Pilihan raya Umum 2008 dan Pengukuhan PAS Kelantan: Peranan dan 
Sumbangan Parlimen Pengkalan Chepa    

Oleh Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Ab. Latif  
Pengenalan
Dari satu segi, parlimen Pengkalan Chepa adalah sinonim dengan nama 
Tuan Guru Nik Ab. Aziz, Menteri Besar Kelantan. Kehebatan, ketahanan 
dan ketokohan beliau dalam mempertahankan parlimen Pengkalan Chepa 
dan kemudiannya kerusi DUN dalam parlimen yang sama telah semacam 
menjadi satu lagenda dalam politik Kelantan. Dari sudut ini, peranan 
Tuan Guru Nik Ab. Aziz dan sumbangan beliau terhadap peranan parlimen 
Pengkalan Chepa dalam mempertahankan kewibawaan PAS adalah sesuatu 
yang unik dalam politik Kelantan. 

Dalam masa yang sama perlu difahami bahawa kemampuan PAS bertahan di 
Parlimen Pengkalan Chepa telah bermula pada pilihan raya umum tahun 
1959 lagi. Dalam hal ini ia boleh dilihat sebagai kawasaan 
parlimen yang paling kuat dan paling selamat untuk PAS sekaligus ia 
boleh dijadikan model dan modal bagi PAS Kelantan secara khusus dan 
PAS Pusat secara umum.  

PAS perlu mengkaji secara terperinci peranan dan prestasi PAS 
Pengkalan Chepa bagi tujuan menimba beberapa petunjuk dan pedoman 
sekiranya PAS ingin meraih kejayaan. Sudah semestinya realiti (dalam 
bentuk peluang dan cabaran) yang wujud di peringkat kawasan tidaklah 
sama berbanding kawasan-kawasan lain.  Walaubagaimana pun, ini tidak 
perlu dilihat sebagai batu penghalang untuk dilakukan kajian kerana 
dari penemuan-penemuan yang bersifat mikro itulah dapat dikemukakan 
beberapa generalisasi yang berkaitan dengan gerakgeri atau sifat PAS 
di peringkat negeri, malah mungkin juga di peringkat nasional.  

Secara analoginya, perlakuan firma dikaji secara terperinci oleh ahli 
ekonomi dan dari situ mereka mengemukakan pelbagai generalisasi 
menegenai sifat ekonomi nasional secara umumnya. Atas pertimbangan 
inilah makalah ini ingin melihat perjalanan PAS di peringkat mikro 
dan bagi penulis ini merupakan satu pendekatan yang penting kerana 
kejayaan sesebuah parti politik dalam pilihanraya amat juga 
bergantung kepada apa yang berlaku di peringkat akar umbi.

Parlimen Pengkalan Chepa: Dimensi Politik dan Kepimpinan

Hampir setengah abad PAS telah mendominasi parlimen Pengkalan Chepa 
yang dimenangi bermula dari pilihan raya umum 1959 sehinggalah 
pilihan raya umum 2004.  Di antara dua pilihan raya umum ini dan 
sungguhpun diasak dengan `politik mageran' pada tahun 1978, kerusi 
Pengkalan Chepa masih dapat dipertahankan oleh PAS.  

Dalam pilihan raya umum 1959 yang diadakan pada 19 Ogos parlimen 
Pengkalan Chepa (pada masa ini dikenali sebagai parlimen Kelantan 
Hilir) telah diwakili oleh Hj. Ahmad Abdullah (AJK PAS Pusat) yang 
berasal dari Seberang Prai menentang Nik Ismail Nik Hussein yang 
mewakili Perikatan (UMNO).  Dalam pilihanraya ini Hj. Ahmad Abdullah 
menang dengan memperolehi 9,463 undi berbanding calon Perikatan yang 
hanya mampu meraih 6,302 undi.  

Dalam pilihan raya umum ini juga PAS berjaya mempertahankan ketiga-
tiga DUN dalam parlimen Kelantan Hilir iaitu DUN Kuala Kelantan, DUN 
Kota Bharu Utara dan DUN Kota Bharu Pantai. Sebagai contoh, bagi DUN 
Kota Bharu Pantai calon PAS Ustaz Nik Abdullah Arshad (Pak Nik Lah) 
menang dengan memperolehi 4,437 undi (Mohd Amin Yaakob 1999: 14-19). 
Pengelibatan Hj Ahmad Abdullah dari Seberang Prai dalam pilihan raya 
di Kelantan pada pilihan raya umum yang pertama diadakan selepas 
Malaya mencapai kemerdekaan dari pihak penjajah Inggeris mempunyai 
implikasi yang besar dalam perjuangan politik PAS. 

