, pelajar harus merebut peluang memajukan diri,
keluarga dan masyarakat dengan ada persekitaran pembelajaran
teknologi kondusif yang diwujudkan menerusi projek berkenaan.
"Saya percaya SMK Ayer Lanas mampu bersaing bagi mengharungi era
digital dan menguasai ICT demi kepentingan masa depan bangsa serta
negara.
"Langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan merealisasikan wawasan
negara untuk muncul sebagai negara berstatus maju dan celik ICT dalam
semua aspek kehidupan menjelang 2020," katanya.
FAKTA
Projek Sekolah Angkat ICT
SMK Ayer Lanas jadi sekolah angkat sejak 2004.
Projek cetusan Program Sehari Bersama Pelanggan TM di Jeli pada 2003.
Projek pertama Telekom Malaysia
di negara ini.
Kemudahan kamar siber dengan 11 set komputer lengkap akses internet
jalur lebar serta Tmnet Streamyx percuma.
//BHarian