PASIR PUTEH: Keseronokan seorang kanak-kanak keluar menangkap ikan 
bersama abang dan rakannya ketika cuti sekolah berakhir tragedi 
apabila dia mati dilanggar kereta ketika berada di tali air di 
Kilometer 15, Jalan Pasir Puteh-Kuala Besut, di sini. 

Mohamad Taufik Hidayat Mohd Rosdi, meninggal dunia kira-kira jam 8.45 
malam kelmarin selepas koma 20 jam menerima rawatan di Hospital Raja 
Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mohamad Taufik meninggal dunia di sisi ibunya, Fazilah Mat Yasin, 35, 
yang menemaninya sejak dimasukkan ke HRPZII selepas dipindahkan dari 
Hospital Tengku Anis Pasir Puteh.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari Selasa lalu, 
ketika Taufik bersama abangnya, Mohamad Sauki Aswat, 11 dan rakan, 
Azihan Ramli, 11, berada tepi jalan berhampiran tali air di situ.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata 
kemalangan berlaku ketika mangsa melintas jalan bersama abang dan 
rakannya sebelum dilanggar kereta dari arah Pasir Puteh.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa koma sehingga 
meninggal dunia di HRPZ II jam 8.45 malam kelmarin.

Fazilah berkata, dia menyedari kemalangan yang berlaku itu apabila 
Sauki berlari pulang ke rumah mereka yang terletak kira-kira 150 
meter memaklumkan kejadian itu kepada bapanya, Mohd Rosdi Mat Min, 
46, yang sedang bertukang di sebuah rumah berdekatan. 

"Sebelum kejadian itu, saya sudah berpesan kepada Taufik dan Sauki 
supaya tidak keluar rumah, sementara saya keluar membeli makanan 
tengah hari.

"Ketika membeli makanan di kedai kira-kira 200 meter dari rumah, 
suami datang dalam keadaan cemas memberitahu Taufik dilanggar kereta. 
Kami tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana selama ini anaksaya 
tidak pernah ke situ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pekan 
Cherang Ruku, di sini, semalam.

Beliau berkata, Taufik pengsan selepas kemalangan itu dan segera 
dihantar pemandu kereta terbabit yang berusia 19 tahun ke Hospital 
Pasir Puteh.//BHarian



Kirim email ke