Ini bermakna sejak dari awal PAS menolak tanggapan pengakaji politik 
Malaysia yang tersohor seperti K. J. Ratnam yang mengatakan bahawa 
PAS adalah sebuah parti yang terikat dengan sifat kedaerahan atau 
primodialisme, yang konservatif dari segi pemikiran dan tidak 
mempunyai nilai-nilai nasional dalam dasar perjuangannya.  Sekiranya 
tanggapan Ratnam ini betul maka adalah agak mustahil bagi PAS 
membenarkan orang luar seperti Hj Ahmad Abdullah dari Seberang Prai 
bertanding di Kelantan.
 
Begitu juga dengan pilihan raya umum 1964 PAS masih mampu 
mempertahankan kerusi parlimen Kelantan Hilir (Pengkalan Chepa) dan 
tiga DUN di bawahnya. Hj. Ahmad Abdullah mempertahankan kerusi 
parlimennya untuk kali yang kedua.  Seperti yang dibincangkan di 
atas,menangnya Hj. Ahmad Abdullah dari Seberang Prai, mempunyai 
implikasi  politik   yang  penting bagi parlimen Pengkalan Chepa 
secara khusus dan politik Kelantan secara umumnya.  

Ia menolak tanggapan bahawa budaya politik Kelantan adalah bersifat 
primordialisme (kedaerahan) yang sempit.  Hakikat pengundi Pengkalan 
Chepa secara khusus dan Kelantan secara umum bersedia untuk 
menerima calon dari luar Kelantan menunjukkan bahawa pengundi 
Kelantan adalah berjiwa besar dan melihat perkembangan politik dengan 
mata hati dan akal yang dibimbing oleh wahyu (dalam ertikata 
pemahaman Islam yang 
menyeluruh).  

Dalam konteks yang sama pengundi Bachok bersedia untuk menerima 
individu seperti Prof. Dzulkifli Muhammad dan Ustaz Abu Bakar Hamzah 
dan terkini, pengundi parlimen Kubang Kerian tidak ada masalah untuk 
menerima Salahuddin Ayub sebagai calon mereka.  Benarlah pengamatan 
Prof. Kessler(1974) yang mengatakan bahawa budaya politik PAS 
digerakkan oleh akal yang dibajai dengan pemahaman Islam yang syumul 
berbanding dengan budaya politik UMNO yang digerak oleh nafsu yang 
didorongi pertimbangan materialisme yang melampau.  
 
Membaja akal dengan pemahaman Islam yang syumul nampaknya dipikul 
secara baik oleh pimpinan PAS Pengkalan Chepa.  Asas ke arah ini 
telah dibina secara kukuh oleh tradisi pondok dan seterusnya sekolah 
agama rakyat yang wujud dalam parlimen Pengkalan Chepa.  Pondok Tok 
Ayah Kedah terletak di Panchor yang sekarang bertukar kepada Sekolah 
Menegah Agama (Arab) Tarbiah Mardiah.  

Begitu juga Pondok Tok Nik Mat Alim telah bertukar kepada Sekolah 
Menengah Agama (Arab) Darul Anuar, Pondok Ayah Mat Beris telah 
bertukar menjadi Sekolah Menengah Agama (Arab) Muhammadiah dan 
akhirnya Pondok Tok Sadang bertukar menjadi Sekolah Menengah Agama 
(Arab) Badang yang terletak di Jalan Pantai Chahaya Bulan (Hasmi Ab. 
Rahman, 2000).  Para pimpinan PAS Pengkalan Chepa seperti Allahyarham 
Pak Nik Lah, YAB Tok Guru, YB Nik Amar dan YB Ustaz Halim telah 
memanfaat secara baik kewujudan institusi pendidikan Islam ini yang 
telah membentuk tassawur Islam sebahagian besar pengundi Pengkalan 
Chepa.

