GUA MUSANG: Kejadian orang ramai membakar jentolak yang pernah 
berlaku pada 2005 hampir berulang apabila penduduk menahan jentera 
itu yang dikatakan menceroboh tanah mereka di Kampung Tanah Puteh, 
Mukim Pulai, dekat sini, tengah hari kelmarin. 

Bagaimanapun, kejadian itu dapat diredakan selepas pemandu jengkaut 
terbabit bersetuju mengikut arahan penduduk supaya keluar dari 
kawasan tanah mereka. 

Dalam kejadian itu, 20 pemilik tanah mengejar pemandu jengkaut 
selepas mengetahui ladang getah dan dusun buah-buahan mereka 
dicerobohi dipercayai untuk dijalankan kajian berikutan didakwa 
mengandungi sumber alam yang berharga.

Berikutan itu, pemilik tanah turut memanggil kira-kira 200 penduduk 
lain dan mengadakan perhimpunan aman sebagai tanda membantah tindakan 
sebuah syarikat menceroboh kawasan tanah diusahakan mereka itu di 
Taman Rusa, dekat sini. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Tanah Puteh, Hisham 
Mustapha, berkata mereka tidak pernah diajak syarikat berkenaan 
berbincang mengenai perkara itu. 

"Kita juga memanggil semua pemilik tanah berkumpul secara aman hari 
ini (semalam) bagi mengadakan perbincangan tindakan seterusnya 
termasuk untuk menghalang tanah itu diserahkan kepada syarikat 
terbabit," katanya.

Menurutnya, pemilik tanah juga bersetuju membuat pemantauan sepanjang 
masa bagi memastikan jengkaut syarikat terbabit tidak masuk lagi ke 
kawasan berkenaan. 

"Kami mahu pihak berkenaan memberi keadilan menyelesaikan masalah ini 
supaya kami tidak dianiayai dan kerugian teruk selepas mengusahakan 
tanah sejak 10 tahun lalu," katanya.

Dalam kejadian setahun lalu, sebuah jentolak dibakar dan dimusnahkan 
penduduk di Kampung Sungai Raya, dekat Kuala Betis di sini, apabila 
tanah mereka usahakan diambil balik kerajaan.//HMetro

Kirim email ke