Arahan kosongkan gerai, berpindah ke tingkat dua bangunan PKINK boleh
jejas perniagaan
KOTA BHARU: Hidup segan mati tak mahu! Demikian nasib yang dihadapi
kira-kira 100 peniaga kecil Pasar Arked Uda milik Perbadanan Uda
Holdings Bhd (Uda Holdings) di Jalan Sultanah Zainab, di sini.
Nasib peniaga pasar lambak Uda itu kini bagaikan di hujung tanduk
selepas mereka dikehendaki mengosongkan gerai masing-masing oleh
pengurusan Uda Holdings, akhir Disember ini selepas menjalankan
perniagaan sejak kira-kira 20 tahun lalu.
Bertambah malang, apabila aduan mereka kepada beberapa pemimpin
kerajaan negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,
Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Annuar Tan Abdullah dan
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancang Ekonomi, Kewangan
dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Husam Musa tidak mendapat perhatian.
Mereka kini dalam dilema dan tidak bersetuju jika dikehendaki
berpindah ke tempat baru seperti dicadangkan kerajaan negeri iaitu
tingkat dua, bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan
(PKINK).
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Arked Uda, Borhan Mohd Noor, 39,
berkata, tempat dicadangkan kerajaan itu tidak sesuai, malah boleh
menambahkan lagi perniagaan mereka terjejas.
Ini, katanya, kawasan tempat bekas letak kereta itu terletak di
tempat tertutup selain menyukarkan orang ramai mengunjunginya.
"Kami lebih selesa berniaga di kawasan lapang sesuai nama pasar
lambak yang terkenal di kalangan pelanggan pelbagai golongan khasnya
berpendapatan sederhana.
"Kebanyakan kami sepenuhnya bergantung hidup daripada hasil berniaga
di sini termasuk bagi menyara keluarga dan keperluan lain," katanya
ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, peniaga pasar lambak ini tidak keberatan jika diarah
berpindah tetapi tempat baru itu seharusnya strategik dan sesuai
sebagai kawasan perniagaan.
Shamsuddin Baharuddin, 46, berkata beliau berharap kerajaan negeri
menyelesaikan segera masalah dihadapi peniaga kecil ini dengan
mencari tapak baru sesuai untuk berniaga.
"Sebelum itu Anuar Tan pernah memberi jaminan mencari tapak baru
sebagai ganti dalam perjumpaan dengan ahli iaitu di kawasan hadapan
Masjid Besar Muhammadi.
"Bagaimanapun, saya dan peniaga lain terkilan apabila mendapati tapak
itu kini bakal dijadikan tempat meletak kenderaan pelancong dan
kawasan rekreasi yang kini dikenali sebagai Dataran Islam Safa Marwah.
"Kami kini rasa terasing, tertekan dan tidak mendapat pembelaan
sewajarnya terutama selepas notis akhir untuk mengosongkan kawasan
ini ditetapkan Disember ini," katanya.
Difahamkan, tapak lama pasar ini akan dirobohkan bagi membina
bangunan 22 tingkat lengkap dengan pusat membeli belah termasuk
kediaman jenis pangsapuri.
Tinjauan Berita Harian di pasar itu baru-baru ini mendapati, banyak
premis di situ tidak beroperasi dan sebilangan peniaganya muram dan
tidak puas hati kerana tempat baru dicadangkan kerajaan tidak
memuaskan.
Mohd Yusuf Mahardin, 42, berkata, walaupun perniagaannya di sini
semakin suram kerana kurang pengunjung tetapi masih kekal beroperasi
semata-mata untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.
"Jika kami ditempatkan di bangunan PKINK itu, kemungkinan tidak akan
bertahan lama kerana kawasan itu tertutup dan menyukarkan pengunjung
datang.
"Saya harap kerajaan negeri menyediakan tempat baru yang munasabah
dan berpotensi maju bagi memastikan nasib kami sebagai peniaga kecil
di kawasan bandar dibela," katanya.
Bagi Asmat Mohd Yasim, 47, berkata, sepanjang 15 tahun menjalankan
perniagaan kedai emas di sini, beliau mampu menyara keluarganya
walaupun memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 sehari.
"Tetapi saya lebih rela berniaga di sini, daripada berpindah ke
bangunan PKINK yang malap, suram dan jauh dari pandangan orang
ramai," katanya.//Bharian
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> Your email settings:
Individual Email | Traditional
<*> To change settings online go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/join
(Yahoo! ID required)
<*> To change settings via email:
mailto:[EMAIL PROTECTED]
mailto:[EMAIL PROTECTED]
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/