Di peringkat ini dapatlah disimpulkan bahawa faktor seperti kewujudan 
persekitaran Islam melalui sistem pendidikan Islam (resmi dan tidak 
resmi) yang membentuk kefahaman Islam yang syumul dan kepimpinan yang 
berwibawa yang mendokongnya merupakan faktor terpenting kenapa PAS 
parlimen Pengkalan Chepa dapat bertahan begitu lama.  Kewibawaan 
pimpinan PAS peringkat parlimen Pengkalan Chepa dapat diperhatikan 
apabila pemimpin seperti YAB Tok Guru, YB Ustaz Halim dan YB Nik Amar 
agak selesa untuk bertanding sama ada di peringkat parlimen atau DUN 
dan mendapat sokongan yang padu dari pengundi. Ini tidak menafikan 
peranan penting di belakang tabir dan di peringkat akar-umbi (grass-
roots) oleh tokoh-tokoh pimpinan tempatan yang diwakili oleh individu-
individu seperti Haji Daud Ibrahim, Haji Raja Sulaiman bin Raja 
Salleh, Hajjah Fatimah binti Hassan, Ustaz Othman bin Awang dan Ustaz 
Mohd Yusoff bin Ludin.
 
Berdasarkan perbincangan di atas, di peringkat ini dapatlah 
dirumuskan bahawa kekuatan PAS di parlimen Pengkalan Chepa adalah 
terhasil dari beberapa faktor yang saling mempengaruhi.  Faktor-
faktor tersebut adalah persekitaran yang Islamik yang terbit dari 
kewujudan pelbagai institusi pendidikan Islam (resmi dan tidak 
resmi), kepimpinan yang dinamis dalam memasyarakatkan PAS berdasarkan 
kefahaman Islam yang syumul dan komitmen ahli parti pada dasar Islam 
yang diperjuangkan oleh parti.  Berdasarkan kepada faktor-faktor 
penting inilah, kepimpinan PAS Pengkalan Chepa mampu 
mewujudkan `infrastruktur Islam' yang mantap bagi memperkukuh 
kedudukan parti. 

Dalam tahun 2000  kepimpinan PAS Pengkalan Chepa mampu mewujudkan 58 
cawangan, 32 orang Penghulu Mukim (Ketua Kampung) dan 36 orang yang 
terlibat dengan Unit Dakwah Halaqat.  Dalam bidang pendidikan Islam, 
PAS Pengkalan Chepa mampu menubuhkan 14 buah Pusat Asuhan Tunas Islam 
(PASTI) dengan jumlah pelajar seramai 1,086 orang dan dibantu oleh 41 
orang guru (Hasmi Ab. Rahman,2000: 5).
 
Rumusan umum di atas telah dibuktikan benar oleh satu kajian yang 
dibuat untuk mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan PAS 
mendominasi parlimen Pengkalan Chepa.  Kajian yang dilakukan oleh 
Hasmi Ab.Rahman  (2000)  ke atas 50 orang responden (25 lelaki dan 25 
wanita) berumur antara 21 hingga 51 tahun ka atas, memperlihatkan 
beberapa data yang menarik. 

Dalam konteks penyertaan politik 72 % responden yang ditemubual 
terlibat dalam politik dan 88% responden memilih PAS.  Dari segi 
motivasi serta dorongan dalam menyertai politik terdapat 84% 
responden lelaki 
mengatakan mereka menyertai politik adalah atas kesedaran dan 
kerelaan sendiri berbanding 12% adalah disebabkan dorongan dari kawan-
kawan dan 4% dari dorongan ibubapa. 

Penemuan ini adalah sesuatu yang penting dan ia berkaitan dengan 
kefahaman Islam yang syumul yang telah melahirkan budaya self-
determining dikalangan pengundi sungguhpun pihak lawan melihat ini 
sebagai sikap yang dilabel sebagai `taasub'.  Atas komitmen inilah 
80% responden lelaki dan 72% responden wanita yang dikaji  mengatakan 
bahawa mereka tidak pernah bertukar parti dan senantiasa istiqamah 
dengan perjuangan PAS.

Apa yang juga menarik dari kajian di atas ialah persepsi responden ke 
atas soalan yang mengatakan menyertai politik pembangkang adalah 
merupakan satu ancaman kepada mereka seperti menjejaskan kerjaya 
mereka dan sebagainya.  Dalam hal ini 68% dari responden lelaki dan 
52% responden wanita tidak bersetuju dan mereka berhujah adalah 
menjadi hak asasi mereka untuk memilih apa-apa parti yang mereka suka 
di bawah sistem demokrasi.  Apa yang menarik dalam konteks ini ialah 
60% responden lelaki dan 68% responden wanita bekerja di sektor 
kerajaan.  
 
Dalam konteks kepimpinan sebahagian besar responden (76%) mengatakan 
kewujudan pemimpin yang dinamis, mesra rakyat, mempunyai 
latarbelakang agama yang mantap dan tidak berlaku perebutan jawatan 
(penyakit yang senantiasa menghantui UMNO) adalah juga faktor penting 
yang memperkukuhkan kedudukan PAS di parlimen Pengkalan Chepa.

