KOTA BAHARU, 3 Nov - Ketika pemimpin Umno sedang hebat mengatur 
strategi untuk menawan Kelantan, beberapa pemimpin PAS kini dikatakan 
berlumba-lumba menonjolkan diri untuk menggantikan Datuk Nik Abdul 
Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar negeri itu.

Usaha mereka dikatakan bermula sejak 2004 lagi apabila Nik Aziz yang 
sering uzur terpaksa menjalani rawatan di Institut Jantung Negara 
(IJN).

Paling menonjol di kalangan mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa 
Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan 
Masyarakat Datuk Husam Musa yang juga Naib Presiden PAS pusat dan 
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan.

Husam dilihat umum sebagai calon favourite menggantikan Nik Aziz 
kerana sering menggantikan Menteri Besar dalam kuliah agama mingguan 
di pekarangan Pejabat PAS Kota Baharu selain menjadi pilihan untuk 
bercakap dengan media berhubung dasar-dasar kerajaan negeri.

Husam yang merupakan graduan bidang ekonomi Universiti Malaya 
dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar sebaik PAS 
memerintah Kelantan pada 1990 sebelum dipilih bertanding mewakili PAS 
di kawasan Dewan Undangan Negeri Kijang pada pilihan raya umum 1995.

Penonjolannya menjadi kian ketara sejak kebelakangan ini. Terbaru, 
beliau diamanahkan untuk mengumumkan kepada media tentang pelancaran 
dinar mas oleh Nik Aziz pada 20 Sept lepas, mengetepikan tokoh yang 
lebih kanan daripadanya iaitu Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad 
Yakob.

Bagaimanapun, kalangan pemimpin Umno di sini tidak yakin Husam 
mempunyai peluang untuk menduduki kerusi itu seandainya PAS terus 
berkuasa di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Mat percaya tokoh 
pilihan Nik Aziz untuk menggantikannya bukan Husam tetapi Pengerusi 
Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri Nik 
Mohd Amar Nik Abdullah.

Nik Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri dilihat 
sebagai ayam tambatan Nik Aziz berdasarkan latar belakang pendidikan 
agama dan tarafnya sebagai seorang ulama.

"Tambahan pula, Nik Aziz banyak terhutang budi kepada arwah bapa Nik 
Mohd Amar, Nik Abdullah Arsyad yang merupakan mentor dan rakan 
seperjuangannya dalam politik," kata Alwi.

Nik Abdullah merupakan orang yang paling kuat menyokong Nik Aziz yang 
ketika itu merupakan Pesuruhjaya PAS Kelantan apabila PAS berhadapan 
dengan ujian getir akibat tersingkir daripada Barisan Nasional pada 
1977.

"Husam dilihat cekap dalam pentadbiran tetapi dengan pandangan jauh 
Nik Aziz dalam politik, beliau sudah pasti memilih Nik Amar sebagai 
penggantinya bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan ulama di 
Kelantan," katanya.

Ketua Pemuda Umno Kelantan Dali Husin pula berpendapat sekiranya Nik 
Aziz memilih Husam sebagai penggantinya, beliau jelas tidak berpegang 
kepada perjuangan menegakkan kepimpinan ulama yang dilaung-
laungkannya selama ini.

"Kepimpinan ulama dalam pentadbiran kerajaan negeri kini jelas 
terhakis sedikit demi sedikit dengan digantikan oleh golongan 
profesional muda yang berfahaman sekular," katanya.

Katanya seorang lagi anggota Exco Kerajaan negeri, Takiyuddin Hassan 
yang sebelum ini dikatakan turut bersaing untuk menjadi pengganti Nik 
Aziz sudah pun terkeluar daripada senarai kerana selain faktor gaya 
hidupnya, beliau juga bukan anak jati Kelantan.

Beberapa pemerhati politik bebas pula berkeyakinan Timbalan Menteri 
Besar sekarang, Datuk Ahmad Yakob tidak berpeluang untuk menggantikan 
Nik Aziz kerana dalam sejarah politik di Kelantan, tidak pernah 
seorang Timbalan Menteri Besar dapat menduduki kerusi itu.

Bagi mereka Ahmad hanya sekadar spare part untuk mengisi jawatan itu 
selepas PAS menghadapi kebuntuan untuk memilih antara Husam dan Nik 
Mohd Amar sebagai Timbalan Menteri Besar.

Berdasarkan sejarah, empat Timbalan Menteri Besar pada zaman Umno 
menerajui pemerintahan negeri (1978-1990) tidak pernah berpeluang 
untuk menyandang jawatan Menteri Besar. Mereka ialah Tan Sri Hussein 
Ahmad, Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher, Datuk Ariffin Said dan Datuk 
Wan Ismail Wan Yusof.

Dalam PAS pula, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang pernah menyandang 
jawatan Timbalan Menteri Besar selama tiga penggal sejak 3 Nov 1990 
juga tidak berpeluang untuk merasai kerusi Menteri Besar.

PAS mengetepikan Abdul Halim secara perlahan-perlahan dalam perebutan 
kerusi itu apabila diletakkan untuk bertanding kerusi Parlimen 
Pengkalan Chepa pada pilihan raya umum 2004.

Sebelum itu, Abdul Halim mewakili PAS di Dewan Undangan Negeri 
kawasan Banggol selepas menang dalam pilihan raya umum pada 1986, 
1990 dan 1999 dan di DUN Kijang pada 1995.

Beliau gagal dalam usaha merebut kerusi Timbalan Presiden PAS dalam 
Muktamar Agung PAS di Kelantan pada 2005.

Selagi belum tiba masanya, tidak ada siapapun yang mampu menduga 
siapa di kalangan tokoh-tokoh PAS itu yang benar-benar bernasib baik 
untuk menggantikan Nik Aziz. Atau, mungkin juga ia sekadar angan-
angan kosong sedangkan Umno terus memperhebatkan usaha untuk menawan 
Kelantan daripada PAS.//Bernama







 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke