KOTA BHARU, 27 Nov - Seluruh negeri Kelantan bakal menerima bekalan air bersih sepenuhnya yang dibekalkan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menjelang tahun 2010.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Mohd Anizam Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri melalui syarikat AKSB meletakkan sasaran untuk menyiapkan semua projek bekalan air bersih seluruh negeri menjelang 2010. "Dengan siapnya projek-projek ini, insya-Allah seluruh rakyat akan dapat menikmati bekalan air bersih secukupnya pada masa itu," katanya menjawab soalan yang dikemukakan Adun Kok Lanas, Dato' Seri Annuar Musa (BN) pada persidangan Dun baru-baru ini. Tambah beliau, berkaitan dengan sumber air, setakat ini negeri Kelantan tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkannya. "Kerajaan negeri setakat ini tidak ada cadangan untuk menaikkan tarif air yang dikenakan kepada pengguna walaupun beberapa negeri seperti Selangor telah menaikan tarif air masing-masing," jelas Anizam menjawab soalan tambahan daripada Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim (PAS). Setakat ini AKSB telah membelanjakan lebih RM300 juta melalui pinjaman Kerajaan Pusat untuk menyiapkan projek-projek bekalan air bersih seluruh Kelantan dan dijangkan pada tahun hadapan sebanyak RM99.19 juta lagi akan dibelanjakan untuk meneruskan projek bekalan air. Selain itu kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di kawasan desa yang tidak menerima bekalan air di bawah AKSB.//Hrkh