Pilihan raya Umum 2004 dan Peranan Pengundi Muda:  Beberapa Tren dan 
Petunjuk Berdasarkan Pengalaman Parlimen Pengkalan Chepa 

Di peringkat yang lebih umum berdasarkan data bagi PRU 2004, parlimen 
Pengkalan Chepa (P.20) menduduki tangga teratas di kalangan kerusi 
parlimen yang dimenangi oleh PAS. Parlimen Pengkalan Chepa 
memperolehi 20,621 undi daripada keseluruhan pengundi yang berdaftar 
yang berjumlah 44,844 orang.  Ini bermakna PAS memenangi sebanyak 
58.88% daripada keseluruhan undi.  Ini diikuti oleh parlimen Kubang 
Kerian apabila PAS memperolehi 57.56% undi.  Seterusnya diikuti oleh 
Pasir Putih (53.79%), Tumpat (51.68%) dan Rantau Panjang (51.25%).  
Disebabkan oleh masalah teknikal dan politik `sorong papan tarik 
papan', PAS terpaksa berpisah dengan Pasir Putih.  Berdasarkan 
statistik yang ada parlimen Pasir Puteh sepatutnya dimiliki oleh PAS 
dengan margin kemenangan yang agak selesa.  Ini bermakna pada PRU 
2008 yang akan datang, sekiranya calon PAS boleh diterima oleh semua 
pihak (mungkin perlu kepada calon `payun terjun' dari luar yang sudah 
biasa dengan PAS), tidak ada sebab kenapa parlimen Pasir Puteh tidak 
boleh dikembalikan semula kepada PAS.

Berdasarkan statistik yang ada sungguh pun peratusan yang mengundi di 
parlimen Pengkalan Chepa adalah tinggi (80.58%), dari satu segi ia 
tidak membayangkan wujudnya fenomena `pengundi hantu'.  Di parlimen 
Pengkalan Chepa tidak berlaku ketidakselarasan ( tidak tally) kerana 
apabila dicampur mereka yang keluar mengundi dengan mereka yang tidak 
keluar mengundi dan undi rosak ianya sama (tally) dengan jumlah 
keseluruhan pemilih iaitu seramai 44,844.  Dalam konteks ini, dalam 
kes parlimen Bachok berlaku percanggahan iaitu tidak tally dan 
sekaligus dapat dirumuskan bahawa besar kemungkinan ada 
elemen `pengundi hantu'.  Dalam kes parlimen Pengkalan Chepa strategi 
pertama yang dapat dirumuskan ialah: mempertahankan kemenangan yang 
sedia ada.  Seterusnya bagi menjamin kemenangan yang lebih selesa, 
mesti ada usaha-usaha untuk mengenalpasti pengundi yang tidak keluar 
mengundi ( mereka mungkin pengundi atas pagar, atau undi protes sama 
ada terhadap PAS atau UMNO/BN) dan pastikan paling tidak separuh dari 
undi ini yang berjumlah 7891 orang mengundi PAS pada PRU 2008 yang 
akan datang. 
 
Peranan pengundi muda adalah sesuatu yang menarik dan kritikal bagi 
kemenangan PAS bukan sahaja di parlimen Pengkalan Chepa tetapi juga 
di parlimen dan DUN lain di Kelantan. Pilihan raya Umum 2004 
memperlihatkan kepada kita betapa pengundi muda  adalah dari satu 
segi merupakan undi penentu yang memberi kemenangan atau kekalahan 
kepada parti yang bertanding.  

Sungguhpun di peringkat nasional, dengan penubuhan Puteri UMNO dan 
sekarang Putera, golongan muda yang terbangkit idealisme politik 
mereka hasil dari gerakan reformasi yang dicetuskan oleh peristiwa 
pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim, telah mula mengalih selera kepada 
UMNO/BN, pengalaman Pengkalan Chepa memperlihatkan bahawa pengundi 
muda, secara majoritinya, masih bersama PAS.

Ini mungkin disebabkan idealisme perjuangan yang terbangkit mempunyai 
daya tahan yang lebih tinggi berdepan dengan asakan materialsme 
berbanding pengundi tua.  Atas hakikat ini strategi kedua ialah 
dengan terus mendampingi dan meningkatkan hubungan dengan pengundi 
muda dengan melibatkan mereka dengan program-program anjuran PAS.  
Program-program yang berbentuk kemasyarakatan perlu diberi keutamaan 
dan bukan program yang khusus bersifat politik.
        
