Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Pengguna jambatan gantung Sungai Ketil menghubungkan 
penduduk Kampung Kerinting dengan Kampung Baru Hulu, dekat sini, 
dalam dilema selepas simen di hujung jambatan itu retak.

Berikutan itu, pengguna mendesak pihak berkenaan membaiki segera 
lantai bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Penduduk Kampung Kerinting, Abd Rashid Awang Hamat, 47, mendakwa 
keretakan itu dikesan beberapa bulan lalu dan kian membesar.

"Jambatan ini menjadi laluan setiap hari termasuk menghantar anak 
sekolah.

"Saya berharap cuti panjang ini, pihak berkaitan membaiki jambatan 
itu supaya dapat digunakan awal Januari ini," katanya.

Seorang penduduk, Muhamad Ab Ghani, 43, berkata jambatan itu pernah 
runtuh kira-kira tiga tahun lalu ketika pelajar melaluinya.

Menurutnya, walaupun kejadian itu tidak membabitkan nyawa tetapi 
beberapa pelajar luka di badan dipercayai terkena kayu.

Katanya, dia tidak mahu kejadian seumpama itu atau lebih buruk 
berlaku lagi. 

"Keadaan jambatan itu kini menjadi lebih bahaya kerana terdedah 
kepada hakisan sungai berikutan musim tengkujuh sekarang," 
katanya.//HMetro 


Kirim email ke