Kawasan sawah jadi tumpuan kanak-kanak isi masa terluang cari wang 
poket ketika cuti sekolah

KOTA BHARU: Kawasan sawah pinggir bandar ini, kini menjadi tumpuan 
kanak-kanak yang bercuti sekolah mengutip siput sedut lebih dikenali 
sebagai `keca' yang enak dimasak serta mempunyai permintaan pasaran 
yang tinggi.

Setiap hari di kawasan sawah tepi Jalan Kota Bharu-Rantau Panjang 
akan kelihatan kanak-kanak yang membawa bersama beg plastik, meredah 
lumpur dan tunggul padi mengesan kedudukan siput itu.

Selain dibawa pulang untuk dimasak lemak cili api atau kari oleh ibu, 
kanak-kanak yang berjiwa usahawan pula menjual siput yang dikutip itu 
kepada orang ramai yang melalui laluan itu.

Keadaan itu menyaksikan beberapa kanak-kanak yang sekadar berlindung 
di bawah payung bersama siput yang dimasukkan dalam plastik dan 
dilonggokkan di tepi jalan, menunggu pembeli di laluan itu dekat 
Salor.

Biasanya, bungkusan siput seberat 500 gram, yang belum dipotong 
hujung cengkerangnya dijual pada harga RM2. Berikutan keenakan 
masakan siput itu, kanak-kanak terbabit tidak perlu menunggu lama 
untuk menghabiskan jualan masing-masing.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Dewan Beta, Mohd 
Naim Abdul Razak, berkata peluang mengutip siput selepas musim menuai 
memang ditunggu kerana peluang mencari wang poket ketika cuti sekolah.

"Tahun lalu, saya dapat kira-kira RM1,000 hasil jual siput dan ikan 
darat sepanjang musim tengkujuh. Memang seronok, musim tengkujuh 
begini orang suka makan siput. 

"Di rumah, setiap hari emak masak gulai siput sebab saya dan adik-
adik suka makan. Biasanya, lebihan masak di rumah, saya jual di 
sini," katanya yang tinggal di Kampung Siam, Dewan Beta.

Mohd Naim berkata, dia mula mencari siput untuk dijual sejak tahun 
lalu selepas melihat rakan-rakan memperoleh hasil lumayan daripada 
jualan siput itu. 

"Biasanya, saya keluar mengutip siput ini sendirian di kawasan sawah 
yang sudah dituai, sebelum dibawa balik ke rumah untuk dibersihkan 
lumpurnya dan dibungkuskan untuk jualan.

"Biasanya, saya mampu jual lebih 10 bungkus setiap kali datang ke 
sini," katanya sambil menunggu bungkusan siput terakhir yang 
dibawanya dibeli pelanggan.

Bagi Mohd Aiman Faid Mohd Zaki, 12, dari Taboh Naning, Melaka, 
peluang pulang ke rumah neneknya di Kampung Lorong Haji Abdullah, 
setiap kali cuti hujung tahun, memang menyeronokkan.

"Setiap kali balik kampung, saya pasti mengikut sepupu dan kawan-
kawan keluar cari siput sedut di sawah berdekatan untuk dimasak," 
katanya yang bercuti dua minggu di sini.

Remaja dari Kampung Tok Sadang, Mohd Yusof Ismail, 13, berkata 
mengutip siput sambil meredah lumpur dan air memang menyeronokkan 
ketika cuti persekolahan.

"Sekurang-kurangnya masa cuti diisi aktiviti berfaedah. Saya belajar 
kenal siput yang boleh dikutip daripada kawan-kawan kerana tidak 
semua siput boleh dimakan. 

"Siput gondang emas turut banyak di sini tapi tak boleh dimakan," 
katanya sambil menunjukkan siput berlainan spesies itu yang bersaiz 
agak besar berbanding siput sedut yang dikutipnya.

Bagi rakannya, Mohd Azri Rafiq Raizani, 10, dari Kampung Cabang Tiga 
Pendik, berkata dia hanya keluar mencari siput itu bersama rakan-
rakan kerana lebih selamat.

"Emak tahu saya keluar cari siput dengan kawan-kawan. Bukan selalu 
datang sini, bila terasa nak makan siput, baru keluar cari sendiri 
untuk emak masak. Sekurang-kurangnya tak payah beli," katanya.

FAKTA
Siput sedut


Turut dipanggil `keca'

Ditemui dalam sawah dan kawasan berlumpur

Dijual pada harga RM2 bagi 500 gram
//BHarian


Kirim email ke