Secara lebih terperinci, sokongan pengundi muda dalam parlimen 
Pengkalan Chepa berdasarkan pecahan mengikut DUN pada PRU 2004 adalah 
seperti Jadual berikut:

Nama Dewan Undangan Negeri
Kijang
Cempaka
Panchor

Undi Muda Secara Keseluruhan     
Kijang-6898
Cempaka-6245
Panchor-7137                                          

Yang Mengundi PAS  
Kijang-64.93% 
Cempaka-71.67% 
Panchor-63.92% 

Berdasarkan Jadual di atas, program-program yang dirancang untuk 
pengundi muda adalah bertujuan untuk mengekalkan sokongan yang 
diberikan kepada PAS pada PRU 2004 yang lalu dan menambahkan sokongan 
baru.  Sokongan baru datangnya dari mereka yang tidak keluar mengundi 
pada PRU 2004 yang lalu yang jumlahnya agak besar iaitu 1645 
(Kijang), 1418 (Cempaka) dan 1865 (Panchor).  Satu keadah perlu 
dikemukakan bagi mengenal pasti pengundi ini dan memikirkan program 
yang sesuai untuk menarik sokongan mereka.  

Satu kaedah yang boleh dicadangkan di sini ialah kaedah survey di 
mana soalan-soalan yang relevan boleh ditanya dan darinya strategi 
dan program dapat diatur dan seterusnya dilaksanakan. 

Peripentingnya undi pengundi muda dalam PRU 2004 yang lalu dan untuk 
PRU 2008 yang akan datang dapat juga dilihat, secara bandingan, 
peranan mereka diluar kawasan Pengkalan Chepa.  Kawasan DUN yang 
dimenangi oleh PAS seperti Limbongan (N.30), Pulai Chondong (N. 33), 
dan Temangan (N.34) memperlihatkan kepada kita bahawa jumlah pengundi 
muda mewakili separuh dari keseluruhan undi.  Sebagai contoh, DUN 
Limbongan mempunyai 8,039 pengundi muda dari keseluruhan undi yang 
berjumlah 17,251.  

Apa yang lebih menarik ialah bagi DUN yang dimenangi oleh BN jumlah 
pengundi muda adalah hanya satu pertiga (1/3) dari jumlah keseluruhan 
pengundi dan ada sesetengah tempat jumlahnya hanya satu perempat 
(1/4) atau kurang dari itu.  Sebagai contoh, kawasan DUN Bukit Bunga 
(N.36) jumlah pengundi muda adalah seramai 4,849 berbanding jumlah 
keseluruhan pemilih seramai12,666 orang. Di kawasan DUN di Selatan 
Kelantan, pengundi muda tidak begitu ketara.  Sebagai contoh DUN 
Paloh (N.44) yang dimenangi oleh BN hanya mempunyai 2,885 pengundi 
muda berbanding dengan keseluruhan pengundi iaitu 9,092. 
       
Kawasan DUN Semerak (N. 31) dalam parlimen Pasir Puteh mempunyai 
keunikannya yang tersendiri.  Kemengan BN melalui calonnya Kamaruddin 
Mohd Noor disebabkan oleh sokongan pengundi muda yang padu kepadanya. 
Dalam DUN semerak,  pengundi muda juga merupakan pengundi yang agak 
ramai iaitu 5,938 berbanding jumlah keseluruhan pengundi seramai 
13,993 orang.  

Berdasarkan logik politik sebagaimana yang berlaku kepada DUN 
Limbongan di mana peratusan pengundi muda hampir sama dengan DUN 
Semerak iaitu sekitar 50 peratus, sepatutnya DUN Semerak juga 
dimenangi oleh PAS.  Kenapa ini tidak berlaku? Jawapan kepada soalan 
ini ialah kerana hubungan Kamaruddin Mohd  Noor dengan golongan muda 
adalah amat rapat dan mesra.  Di kalangan pemuda beliau dikenali 
sebagai Abang Din. Faktor lain ialah beliau dilihat sebagai mempunyai 
latarbelakang agama yang kuat kerana keterlibatan beliau dengan ABIM 
dan WAMY satu ketika dahulu.
 
Perangkaan terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negeri 
Kelantan 2004 memperkukuhkan hujah kita bahawa peranan pengundi muda 
adalah penting dalam mencorak masa depan politik Kelantan.  Bagi 
daerah Kota Bharu secara keseluruhan dan parlimen Pengkalan Chepa 
adalah sebahagian dari daerah Kota Bharu, terdapat 156,937 orang 
belia (yang berumur antara 15-39 tahun) dan ini merupakan 35.2% dari 
keseluruhan penduduk daerah Kota Bharu.  Daripada keseluruhan 156,937 
kumpulan belia ini, belia dan beliawanis Melayu di dalam kategori 
umur 15-19 adalah yang paling ramai iaitu sebanyak 51,662 orang 
daripada jumlah keseluruhan belia Melayu seramai 54,463.  Kategori 
kedua paling ramai ialah pada peringkat umur 20-24 iaitu seramai 
29,226 orang. Apa yang perlu diberi perhatian adalah kepada kategori 
pertama yang berumur antara 15-19 yang begitu ramai dan mereka akan 
mengundi untuk pertama kali pada pilihan raya umum 2008 nanti. 

Apakah kategori pengundi baru dari kalangan belia ini di peringkat 
parlimen Pengkalan  Chepa terus bersama PAS?.  Kajian terkini oleh 
Mohd Zaki bin Ismail (2005) masih memberi gambaran yang positif 
kepada pendokong PAS.  Daripada 100 responden yang dikaji, 86 orang 
(atau 86%) pemuda masih menerima pimpinan ulama sebagai bentuk 
pimpinan yang relevan dan baik (Mohd Zaki Ismail, 2005: 112).  Begitu 
juga dengan faktor gaya kepimpinan dan personaliti YAB Tok Guru masih 
diterima baik oleh 
83% responden.  

Responden juga menerima baik dasar-dasar Islamisasi yang dikemukakan 
oleh Kerajaan Kelantan apabila sebanyak 96% daripada responden 
menyetujuinya.  Pemimpin yang mesra rakyat juga mendapat sanjungan 
yang positif dari para responden apabila 83% daripada responden 
melihatnya sebagai sesuatu yang penting yang perlu ada pada sesaorang 
pemimpin.  
 
Sokongan belia terhadap PAS di parlimen Pengkalan Chepa adalah sama 
rata di antara belia lelaki dengan belia wanita apabila 41 orang dari 
61 belia lelaki yang ditanya menyatakan bahawa mereka cenderung untuk 
menyokong PAS.  Secara bandingan, 21 orang belia wanita daripada 39 
orang yang ditemubual menyatakan perkara yang sama (Mohd Zaki 
Ismail,2005: 131).  Walaubagaimana pun dalam konteks kategori umur, 
PAS perlu memberi perhatian kepada kategori umur 18-22 tahun apabila 
hanya 7 daripada 19 responden yang disolaselidik bersetuju untuk 
menyokong PAS berbandingkan kategori umur 23-27 tahun dimana 16 
responden daripada 25 orang yang ditemubual menyatakan pendirian 
mereka untuk menyokong PAS. Kategori-kategori umur lain seterusnya 
nampaknya lebih memihak kepada PAS.  
 
Beralih kepada angkubah hubungan antara taraf pendidikan dengan 
kecenderungan kepada PAS di parlimen Pengkalan Chepa nampaknya juga 
lebih memihak kepada PAS apabila 17 orang responden (daripada 
keseluruhan 34) yang memiliki ijazah atau diploma menyokong PAS; 36 
daripada keseluruhan 54 responden di peringkat sekolah menengah 
bersama PAS;  5 daripada keseluruhan 8 orang responden dari sekolah 
rendah menyokong PAS; dan akhirnya 4 daripada 4 respondon dari 
sekolah agama menyokong PAS (Mohd Zaki Ismail,2005: 135).

Begitu juga dengan angkubah hubungan antara pekerjaan dengan sokongan 
terhadap PAS nampaknya juga positif kepada PAS. Sebagai contoh , 
terdapat 34 responden yang bekerja dengan kerajaan dan daripada 
jumlah ini 23 darinya menyokong PAS berbanding dengan 3 responden 
yang tidak menyokong dan 8 orang responden tidak pasti.  Mereka yang 
bekerja sendiri dan suri rumah adalah dua kategori pekerjaan di mana 
pekerja-pekerja ini secara kental menyokong PAS.  Sebagai contoh, 17 
responden daripada keseluruhan 22 yang bekerja sendiri menyokong PAS; 
begitu juga 5 daripada 7 suri rumah yang disoalselidik menyatakan 
sokongan mereka terhadap PAS.  Apa yang menarik ialah bagi kategori 
kakitangan swasta di mana sokongan mereka agak sederhana di mana 
hanya 6 orang yang menyokong PAS daripada 15 orang yang disoalselidik
(Mohd Zaki Ismail,2005: 137).
 
Mungkin angkubah yang perlu diberi perhatian oleh pendokong dan 
petugas PAS ialah angkubah pengaruh keluarga dan kaitannya dengan 
sokongan terhadap PAS.  Daripada 100 orang responden yang dikaji 
hanya 46% yang mengatakan bahawa pengaruh keluarga adalah penting 
yang mendorong mereka untuk menyokong PAS.  Selebihnya 39% mengatakan 
ia tidak memain peranan dan 15% selebihnya berpendirian tidak pasti.  
Aspek tarbiah dalaman ini tidak boleh dipandang enteng oleh ahli 
PAS.  Perkara-perkara seperti membawa anak bersama dalam program PAS 
dan ke surau dan mesjid untuk sembahyang berjamaah dan mengikuti 
kuliah agama merupakan proses sosialisasi politik yang penting bagi 
menjamin sokongan yang berterusan dari generasi ke generasi.  Maka 
tidak timbullah isu di mana ada isteri dan anak pemimpin PAS yang 
bersama UMNO!
 
Angkubah pengaruh keluarga besar kemungkinan mempunyai kaitan dengan 
angkubah kesetiaan kepada parti (PAS) di kalangan belia di parlimen 
Pengkalan Chepa.  Kajian yang sama memperlihatkan kepada kita bahawa 
hanya 44 orang atau 44% belia yang ditemubual menyatakan bahawa 
mereka setia dengan PAS berbanding dengan 31% tidak setia dan 25% 
tidak pasti.  

Kesetiaan kepada parti (party loyalty) adalah faktor yang penting 
dalam pilihanraya yang mengatasi faktor personaliti calon dan 
kekuatan satu-satu parti politik amat bergantung kepada kesetiaan 
pengikutnya.  Kesetiaan kepada parti pada kebiasaannya datang 
bersamanya keikhlasan perjuangan bagi menegakkan matlamat perjuangan 
parti. Ia juga berkaitan dengan idealisme perjuangan politik melalui 
parti yang didokong dan faktor ini sepatutnya mendasari perjuangan 
golongan belia.

Kesimpulan

Masa depan PAS Kelantan amat bergantung kepada keupayaan pimpinan dan 
ahli parti mengekal dan memperluas faktor-faktor yang disenaraikan 
sebagai kekuatan dan `menterbalikan' atau paling tidak meminimakan 
faktor-faktor yang dikategorikan sebagai kelemahan.  Rasa `sedap 
duduk' (complacency) dapat diubah dengan satu proses pentarbiyahan 
yang serius yang menekankan antara lain bahawa hakikat kejadian 
manusia adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah; 
menjadi kuli Allah.  Nabi Muhammad (s.a.w) sebagai insan yang paling 
istimewa pada pandangan Allah masih diberi label sebagai `budak 
suruhan Allah'; inikan kita manusia biasa.  

Sebagai kuli Allah, kita mesti ikut semua perintah Allah dan ikut 
perintah Allah bererti melaksanakan seluruh peraturan (syariat) 
Allah. Dalam konteks Malaysia ini bermakna perlu memenangi dua 
pertiga kerusi di parlimen bagi membolehkan syariat Allah 
dilaksanakan 
    
Bagi memperkukuhkan PAS Kelantan, banyak yang boleh dipelajari dari 
pengalaman PAS Pengkalan Chepa. Dalam kajian yang pertama yang 
dikemukakan dalam makalah ini, yang dibuat dalam tahun 2000 
memperlihatkan kepada kita faktor-faktor yang menyumbang kepada 
kekuatan PAS Pengkalan Chepa adalah antaranya faktor penggarapan 
proses tarbiyah yang berkesan oleh kepimpinan PAS kawasan. Apa yang 
terhasil dari proses tarbiyah yang mantap ini ialah pemahaman kepada 
ilmu Islam yang syumul oleh anggota masyarakat dan ini  membuahkan 
ketaatan kepada parti yang kental kerana mereka yakin parti yang 
mereka dokong mempunyai hasrat untuk merealisai Islam secara syumul. 

Kajian yang dilakukan dalam tahun 2005, secara bandingannya, 
memperlihatkan kepada kita bahawa faktor ketaatan kepada perjuangan 
parti (party loyalty) telah mula luntur, paling tidak di kalangan 
belia yang 
akan menjadi kategori pengundi yang penting di kemudian hari.  Perlu 
dicari kaedah yang berkesan bagaimana golongan belia dapat didedahkan 
dengan pandangan Islam yang syumul, secara yang menarik, bagi 
menggerakkan semula idealisme perjuangan golongan belia dan sekaligus 
mendokong perjuangan PAS. Dari dua kajian yang dikemukakan, 
pendekatan parti terhadap pengundi terutamanya pengundi muda perlu 
juga berubah.  

Sebelum pilihan raya umum 2004 pendekatan yang telah diguna mungkin 
bersifat `ore muda kena jadi ore tua'; tetapi selepas pilihanraya 
umum 2004 pendekatan mungkin perlu diubah kepada `ore tua kena jadi 
ore muda'. Rasulullah(saw) dalam kehidupan Baginda mempunyai 
keanjalan ini.  Pendekatan Baginda kepada kanak-kanak berbeza dengan 
pendekatan Baginda terhadap orang dewasa. Baginda menggunakan 
perkataan yang juga berbeza.  Ini tidak menjadikan Baginda seorang 
kanak-kanak. Perlu ditekankan disini baahawa yang berbeza ialah 
pendekatan bukan intipati atau dasar parti dan pendekatan baru ini 
tidak akan menjerumuskan parti kepada kaedah Machiavellian 
iaitu `matlamat menghalalkan cara'.
    
Kepimpinan PAS Pengkalan Chepa mempunyai potensi yang besar bagi 
menggarap pendekatan baru yang dimaksudkan.  Semua ramuan sudah 
tersedia, cuma ramuan lama perlu menggunakan resipi baru dan ini akan 
meghasilkan masakan dan kueh mueh yang baru yang lebih sedap dan 
lebih berkhasiat. 

Antara resipi baru yang telah ditempatkan secara strategik oleh 
pimpinan PAS negeri ialah kehadiran YB Husam Musa dan YB Nik Amar Nik 
Abdullah yang sudah semestinya mampu memberi tenaga baru kepada PAS 
bagi memenangkan perjuangannya untuk  menegakkan agama Allah yang 
adil dan cantik ini bukan sahaja di Kelantan malah di seluruh 
Malaysia.  InsyaAllah.
    
    
Rujukan

Hasmi Ab. Rahman. 2000. Dominasi PAS Di Parlimen Pengkalan Chepa,1959-
1999: Suatu Tinjauan. Kertas Projek. Jabatan Sains Politik, UKM, 
Bangi.

Ibrahim Suffian. 2004. Negotiating the Uneven Electoral Landscape: A 
Superficial Examination of PAS and Its Performance in the 2004 
GeneralElections. Kertas kerja yang dibentangkan di seminar The 4th 
International
Malaysian Studies Conference (MSC4),3-5 Ogos, UKM, Bangi.

Jabatan Perangkaan Negeri Kelantan.2004. Laporan Penduduk Negeri 
Kelantan.

Kessler, Clive. S. 1974. Muslim Identity and Political Behavior in 
Kelantan Dlm.William R. Roff (pnyt.) Kelantan: religion, society and 
politics in a Malay State. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Mansor Mohd Noor. 2004. Patterns of Voting Behavior in the Malaysian 
General Election of 2004: Locating the Sociological Determinants of 
Ethnicity, Religion and Development. Kertas kerja yang dibentang di 
seminar The 4th International Malaysian Studies Conference (MSC4), 3-
5 Ogos, UKM, Bangi.

Mohd Zaki bin Ismail. 2005.Kepimpinan Nik Aziz Dalam Mempengaruhi 
Kecenderungan Politik Belia: Kajian Di Parlimen Pengkalan Chepa. 
LatihanIlmiah, Program Sains Politik, UKM, Bangi.

Mohd Amin Yaakub. 1999. Sejarah PAS Kelantan.

Wan Nik Wan Yussof.2005. Materialisme Menggugat. Kota Bharu: PASD

Yang Razali Kassim. 2004. ENTER THE BADAWI ERA: Implications of 
Malaysia's General Election 2004. IDSS COMMENTARIES (10/2004).

Zaheruddin Othman. 2004. Reaksi Akar Umbi Kepada Keputusan Pilihan 
raya Umum 2004: Kajian Di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kertas 
kerja yangDibentangkan di seminar The 4th International Malaysian 
Studies Conference (MSC4), 3-5 Ogos, UKM, Bangi.//Hrkh 

 






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke